KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 22, 2010

Aktivis media gabung tentang akta penerbitan - Malaysiakini


Selepas insiden akhbar pembangkang mengalami masalah bagi memperbaharui permitnya  baru-baru ini, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman kini mengaktifkan semula NGO pro-kebebasan media, Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI).

Setiausaha KAMI Tarmizi Mohd Jam berkata, pengaktifan semula NGO itu dibuat bagi menyelaraskan kempen anti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang dianggap mengongkong. Beliau yang juga aktivis PAS berkata, KAMI diaktifkan semula ekoran cadangan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said baru-baru ini.

Selepas itu, tambahnya, KAMI akan mengumpulkan sokongan pelbagai pihak - meliputi tokoh dan persatuan wartawan dan penulis blog - bergabung membentuk Gerakan Rakyat Mansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (GERAM). 

Setakat ini, Tarmizi berkata, beberapa pihak telah bersedia memberikan sokongan terhadap kempen itu, termasuklah akhbar alternatif Harakah, Siasah, Merdeka Review. Manakala NGO yang berminat pula antaranya Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media  (Wami), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Tarmizi berkata, selain A Samad, pihaknya turut menerima permintaan supaya supaya dua tokoh kewawartawan Said Zahari dan Subky Latiff dilantik sebagai penaung bersama kepada GERAM.

Di peringkat awal, Tarmizi berkata, KAMI merancang beberapa pertemuan dengan ahli akademik dan persatuan wartawan pada minggu ini bagi mengumpulkan idea dan pandangan berhubung kempen anti akta kontroversi itu.

"Kita mahu kuasa memberi permit diberikan kepada satu jawatankuasa khas, bukan diberikan kepada pihak eksekutif, kepada menteri," katanya.

Tambahnya lagi, cadangan yang dikumpulkan akan dirumus dan dimasukkan dalam satu memorandum kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu, Tarmizi memberitahu gabungan tersebut, akan mengatur beberapa siri seminar dan diskusi bagi membincangkan tuntutan mereka itu.

"Kemuncaknya adalah demontrasi yang dicadangkan pada bulan Disember nanti sebagai bantahan supaya meminda atau memansuhkan akta penerbitan dan mesin cetak," katanya yang juga pengarang Harakah.- Abdul Rahim Sabri

Tiada ulasan: