KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 27, 2010

KAMI Sokong Zunar & Malaysiakini saman KDN: Pengharaman sekat kebebasan bersuara dan berekspresi

KENYATAAN MEDIA
KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN (KAMI)

01. KAMI menyokong penuh tindakan wajar Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque (Zunar) memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik, semalam 26 Julai 2010.

02. Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun yang dihasilkan sebagai sebuah karya oleh Zunar adalah tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

03. Pengharaman buku tersebut dilihat sarat dengan motif politik Umno-BN untuk menutup pintu maklumat dari gaya penampilan menarik, kreatif dan menerujakan pembaca apabila mentelaah kritikan pedas yang dipersembahkan.

04. Bagaimanapun, KAMI berpendapat tindakan KDN itu jelas melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan secara adil kerana kartunis Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan bertulis terhadap tindakan tidak popular itu.

05. Terdapat kewajaran munasabah Zunar dan Malaysiakini memfailkan saman tersebut bagi menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut.

06. Alasan KDN kononnya pengharaman itu atas alasan "boleh mengancam ketenteraman awam" terlalu sukar untuk diterima, kerana ia gagal dibuktikan, atau gagal dikemukakan hujah sokongan bagi mengiyakan alasan yang terlalu subjektif itu.

07. Tuduhan atau alasan sedemikian rupa terlalu mudah untuk dimanipulasikan oleh pihak berkuasa atas apa-apa jua tujuan, motif dan agenda bagi mengekang kebebasan media untuk berekspresi politik dan menutup pintu pertukaran idea dan pendapat di kalangan rakyat Malaysia.

08. KAMI juga kesal dengan sikap tidak profesional KDN yang tidak memberi sebarang respons terhadap rundingan yang diusahakan daripada pihak Zunar dan Malaysiakini terhadap tindakan pengharaman dua buah buku terbitan Malaysiakini, 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - diterbitkan syarikat Zunar, Sepakat Efektif Sdn Bhd - dilarang daripada dipamerkan bermula 24 Jun lalu.

09. Berdasarkan perkembangan muktahir, terdapat kecenderungan melampau KDN bersikap bias, diskriminasi dan menjadi pak turut memenuhi agenda politik Umno-BN dengan hanya bertindak kepada media-media pro Pakatan Rakyat, samada buku karton mahupun lidah rasmi parti yang dilihat mengancam pengaruh tegar mereka dalam negara ini.

10. Sehubungan itu, KDN diingatkan agar bekerja secara profesional, bebas dari politik kepartian sempit, dan apa yang lebih penting tidak menjadikan undang-undang sebagai senjata untuk mematikan demokrasi, menghambat kebebasan bersuara, mentalqinkan maklumat benar, menolak hak rakyat untuk menulis, berkarya dan berekspresi secara telus.

TARMIZI MOHD JAM
Setiausaha 
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
27 Julai 2010 

Tiada ulasan: