KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Julai 09, 2010

PAS mahu Umno dan Shafie Apdal buktikan 'sesat' PAS menurut Islam - Mursyidul Am PAS


Mursyidul Am PAS mahu mana-mana pemimpin Umno termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal membuktikan atau menyenaraikan di manakah 'sesatnya' PAS seperti yang dimaksudkan Naib Presiden Umno itu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tuduhan 'sesat' sudah ditabur para pemimpin Umno sejak dahulu lagi, tetapi sehingga kini mereka gagal mengemukakan bukti bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS adalah sesat seperti yang didakwa.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dibacakan oleh Setiausaha Politik beliau, Wan Nik Yusoff Ngah kepada Harakah, secara prinsipnya, untuk menuduh sesuatu kumpulan itu sesat atau tidak, ia mestilah diadili mengikut neraca Islam yang berpaksikan al-Quran dan hadis Nabi SAW. Maka dari situlah, baru diketahui siapakah yang sesat mengikut ajaran Islam yang suci. Oleh yang demikian, PAS telah acapkali mencabar Umno berdebat atau bermuzakarah mengenai isu-isu teras membabitkan aqidah ini tetapi setiap kali itulah Umno enggan.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Pusat, bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk berdebat dengan Umno bagi membuktikan parti Islam itu sesat atau sebaliknya sebagaimana dituduh oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu.

Bukan itu sahaja, PAS juga setuju sekiranya Umno menyediakan dan mengaturkan perdebatan itu dari segi tempat, pengerusi atau moderator debat, masa, dan tarikh dengan tajuk "Siapakah sebenarnya yang sesat" atau "PAS tuduh Umno sesat" atau "Umno dakwa PAS sesat".

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan ketika mengulas tuduhan Shafie itu, berkata, tuduhan liar PAS 'parti ajaran sesat' itu bukanlah perkara baru bahkan situasi ini pun pernah dialami oleh perjuangan Nabi Muhammad SAW yang turut dilabelkan sesat.

"Jadi untuk membuktikan sama ada sesat atau tidak, kita kena bersandarkan ilmu dan hujah terutama sekali pada zaman infrormasi bukannya zaman emosi," katanya kepada Harakah.

Bahkan, Dewan Pemuda PAS Pusat pun bersedia jika diperlukan PAS untuk tampil sebagai panel memberi penjelasan dan pertahankan perjuangan PAS dengan kekuatan hujah yang ada.  Jelasnya, Shafie sewajarnya ada hujah dan alasan yang kukuh selain beliau mesti berani jika tidak beliau akan dilihat pemimpin yang tidak berakhlak dan biadap dan tidak memiliki pengetahuan politik yang jelas.

"Beliau tidak layak menjadi pemimpin politik pada masa ini yang mengeluarkan satu-satu kenyataan bertunjangkan kepada emosi. Di US setiap kali pemilihan presiden baru, mereka menyediakan medan debat di mana di situ rakyat akan mengadili siapa bakal dipilih berdasarkan hujah mereka. Kalau berhujah dengan baik akan diangkat menjadi presiden," katanya.

Bagaimanapun, tegas Ustaz Nasrudin kebenaran itu mestilah dengan hujah bukannya paksaan, tuduhan atau fitnah. Menyingkap perjuangan PAS sejak mula lagi, Ustaz Nasruddin berkata setiap kali PAS berdepan dengan fitnah dari pihak Umno-BN, PAS bersedia tampil dengan hujah tetapi setiap kali itu juga Umno 'lempar batu sembunyi tangan'.

"Dewan Pemuda pun kadang-kadang sudah naik jelak mengundang atau mencabar Umno dalam fitnah yang dilemparkan kerana Umno sering berdolak dalik," katanya. Malah, sepatutnya Umno harus berani berhujah memandangkan mereka mungkin sudah belajar daripada ulama muda yang menyertai Umno.

Pada tahun 1984, PAS dicabar Umno untuk berdebat yang dikenali 'Debat Umno-PAS". Pada ketika itu, PAS menyahut cabaran itu dengan apa jua tajuk yang dipilih Umno. Akhirnya Umno memilih tajuk yang dilihat memerangkap PAS iaitu "PAS Kafirkan Umno'. 

Atas sifat terbuka dan mahu kebenaran dilihat, PAS bersetuju Umno melantik pengerusi, memilih tempat, masa dan menentukan tarikh, tetapi akhirnya Umno terdesak, terpaksa  memperalatkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu membatalkan 'Debat Umno-PAS' itu melalui pengumumkan khas di RTM.

Sebelum ini, semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Perwakilan Umno Bahagian Kulaijaya Shafie Apdal menuduh PAS sebagai 'parti ajaran sesat' kerana menurutnya parti itu hanya memperjuangkan kemenangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen berbanding kepentingan rakyat.

Tiada ulasan: