KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 29, 2010

Propaganda media huru-harakan isu pasir - Exco Kerajaan Selangor Yaakob Sapari


Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor didakwa melakukan penyelewengan hasil perlombongan pasir. Sedangkan masalah kecurian pasir itu telah lama wujud sejak era pentadbiran Umno-BN. Sejauh manakah kebenarannya. Ikuti wawancara Wartawan, SAIDAH HAIRAN dan MUHAMAD ARIF ISMAIL bersama Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, YAAKOB SAPARI di pejabatnya, tingkat 12, Shah Alam.

Kerajaan Pakatan Rakyat diserang lagi dengan isu penyelewengan dan kecurian pasir. Boleh jelaskan supaya rakyat tahu perkara sebenar?

YAAKOB SAPARI: Kita dapati isu kecurian dan pelombongan pasir secara haram telah pun berlaku secara berleluasa sebelum pakatan rakyat memerintah Selangor. Bahkan banyak media lalu mendedahkan isu mengenai penahanan jentera berat kerana melakukan aktiviti mencuri pasir. Selepas kita mengambil alih, kita selesaikan dengan cara lain. Kita tidak mahu guna cara dahulu (Umno perintah) sebab cara dahulu lebih mahal. Umpamanya kelemahan ketara yang kita dapati ialah penipuan docket oleh pengeluaran pasir yang tidak diluluskan. Juga berlaku kebocoran maklumat mengenai operasi yang bakal dijalankan, tidak ada penilaian kesan akan sekitar (EIA).  Kemudian untuk pasir sungai, hanya sebuah syarikat yang dapat melalui mesyuarat exco.

Bagaimana hasil pasir di bawah pentadbiran Umno-BN?

Hasil rendah. Apabila pemerintahan negeri bertukar kita tubuhkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) untuk membuat kawalan. Kita tahu sistem pengurusan dalam hal ini sangat lemah. Jika kita membuat perkara yang sama, kita hanya melakukan perkara yang sama. Masalah yang sama akan berulang. Sebab itu kita ubah dengan menubuhkan KSSB. Perlu ada syarikat KSSB. Sebab saya semak dulu hanya ada jabatan teknikal untuk melancarkan perjalanan jabatan daerah dan PTG. Jadi kita kena betulkan. Di KSSB ini kita ada jurutera khas yang buat kerja supaya semua peraturan perlombongan yang ada perlu diikut dan kita boleh mengawal.

Di mana kes-kes kecurian ini berlaku?

Kecurian pasir berlaku di tiga tempat iaitu tanah yang dimiliki oleh kerajaan atau milik anak syarikat kerajaan seperti PKPS, KDEB. Kecurian juga berlaku di sungai di tanah-tanah persendirian yang tidak mahu mohon permit. Apa yang kita lakukan pada pusingan pertama, semua tanah-tanah kerajaan diambilalih oleh KKSB. Tempat yang kita ambil alih ialah tempat-tempat yang dahulunya telah dicuri oleh pencuri-pencuri pasir. Pertama, ia bukan kawasan baru tetapi kawasan kecurian kecurian pasir yang tidak terkawal. Jadi KSSB ambil alih tanah tersebut untuk diuruskan. Semua tapak tanah kerajaan telah dikawal oleh KSSB. Kedua, dahulu satu Selangor, satu syarikat sahaja yang dimiliki oleh kroni Umno dan memperolehi kelulusan ini bukan melalui JPS, tender dan sebagainya. Kelulusan diperolehi kerana mereka rapat dengan Menteri Besar lalu melalui mesyuarat kerajaan negeri.

Peranan JPS dan pihak berkuasa tempatan masa itu macam mana?

JPS tidak mempunyai kuasa untuk melakukan kawalan dengan mengenakan tindakan kepada syarikat yang terbabit. Keluasan kawasan juga pihak berkuasa tidak boleh mengawal kerana tidak ada dokumen dan perjanjian langsung pada ketika pemerintahan Umno-BN. Apabila kita mengambilalih, kita batalkan perjanjian itu yang diputuskan dalam mesyuarat exco. Kita kenalpasti sungai-sungai di seluruh selangor. Kita tenderkan maknanya permohonan terbuka kepada semua orang. Zaman Umno-BN hanya ada satu syarikat, zaman kerajaan Pakatan Rakyat 28 buah syarikat. Bagi tanah-tanah persendirian yang mempunyai keluasan 20 ekar ke atas boleh membuat permohonan melalui KSSB. KSSB ada jurutera, teknikal dan sebagainya. Pengurusan ini berlaku dengan teratur. Buktinya, kecurian di tanah persendirian dan kerajaan tidak berlaku, sungai kita terkawal. Bagaimanapun, kita tidak nafikan masih berlaku sedikit kecurian di tanah-tanah persendirian.

Masalahannya sekarang, ini isu kecurian pasir meletup...

Saya melihat kerana Umno sudah tidak ada isu lain di Selangor ini. Hendak kata dalam soal ketelusan, dia tidak dapat buktikan kerana kita mengamalkan ketelusan. Hari  ini media menyatakan Dato' Menteri Besar Selangor tiada kes dalam SPRM. Jadi Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Khir Toyo hendak mencari populariti telah menyerang pihak kerajaan dalan sidang dewan baru-baru ini.

Apa yang Khir sedang lakukan sebenarnya?

Nampak Khir keluar media pada hari Ahad hari Isnin lalu. Masuk media serentak  di Parlimen. Sepanjang sesi sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) isu-isu lain Khir tidak boleh bawa. Khir menyerang Pakatan Rakyat dalam isu pasir. Khir sengaja besarkan isu pasir tetapi dia silap. Ini kerana kawasan yang dilawati Khir merupakan kawasan yang telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Sebab itu saya cabar Khir dalam sidang Dun. Jika Khir kata berlubang-lubang, gambar ini menunjukkan penuh lubang. Jadi Khir
tidak ada isu lain dan dia sudah tidak besarkan isu pasir lagi.

Mengapa pula Khir kaitkan KSSB dengan rasuah?

Ya, Khir cuba kaitkan dengan rasuah dalam pengurusan KSSB. KSSB sudah diserbu oleh SPRM 10 kali. Hingga sekarang tiada bukti berlaku rasuah dalam KSSB. Begitu juga dengan pegawai saya, Hussein telah dibawa ke pejabat SPRM selama lima hari tetapi tiada kes. Pengurus KSSb  juga dibebaskan kerana tiada bukti. Saya yakin ketelusan berlaku disitu. Satu lagi saya fikir mungkin ramai yang berminat hendak niaga pasir, jadi mereka rasa seperti di zaman Umno-BN perintah Selangor. Zaman Umno-BN perintah memang mudah hendak berniaga pasir sama ada secara halal atau haram. Hari ini kita ketatkan, yang tidap dapat tender itu yang buat kacau. Ada yang tidak dapat tender atau yang biasa mencuri. Orang seperti ini yang tidak dapat dan mereka berjumpa dengan Khir Toyo untuk dibesarkan isu ini.

Persoalannya, setelah kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir kenapa masih berlaku kecurian lagi?

Kecurian pasir sama seperti jenayah. Kita sudah mengawal kegiatan mencuri pasir sebanyak 80 peratus. Pertama tanah kerajaan kita kawal, KKSB mengambil alih tanah tersebut. Sungai telah kita kawal tetapi sungai di Selangor panjang. Ada berlaku kecurian di sana sini dan dilakukan secara  kecil-kecilan tetapi yang besar-besar semua kita dapat kawal. Tanah-tanah persendirian dilakukan waktu malam dan secara kecil-kecilan. Semua kecurian ini tidak dapat dielakkan. Macam jenayah, ditambah polis sebanyak mana pun, membesarkan mahkamah syariah, kes perceraian makin ramai. Begitu juga dengan mencuri pasir tetapi kali ini kita kenakan tindakan tegas.

Ia berjaya dikawal...

Tanah kerajaan telah dapat dikawal, sungai telah kita kawal dan tanah persendirian kita lesenkan. Jika mencuri kita akan tahan jengkaut mereka. Kerajana negeri memberi ganjaran kepada sesiapa yang boleh menahan pencuri-pencuri tersebut. Sekarang berebut-rebut menahan lori yang mengangkut pasir. Dahulu perbuatan ini dilakukan sorok-sorok. Apabila kita dedahkan ada tentang ganjaran ramai yang berminat. Kerja pasir paling senang, pasaran tinggi. Contoh, di Hulu Langat, untuk sebanyak RM500 keluar jam 4.30 pagi balik 5.30 pagi, habis.

YB, sudah tentu kecurian pasir itu ada dalang. Pencuri pasir ini memang sudah pakar dia mencuri daripada zaman Umno-BN. Cuma dulu tidak ada tindakan dikenakan. Bagaimana mereka boleh lepas mencuri sedangkan ada pemantauan dan penguatkuasaan?

Kegiatan kecurian berlaku di belakang dan pihak pemantauan tidak nampak. Saya tidak nafikan perkara ini, saya tahu nama-nama pencuri itu tetapi oleh kerana kecil-kecilan ini dia pandai, jadi kata saya 80 peratus dalam kawalan kerajaan negeri dan 20 peratus lagi dijadikan habuan kepada kejayaan penangkapan pencuri pasir dan sekarang orang berlumba-lumba untuk menahan lori mengangkut pasir. Mungkin dahulu, dia mudah untuk melakukan rasuah pimpinan negeri tetapi sekarang ketat. Jika dulu mereka boleh bayar ketua kampung, pengerusi JKKK dan pimpinan Umno. Saya tidak nafikan dahulu pimpinan Umno juga terlibat dalam kegiatan ini. Isu ini tidak sebesar seperti yang digambarkan oleh pihak media. Ia hanya mainan politik untuk menjatuhkan kerajaan pakatan rakyat negeri Selangor.

Rakyat sekarang terpedaya, jika kita lihat media sering siarkan gambar yang sama, masalahnya rakyat tidak tahu perkara sebenar. 

Saya akan buat pamplet dan saya akan keluarkan gambar-gambar tersebut. Gambar ini bukan perkara baru. Jika kita kata berlubang, ini tidak berlubang. Pimpinan Umno sudah kenyang dengan hasil pasir dulu.

Bagaimana keuntungan pasir di bawah kerajaan Pakatan Rakyat?

Ada peningkatan yang ketara. Hasil pasir jauh lebih tinggi daripada pendapatan di zaman Umno-BN perintah. Saya yakin pendapatan pasir ini akan meningkat. Apa yang penting program pemulihan itu dibuat, zaman Umno-BN tidak ada program pemulihan dan pemuliharaan selepas pelombongan. Kita akan buat dan kemudian kawasan yang berlubang ini kita akan jadikan kawasan simpanan air untuk musim kemarau. Ada sebahagian kecil kawasan, kita akan jadi kawasan untuk dijadikan tempat untuk ternak air yang sesuai. Kita mentadbir dengan penuh amanah dan telus, itu kekuatan kerajaan Pakatan Rakyat. 

Betulkah pencuri-pencuri pasir dulu biasa merasuah orang? 

Mereka ada menghantar wakil untuk merasuah saya, tetapi saya kata tidak boleh. Kekuatan kita adalah kerana kita telus, amanah dan tidak rasuah. Saya yakin dalam kisah syaitan jumpa dengan nabi, bila nabi tanya manusia mana yang kau tidak boleh goda? Syaitan kata manusia yang ikhlas. Jika kita ikhlas, insyAllah dan tidak ada kepentingan kita boleh buat, InsyAllah kita akan buktikan. Umno tidak boleh buat perkara ini sebab pimpinan mereka penuh dengan rasuah. Di bawah pentadbirannya, hasil pasir tidak ada. Kita akan buktikan dalam tempoh dua tahun kita telah berjaya menguruskan pasir.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Wow, fantаstic blog lаyout! How lοng havе you beеn blοgging
for? yоu mаdе blogging look easy.
Тhe oνerаll loοk οf your ωeb
sіte is magnifіcent, lеt аlοne the content!


My ρagе; payday loans