Pengharaman arak dan judi sepertimana larangan di dalam al-Quran dan al-Sunnah sememangnya diperakui kewajarannya oleh seluruh manusia yang berakal. Hanya manusia yang tidak sempurna keperibadiannya terjebak dengan aktiviti tidak bermoral ini. Pada ketika yang sama segolongan manusia yang rakus pula mengambil kesempatan daripada peribadi-peribadi yang runtuh ini untuk mengembangkan lagi empayar perniagaan mereka.
Golongan pemodal yang bergiat dengan ‘perniagaan dosa’ ini lazimnya di sokong pula oleh ahli-ahli politik yang berkepentingan. Manakala rakyat teramai tidak mendapat manfaat daripada kegiatan-kegiatan seumpama ini. Kedua-dua arak dan judi adalah barah terhadap masyarakat sehingga berupaya meruntuhkan sesebuah peradaban. Bagaimanapun, perbahasan para ulama berkaitan hukum-hukum pemerintahan lazimnya membezakan kaedah pelaksanaan pengharaman arak dan pengharaman judi dalam masyarakat.
Di bawah pemerintahan Islam, terdapat pandangan ulama yang membenarkan pemerintah Islam mengeluarkan permit kepada rakyat bukan Islam untuk meminum arak dalam keadaan yang terkawal dan tidak berlebihan. Malah terdapat satu pandangan dalam mazhab Hanafi yang membolehkan cukai dikutip daripada kegiatan berkaitan dengan meminum arak.
Demikian juga makanan dan minuman yang diharamkan oleh Islam tetapi tidak dilarang kepada penganut agama yang lain, pemerintah Islam boleh memberikan permit kepada mereka untuk mengambilnya seperti daging babi dan darah binatang. Kebenaran itu diberikan selagi tidak mendatangkan keburukan kepada golongan masyarakat yang lain dan dibenarkan hanya untuk memenuhi hak mereka sebagai rakyat di bawah pemerintahan Islam.
Sekiranya kegiatan meminum arak, memakan daging babi dan seumpamanya menyebabkan keburukan kepada orang lain maka kegiatan itu tidak harus dibenarkan. Adapun berkaitan dengan pengharaman judi, kaedah pelaksanaannya di bawah pemerintahan Islam adalah berbeza. Pengharaman judi turut dikuatkuasakan ke atas bukan Islam sebagaimana haramnya rasuah dan salahguna kuasa.
Kaedah ini terpakai bukan hanya bersandarkan kepada argumen semua agama melarang kegiatan perjudian, tetapi lebih daripada itu disebabkan kegiatan ini adalah satu bentuk pemerasan, penindasan dan korupsi. Dengan pengertian lain, kegiatan perjudian bukan mendatangkan keburukan hanya kepada pelakunya, tetapi menzalimi sebahagian manusia yang lain di samping mendatangkan keburukan kepada ahli masyarakat teramai.
Seorang bekas penasihat ekonomi Presiden Ronald Reagan, Earl Grinols menyatakan bahawa kos tahunan yang disebabkan oleh aktiviti perjudian kepada rakyat teramai sebenarnya menyamai pendapatan yang hilang bila berlakunya kemelesetan ekonomi setiap tujuh dan lapan tahun. Pandangan beliau ini telah dibuktikan oleh banyak kajian, menunjukkan kegiatan perjudian ini bukanlah satu sumber pendapatan negara, sebaliknya membawa kepada kerugian.
Seorang tokoh penentang judi di Amerika Syarikat, Tom Grey menyatakan rakyat Amerika tidak lagi percaya kepada andaian bahawa perjudian adalah satu kegiatan membangunkan ekonomi dan sumber pendapatan yang subur kepada negara.
Oleh yang demikian, kegiatan perjudian sama ada yang berlesen atau tidak, kedua-duanya perlu dibasmi kerana akan menyebabkan kos sosial yang boleh menjadi sumber kemelesetan ekonomi sesebuah negara. Nevada adalah sebuah negeri di Amerika Syarikat yang paling giat melaksanakan kegiatan perjudian, iaitu mempunyai lebih daripada 266 kasino.
Salah sebuah bandarnya yang terkenal dengan kegiatan ini ialah Las Vegas. Dalam satu pendedahan yang dilakukan oleh SPG Foundation mendapati, Nevada adalah negeri yang paling tidak selamat diduduki Amerika Syarikat. Menurut pendedahan tersebut juga, Nevada adalah negeri yang paling tinggi kadar bunuh diri, perceraian, pelacuran, pembunuhan ke atas wanita dan ketagihan judi.
Pada bulan Mei yang lalu satu laporan yang di keluarkan oleh United States Dapartment of Labor menyebut bahawa, Nevada mempunyai kadar pengangguran yang paling tinggi di Amerika Syarikat iaitu sebanyak 14%.
Kesemua fakta-fakta ini menjelaskan bahawa kegiatan perjudian merupakan bebanan yang besar kepada ekonomi sesebuah Negara, malah ia boleh menyebabkan masyarakat dalam Negara tersebut tidak lagi mengecapi keharmonian hidup.
Menurut Earl Grinols yang juga merupakan Professor Ekonomi di University of Illinois, kegiatan perjudian akan membebankan masyarakat teramai dengan kos sosial berkaitan dengan peningkatan jenayah, kerugian terhadap perniagaan disebabkan pekerja tidak produktif, penigkatan kadar muflis, peningkatan bunuh diri, kemerosotan kesihatan, keruntuhan institusi keluarga dan lain-lain.
Kesemua kos ini akan ditanggung bukan sahaja oleh penagih-penagih judi sebaliknya seluruh rakyat. Oleh sebab itu, Earl Grinols menyebutkan sebelum ini, kegiatan perjudian bukanlah sumber pendapatan sebaliknya ancaman kepada kemakmuran eknonomi. Sebenarnya yang memperolehi keuntungan daripada sumber kegiatan perjudian ini adalah para pemodalnya atau taukeh-taukeh judi. Selain daripada mereka, yang turut mendapat tempiasnya ialah ahli-ahli politik yang berselindung memberi kelulusan kepada kegiatan penindasan dan pemerasan seperti ini.
George Washington pernah berpesan, “Jauhilah perjudian. Kegiatan ini adalah sumber kepada segala kejahatan yang lain, menyebabkan keruntuhan moral dan kemusnahan kesihatan kepada penagihnya. Judi adalah anak kepada ketamakan, abang kepada ketidakadilan dan bapa kepada salahguna kuasa”. - Dr. Mohd Zuhdi Marzuki
Tiada ulasan:
Catat Ulasan