KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 29, 2010

Anggap BN melampau: Rakyat teraniaya dengan kenaikan harga barang!

KOTA BHARU: Kenaikan harga barang keperluan utama rakyat baru-baru ini sudah pasti membebankan rakyat pelbagai peringkat khususnya yang berpendapatan rendah. Akibat harga gas dan petrol meningkat disamping harga gula yang pada asalnya RM1.65 kepada RM1.85, ianya telah menjadi satu bebanan buat mereka.

Seorang pemandu teksi, Mamat Dollah, 55, ketika ditemui memberitahu dakwaan kerajaan berhubung kenaikan harga barangan keperluan terbabit hanya untuk penyelarasan harga merupakan sesuatu yang melucukan.

Beliau juga turut mendakwa Perdana Menteri, bukan sahaja menipu rakyat dengan kenyataan tersebut, sebaliknya melindungi kegagalannya sebagai pentadbir negara.

"Pemimpin negara sekarang semakin teruk, tidak pandai mengurus ekonomi negara hingga barang keperluan semakin naik. Penyelarasan harga hanya helah kerajaan untuk menutupi kelemahannya yang gagal mentadbir ekonomi negara," ujarnya.

Samsiah Taharin, 49, berkata kerajaan tidak seharusnya menghalang peniaga kedai minuman menaikkan harga jualan mereka. Katanya, kos yang bertambah akibat kenaikan harga barang terpaksa ditanggung sendiri oleh peniaga dan bukannya kerajaan.

"Jika sebelum ini harga susu manis sekotak berharga RM100, kini meningkat kepada RM120, jadi yang lebih RM20 tu kerajaan nak tambah ke?," soalnya.

Beliau yang menjual minuman di kedai Berek 12, dekat sini memberitahu, mahu atau tidak harga air terpaksa dinaikkan. Tambahnya, apa lagi gula yang dibeli bukan berharga RM1.85 sekilogram, sebaliknya RM2.00, malah ada sampai RM2.10 sekilogram.

Katanya lagi, walaupun hanya harga gula, gas dan minyak diumumkan kerajaan, namun harga minuman lain seperti nescafe, milo dan sebagainya turut meningkat berbanding biasa. Samsiah yang tinggal di Kampung Khatib Ali, di sini bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana pelanggannya memahami kenapa harga air meningkat berbanding biasa.

Ramlah Sulaiman, 43, turut mendakwa kenaikan harga barang yang diumumkan kerajaan baru-baru ini amat membebankan beliau serta masyarakat kampung.

Katanya, beliau semakin tertekan kini apa lagi sumber kewangan untuk keluarga terpaksa dicarinya seorang diri bagi menyara keluarga, memandangkan suaminya perlu berehat kerana baru menjalani pembedahan mata.

"Kenaikan harga barang kali ini begitu teruk sekali sehinggakan ada suri rumah dekat rumah saya terpaksa bekerja semula untuk menambah rezeki. Jika tidak sumber kewangan yang diperolehi tidak mampu menampung keperluan keluarga dengan harga yang semakin meningkat ini," ujarnya lagi.

Setiausaha Yayasan Amal Kelantan, Abdul Hamid Seman, ketika ditemui memberitahu kerajaan kurang cermat dalam menangani isu harga barangan sehingga mengambil keputusan menaikkan harganya.

Sambungnya, bersesuaian dengan konsep Satu Malaysia, kerajaan seharusnya lebih mengutamakan rakyat berbanding desakan pihak tertentu berhubung isu terbabit.

Jelasnya, mungkin kenaikan harga minyak sebanyak 5 sen begitu kecil bagi kerajaan, namun pada rakyat ianya sudah membebankan kerana semua barangan keperluan harian turut meningkat.

"Tidak keterlaluan saya katakan mungkin kerajaan menaikkan harga barang sekarang sebagai taktik terbaru. Bila nak dekat pilihan raya nanti, dia akan turunkan mana-mana harga yang dikira boleh mencairkan hati rakyat, siapa tahu?" ujarnya.

Siti Mastura Mohd Latif, 22, memberitahu harga keperluan harian naik dua hingga tiga kali setahun, sedangkan gaji bulanan belum tentu naik dalam tempoh setahun. Beliau yang bekerja disebuah syarikat swasta di Kota Bharu berkata, bagi golongan remaja serta tinggal bersama keluarga, ianya tidak menjadi masaalah.

"Bagaimana pula pasangan yang baru berumah tangga, tinggal pula di rumah sewa, apa lagi dengan pendapatan yang kecil?" soalnya. Jelasnya, golongan berpendapatan rendah perlu diutamakan kerana mereka tidak mendapat kenaikan gaji setiap tahun, hanya berdasarkan hasil yang dikeluarkan semata-mata.

Tiada ulasan: