KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 20, 2010

Pemuda PAS mahu perpaduan yang dicanang Umno dibina atas dasar Islam


Umno digesa agar membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam melaksanakan Islam dan menolak segala bentuk fahaman kebangsaan atau politik perkauman yang sempit. Perkara ini ditegaskan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan ketika mengulas pandangan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Agama Islam (JASA), Lokman Nor Adam pada program Wacana Perdana di Balai Islam Lundang pada 10 Julai lalu.

"Apabila dia (Lokman) kata bersatu dengan Umno lebih mudah (untuk laksanakan Islam), maka Umno kena buktikan mereka menerima Islam dan menolak fahaman kebangsaan kerana kita mahu lihat Umno yang dikatakan mahu menegakkan Islam dengan perjuangannya dan meninggalkan segala bentuk fahaman nasionalis yang sempit," ujarnya.

Lokman dalam program tersebut mendakwa cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan jika PAS dan Umno bersatu dan bekerjasama.

Ustaz Nasrudin berkata kenyataan Lokman hanya akan terbukti apabila Umno bebas daripada cengkaman ideologi lama tersebut. "Kalau Umno tidak bebas daripada dasar kebangsaan, bagaimana ia boleh mendakwa gabungan PAS dan Umno boleh memudahkan proses Islam tertegak, kena buktikan dulu," katanya.

Tegasnya, adalah suatu perkara yang tidak mungkin berlaku jika perjuangan yang tidak meletakkan dasar Islam mampu untuk dilaksanakan. "Mustahil bagi sebuah perjuangan yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar - tiba-tiba hendak menegakkan Islam," tegasnya.

Tegasnya lagi, premis perpaduan adalah berdasarkan kepada dua perkara iaitu perpaduan yang dibenarkan iaitu atas dasar kebajikan dan taqwa kepada Allah serta perpaduan yang dilarang iaitu boleh mengundang kepada dosa dan permusuhan. "Jika perpaduan tidak dibina atas dasar Islam, ia tidak akan berjaya dan tidak diredhai oleh Allah," katanya lagi.

Tiada ulasan: