KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 28, 2010

Kumpulan The Laurus di Amerika jadi pelobi: Najib bayar RM100 ribu untuk siar sebuah artikel beliau


Sebuah dokumen yang difailkan di bawah Akta Pendaftaran Agen Asing oleh firma Quinn Gillespie & Associates (QGA), sebuah badan perunding perhubungan awam dan pelobi yang terkemuka di Washington DC mendedahkan QGA diberi tugas oleh sebuah lagi firma perunding, Kumpulan The Laurus, bagi cuba menyakinkan akhbar utama di Amerika menyiarkan artikel Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Najib membayar sebuah firma perunding politik yang berpangkalan di Washington RM50,000 (US$15,000) untuk membantunya memastikan rencana pendapat pengarang yang ditulisnya, diterbitkan di akhbar-akhbar utama di Amerika Syarikat. Dan sekiranya hasil tulisannya itu disiarkan, maka perdana menteri akan mengeluarkan bayaran tambahan RM50,000 sebagai habuan untuk 'yuran kejayaan' kepada perunding berkenaan, dedah Malaysiakini.

Pada surat perjanjian bertarikh 14 April antara dua firma perunding itu - QGA dan Laurus – dinyatakan QGA 'akan membekalkan perkhidmatan perhubungan awam dan media bagi pihak kerajaan Malaysia berhubung penyiaran rencana pendapat pengarang yang dihasilkan oleh perdana menteri Malaysia'.

Menurut perjanjian itu lagi, Laurus akan membayar QGA "yuran US$15,000 yang tidak boleh dikembalikan sepanjang tempoh bermula 14 April, 2010 dan berakhir pada 20 April 2010".

"Sekiranya QGA berjaya menempatkan rencana itu di penerbitan media utama, Laurus akan membayar QGA yuran kejayaan US$15,000. Yuran itu mesti dijelaskan dalam tempoh 30 hari selepas artikel berkenaan disiarkan".

Perjanjian itu bagaimanapun tidak menyebut akhbar-akhbar utama yang mana tulisan pendapat Najib itu sepatutnya disiarkan. Semakan dengan beberapa akhbar utama Amerika - Washington Post, New York Times dan Wall Street Journal – menunjukkan tiada rencana pendapat seumpama itu disiarkan.

Namun, Washington Times – sebuah akhbar yang dibiayai oleh pemimpin Gereja Unification, Sun Myung Moon – ada menerbitkan lampiran mengenai Malaysia, sehari sebelum Najib melawat ibu negara Amerika itu. Yang menarik, pejabat kedua-dua Laurus dan QGA terletak di tingkat yang sama di sebuah bangunan di Connecticut Avenue. Washington, DC.

Kumpulan The Laurus juga dipercayai terbabit dengan iklan dua halaman kontroversial di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah kerana menerima anugerah keamanan tersebut. Kumpulan The Laurus, sebuah firma perhubungan awam yang diragui dengan laman webnya yang masih dalam pembinaan - juga diberikan tanggungjawab mengendalikan perkhidmatan perhubungan awam ketika lawatan seminggu Najib ke Washington DC dan New York dari 10 hingga 16 April tahun ini.

Najib, yang diiringi oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berjumpa dengan Presiden Amerika, Barack Obama pada 12 April lalu di Washington. Pasangan itu kemudiannya berlepas ke New York bagi upacara penyampaian Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010 kepada Rosmah. Majlis gilang gemilang dan jamuan gala itu turut dihadiri oleh bintang-bintang Hollywood.

Sebelum ini, CNN menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang kononnya Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim membuat bayaran agar beliau diwawancara oleh stesen televisyen berita angtarabangsa itu, awal bulan ini.

"Berita CNN menerima bayaran daripada seseorang supaya Anwar muncul di 'Connect the World' adalah palsu dan direka-reka," kata seorang jurucakap CNN yang berpangkalan di Hong Kong di mana ibu pejabat Asia stesen itu beroperasi.

"Adalah membimbangkan kerana tiada usaha dilakukan untuk menghubungi kami dan secara berkecuali mengesahkan dakwaan yang tidak berasas itu sebelum melaporkannya sebagai fakta". Akhbar harian Utusan Malaysia pada Jumaat lalu mencetuskan kontroversi dengan laporan 9 Julai yang bertajuk 'Anwar didakwa bayar CNN'. Laporan itu merujuk kepada tulisan Presiden Trevino Strategies and Media Inc, Joshua Trevino, yang menulis di portal Amerika - The New Ledger yang mendakwa Anwar mengupah kenalan medianya, khususnya CNN, bagi menyakin para pelobi Yahudi bahawa beliau bukan anti-Israel.

Trevino mendakwa wawancara CNN menerusi 'Connector of the Day' pada 2 Julai lalu adalah 'jinak' berhubung Anwar disoal berhubung retorik anti-Zionis ketua pembangkang itu. Berikut laporan itu, beberapa pemimpin tertinggi Umno membidas Anwar yang didakwa 'membayar' untuk diwawancara.

"Jika benar Anwar membiayai temu bualnya dengan CNN itu, ia menunjukkan beliau tunduk kepada Amerika Syarikat dan Yahudi...dia akan lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya untuk jadi Perdana Menteri," kata Naib Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal sehari selepas Utusan menyiarkan laporan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata laporan itu menunjukkan Anwar adalah terdesak. - Malaysiakini

1 ulasan:

Redhuan D. Oon berkata...

Terima kasih atas jemputan dan belanja makan hari ini. Saya mengarkibkan pertemuan di Harakah tadi di sini: PADI-Malaysia