KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 20, 2010

Kempen Life Is Precious: Kenapa tangani 'buah' bukan pokok dan akarnya?

Sebagai warga Malaysia yang prihatin dan berpegang kepada keharmonian dan kesejahteraan umat berbilang bangsa, ramai yang gundah dengan apa yang sedang 'menyerang' masyarakat kita terutama yang melibatkan masalah sosial.  Masalah yang dilihat semakin membengkak dengan nanah dan kebusukan serta dibimbangi kesan jangka panjangnya. 

Ramai yang tampil memberi pendapat untuk membantu memulihkan keadaan. Baru-baru ini kempen 'Life Is Precious' telah dilancarkan oleh Dato' Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Puteri Umno Malaysia, di Hospital Kuala Lumpur. 

Kempen yang bertemakan '1 Malaysia, 1 Jiwa 1 Cinta' ini telah dilancarkan untuk memperlihatkan bahawa Puteri Umno tidak hanya berpeluk tubuh melihat fenomena kebejatan sosial terutamanya kes pembuangan bayi dan eksploitasi ke atas kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi. 

Namun jika diteliti,  mampukah usaha tersebut membanteras fenomena ini sehingga ke akar umbi? Mengapa kita memikirkan cara mengatasi masalah yang telah terjadi tetapi tidak membendungnya sebelum ia terjadi?  Puteri Umno seharusnya memahami bahawa pembuangan bayi dan eksploitasi terhadap kanak-kanak sebenarnya hanyalah 'buah' kepada satu penyakit kronik yang sudah begitu lama membenih di dalam masyarakat. 

Benih 'buta agama' yang menumbuhkan pohon maksiat yang begitu subur dengan cabang-cabangnya akhirnya berbuah dan buah itulah yang kini dibuang di jalanan.  Adakah boleh diterima akal sekiranya hanya buah yang ingin diberi perhatian, tanpa melihat kepada masalah pokok sehingga ke akar umbinya?

Cukupkah dengan hanya menekankan aspek kasih sayang untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat supaya menghargai anugerah yang diberi serta menyayangi diri sendiri dan keluarga terutama kanak-kanak? 

Ada keluarga yang begitu menekan aspek kasih sayang, makan bersama, bersosial bersama, tengok wayang bersama, beriadah bersama tetapi tidak langsung mementingkan pengisian rohani seperti, bersolat bersama, mengaji al-Quran bersama dan membuat kerja sukarela bersama. 

Jenguklah laman youtube dan kita pasti sesak dada melihat adanya anak-anak kita yang merakam aksi lucah dan haram untuk paparan di situ tanpa rasa malu atau risau dilihat orang.  Dalam menangani masalah sebegini, kita perlu mencari pendekatan-pendekatan yang mampu untuk membanteras, mengawal, malah mencegah masalah sedari awal. 

Bukanlah kita memejam mata pada apa yang telah terjadi tetapi kita selalu diingatkan, pencegahan adalah perkara yang lebih baik.  Bagi mereka yang memahami Islam sebagai satu cara hidup yang syumul dan praktikal, pasti tidak meragui bahawa hanya Islam yang mengemukakan penyelesaian yang terbaik dengan melihat kepada punca masalah. 

Kita wajar mengikuti langkah-langkah berikut:

1. Program pencegahan dan pengawalan berasaskan Islam melalui pendidikan dan penerapan ilmu-ilmu agama, pengawalan terhadap pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, walaupun di dalam keluarga sendiri, pengawalan terhadap media massa dan mengehadkan penggunaan internet agar tidak digunakan untuk mengakses laman web yang merosakkan.

2. Program yang membentuk sistem sokongan kepada remaja yang berisiko, sama ada dalam bentuk khidmat kaunseling, program-program kemasyarakatan mahupun latihan-latihan kemahiran yang dapat menjadi satu alternatif kepada mereka daripada terjebak di dalam pergaulan bebas yang akhirnya merosakkan mereka.

3. Perawatan terhadap mereka yang sudahpun terlibat dengan masalah sosial dan berisiko tinggi dengan meletakkan mereka di bawah pemantauan khusus golongan yang mampu menjadi pembimbing sama ada di kalangan golongan muda mahupun dewasa. 

Seandainya tidak mampu lagi untuk dirawat dengan bimbingan, maka perlu diserahkan kepada pihak berwajib untuk dirawat melalui hukuman yang boleh memberi kesan yang optimum. Tanpa tindakan pencegahan bersepadu melalui pendidikan agama yang baik, manusia tidak mampu mengawal tindak tanduknya.  Inilah perbezaan utama antara Puteri dan Nisa’. 

Justeru itu, tidak pelik jika Nisa’ mampu menjadi contoh yang baik kepada golongan muda sekalipun melalui 'small kindness' yang dilakukan. 

Sedangkan remaja Puteri Umno pula ramai terlibat dengan masalah-masalah sosial lantaran tidak mengambil berat tentang aspek dosa pahala.  Kita sangat risau andainya tempat perlindungan yang disediakan oleh Puteri Umno untuk membela anak-anak yang tidak berdosa ini menyebabkan remaja kita semakin tidak risau untuk berbuat dosa. 

Kerana jika melahirkan anak pun, ada tempat untuk menjaganya! Oleh itu, ayuh Muslimat & Nisa’! Kita perkasakan diri kita untuk terus menjadi pembimbing dan penyelamat kepada masyarakat yang tidak sedar bala yang bakal menimpa!  Sesungguhnya yang menjadi penyelamat kepada masyarakat ialah adanya golongan yang berani melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dengan penuh rasa tanggungjawab.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksa-Nya". - (Surah Al-Anfal, ayat 25) - Ustazah Rusiah Salleh

Tiada ulasan: