KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 22, 2010

Ke Putrajaya bukan mimpi, bukan impian, tetapi cita-cita kian hampir - Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Apapun yang diperkatakan, Umno sudah dilihat tidak relevan dalam politik Malaysia. Ia sudah tidak boleh menjadi parti pembela nasib orang Melayu. Kini, sudah tiba masanya, PAS menggantikan Umno yang sarat dengan penyakit. Bagi Presiden PAS, menuju ke Putrajaya bukanlah impian tetapi cita-cita yang sudah dekat tercapai. Banyak isu yang tercetus, gagal menyebelahi Umno-BN lagi. Rakyat kian sedar, celik politik dan sukar ditipu. Anak-anak muda, akan jadi pemangkin berkesan mengocak gelombang PRU-13 akan datang. Ikuti wawancara eksklusif Wartawan Kanan, WAN NORDIN WAN YAACOB dan INTAN ABDULLAH bersama Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung baru baru ini.

Berdasar suatu tinjauan dibuat Merdeka Center yang dibentangkan baru-baru ini, mendakwa 72 peratus anak muda berumur di bawah 30 tahun tidak meminati politik. Apa strategi PAS dalam pilihan raya akan datang dalam menangani perkara ini?

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: PAS ada mekanisme sendiri yang digerakkan untuk membuat penyelidikan. Kita tidak bergantung dengan penyelidikan yang dibuat oleh pihak lain. walaupun masih terlalu awal kerja-kerja dilakukan, kita telah mendapat maklumat daripada kajian itu walaupun tidak di seluruh negara. Tetapi di tempat-tempat tertentu yang boleh dibuat perbandingan yang baik, di mana sikap pengundi muda ini ialah tidak suka kepada BN.
Di dalam media yang disalahgunakan dan sebahagian mereka ada yang telah membaca. Ini dapat dilihat sendiri dalam pilihan raya lalu, kawasan-kawasan pinggir bandar berlakunya perubahan khususnya di kalangan pengundi muda. Mereka ini telah menunjukkan sikap pada Pilihan Raya Umum pada 1999. Apa yang dilihat ialah kebimbangan kita tentang cara Umno menangani pengundi muda. 
Sepatutnya kita memperkasakan pengundi muda, bukan dilalaikan mereka dengan hiburan, dilekakan dengan gejala sosial. Apa yang berlaku seolah-olah Umno cuba untuk memerangkapkan generasi muda supaya jauh daripada minda politik yang sebenar. Saya yakin dan percaya melalui pelbagai kegiatan kita, termasuk di kalangan generasi muda ini, kita harapkan mereka akan menjadi gelombang untuk membuat perubahan politik dalam negara kita di masa akan datang. 

Gerakan massa seperti perhimpunan BERSIH berjaya dianjurkan pada 2007. Adakah PAS akan mengulangi sejarah itu yang dijangkakan akan dilangsungkan sebaik sahaja parlimen dibubarkan, memandangkan ia cukup memberi impak kepada pengundi...

Itu akan dilihat daripada masa ke semasa. Saya lihat gerakan massa ini hanya berlaku di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ia tidak masuk ke kawasan pedalaman yang menjadi tempat pergantungan BN, yang dibutahurufkan dalam perkara politik, khususnya dalam kawasan Felda, Felcra, pedalaman, yang juga mempunyai generasi muda. Perubahan tidak boleh berlaku dengan cara yang menyeluruh hanya di bandar dan pinggir bandar sahaja. Sebab itu apa yang penting ialah bagaimana cara kita mencetuskan kesedaran secara yang menyeluruh termasuk kawasan-kawasan pedalaman supaya perubahan itu berlaku.
Saya rasa ada sedikit-sebanyak kemajuan melalui langkah yang diambil. Apa yang penting kita perlu bersabar dalam menangani masalah ini. Sebab kita mahu perubahan dalam negara dengan adil dan sihat bukan huru-hura yang memberi peluang kepada BN untuk basuh tangan sedangkan mereka menjadi punca sebenarnya dan mereka mengambil kesempatan. Ini akan diambil kira.

Tadi Dato' Seri sebut soal Felda dan pedalaman. Isu ini telah dibangkitkan dan masyarakat Felda tersentuh dengannya. Tetapi dengan tindakan mendedahkan isu-isu penyelewengan Felda ini menyebabkan kerajaan bertindakbalas menyekat permit Harakah dan Suara Keadilan sendiri. Ini akan membuatkan PAS lebih tertekan?

Kita melihat perubahan yang berlaku di seluruh dunia, di negara lain. Ia berlaku dengan sebab minda rakyat terbuka. Kedua berlakunya tekanan yang melampau dalam negara kita hari ini. Dua perkara ini tidak berlaku. Iaitu minda rakyat tidak terbuka kerana media-media dikongkong dan rakyat tidak tertekan. 
Kemiskinan tidak melampau kerana mereka dibantu dengan tidak melepaskan diri daripada kepompong kemiskinan. Sekiranya BN melakukan tekanan ini memberikan peluang berlakunya perubahan di kalangan pengundi-pengundi. Kita kena sedar bahawa Felda yang sudah memakan usia yang lama itu sudah melahirkan generasi muda Felda. BN hanya boleh bertahan dengan generasi tua, generasi muda yang jumlahnya akan meningkat berkali ganda yang melakukan perubahan, insha-Allah.
Mereka ini tidak tingggal di dalam Felda. Sekurang-kurangnya ada motorsikal dan boleh pergi ke bandar dan melihat perubahan yang berlaku di bandar dan pinggir bandar dengan sebab itu sikap BN untuk mempertahankan diri dengan mengongkong minda rakyat - satu sikap yang salah, sikap yang menjerat diri mereka sendiri.

PAS menjadi harapan dan alternatif kepada orang Melayu sepertimana yang dikatakan Dato' Seri tadi. Adakah PAS telah bersedia dengan strategi yang khusus untuk menawan kembali dan meningkatkan undi Melayu?

Ketakutan dan igauan menandakan ada tanda-tanda perubahan pada orang Melayu sendiri khususnya di kalangan pengundi muda. Itu menunjukkan perubahan akan berlaku. Apa yang penting ialah kita menangani perubahan ini dengan sebijak-bijaknya. Dengan sebab itu saya kemukakan pada mukadimah tadi yang menyelamatkan orang Melayu ialah Islam.
Selagi Umno tidak berubah pada Islam, insha-Allah PAS akan menjadi penyelamat kepada orang Melayu dan Islam. Dan PAS akan bersikap dengan satu sikap yang boleh diterima oleh Islam. Kerana PAS berjaya mengubah minda fanatik orang Melayu dengan perkauman mereka kepada orang Melayu yang membuat perubahan dan orang Melayu yang mengambil kira hubungan mereka baik dan adil dengan masyarakat majmuk yang ada dalam negara ini. Perubahan yang tidak mampu dilakukan oleh Umno kerana Umno masih lagi dengan nasionalisme Melayu yang tidak ada konsisten kerana berdasarkan pragmatik. Mereka tidak boleh menipu orang Melayu selama-lamanya.

Dalam Muktamar PAS ke-56 lalu, Dato' Seri ada menyebut tentang tema "Sepakat Ke Putrajaya". Bagaimana nak direalisasikan untuk pilihanraya ke-13 ini?

Apa yang disebut itu bukan suatu impian. Kita perlu menyedari bahawa harapan yang ada pada hari ini adalah merupakan cita-cita di masa lalu. Cita-cita adalah daripada impian yang berubah kepada cita-cita. Kita kemukakan itu sebagai suatu harapan dan pelan perjalanan kita. Apa yang penting ialah kita merancang untuk menuju mengikut pelan yang kita atur. Dan pelan itu berjalan hari ini dengan PAS mengambil peluang daripada tekanan yang dihadapi daripada masyarakat. Berlakunya ketidakadilan, rasuah, penyelewengan, penyakit dalam Umno yang sepatutnya, Umno tidak boleh mempertahankan dengan penyakitnya dengan penyakit yang dahulu. Umno berehat. Sudah tiba masanya orang Melayu tidak lagi dipimpin oleh Umno.

Jika bukan Umno, siapa lagi?

Sepatutnya dipimpin oleh PAS kerana semua kaum yang ada di Malaysia, termasuk kaum lain daripada semua parti politik menerima orang Melayu adalah teras politik, di mana kuasa politik orang Melayu masih lagi di tangan orang Melayu. Ini kerana mereka adalah jumlah yang majoriti. Soalnya adakah orang Melayu bersama dengan umno atau bersama dengan PAS?
Sekiranya orang Melayu bersama dengan PAS, orang Melayu tetap menjadi teras politik. Yang berbeza dengan teras yang dikendalikan oleh Umno iaitu teras nasionalisme yang fanatik, tidak bertimbangrasa, oportunis, tidak menyelamatkan orang Melayu sendiri kepada suatu teras yang baru dan baik yakni Islam yang kita kemukakan ini. Ia boleh menyelamatkan orang Melayu dalam masa yang sama menyelamatkan kaum yang lain daripada pertembungan yang boleh merosakkan kita dalam negara ini.

Bagaimana kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat sekarang ini?

Kerjasama yang sangat baik dan sangat positif khususnya selepas berlaku Konvensyen Pakatan Rakyat di Selangor apabila kita telah berjaya meluluskan satu resolusi yang diterima oleh Pakatan Rakyat khususnya DAP iaitu menerima Islam sebagai Agama Persekutuan. Dalam masa yang sama memberikan hak kepada agama-agama yang lain dianuti dalam negara ini, menerima hak istimewa orang Melayu dengan tidak menzalimi kaum lain, menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan memperkasakan bahasa ibunda dan memberi ruang untuk kita belajar bahasa asing untuk meningkatkan ilmu kita.
Ini satu resolusi bersama menunjukkan kita telah berjaya membuat satu perubahan dalam satu gabungan Pakatan Rakyat yang fleksibel, bukan satu pakatan yang jumud, keras, mengikat tidak boleh bergerak, tetapi anjal. Kita menghormati perbezaan ideologi, anutan, budaya, dalam masa yang sama kita bersatu dalam perkara yang sama kita mempunyai titik persamaan iaitu untuk menegakkan keadilan dan memberi hak untuk semua dan saling menghormati antara satu sama lain.

Adakah kerjasama yang mantap dan sekuat ini dicemburui Umno-BN?

Macam saya katakan tadi, sudah tiba masanya untuk Umno-BN berehat dan bercuti untuk membina partinya dan membentuk dirinya semula. Sebagaimana yang berlaku dalam demokrasi negara yang lain. dan dia boleh kembali berkuasa selepas diperbaiki dan kita boleh buat silap kalau kita memerintah. Sepatutnya rakyat yang benar-benar demokratik akan memberi peluang kepada parti lain untuk memerintah. Mereka lihat dulu dalam masa lima tahun dan selepas itu mereka boleh membuat muhasabah terhadap semua parti termasuk Umno-BN, bukan kita sahaja. 

Adakah PAS akan turut serta dalam pilihan raya Dun Sarawak memandangkan perkembangan yang sangat positif di sana?

Insha-Allah kita akan turut serta. PAS telah menubuhkan cawangan di sana dan pilihan kita dilihat kepada sejauh mana beradanya PAS di sana dengan mengambil kira jalinan hubungan yang baik dengan Pakatan Rakyat. PAS telah buktikan dalam kerjasama dalam Pilihan Raya Kecil Sibu iaitu memenangkan calon DAP dalam masa yang sama menubuhkan cawangan PAS di kawasan Sibu yang majoritinya Melayu. Itu kerjasama praktikal yang kita wujudkan dan kita telah mendapat kerjasama positif daripada rakan kita DAP dalam pilihan raya itu. 

Penduduk di Sarawak sukar untuk dapatkan maklumat daripada akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Semasa muktamar telah dibangkitkan hal ini. Apa respon Dato' Seri?

PAS sedang mengorak langkah untuk menyelesaikan masalah itu dan sehingga kini kita telah menghantar dua, tiga kali rombongan melawat ke sarawak dan kita juga membuat pindaan dalam pimpinan Sarawak. Ini adalah persediaan awal untuk PAS hadapi pilihan raya Dun Sarawak. 

Seruan Dato' Seri kepada ahli dan penyokong Pakatan Rakyat seterusnya rakyat Malaysia dalam menggembeling tenaga bagi memastikan hasrat ke Putrajaya direalisasikan?

Seluruh ahli dan penyokong PAS bersikap berani kerana benar dan bersedia untuk berkorban kerana kebenaran serta mestilah bersikap matang, jangan bersikap bodoh dalam apa-apa langkah yang tidak bijak yang diambil oleh BN. Ini kerana kebijaksanaan inilah yang boleh menarik pengaruh rakyat dan menyebabkan mereka percaya kepada kita. Apa yang  berlaku adalah kegelabahan BN dan kita tidak boleh tidak bijak dalam menghadapi kegelabahan ini. Kalau kita bijak saya yakin kita boleh melangkah seperti mana yang kita atur.

Tiada ulasan: