KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Julai 09, 2010

Ahli Parlimen Pokok Sena mahu rakyat ambil alih kerajaan dari 'golongan yang sesat'


Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar membidas kenyataan liar yang dikeluarkan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Shafie Apdal yang menyifatkan PAS sebagai parti ajaran sesat. Kenyataan itu memperlihatkan kedangkalan ilmu dan kecetekan hujah yang ditampilkan Shafie kerana kata Mahfuz hujah yang ditampilkan tidak bersandarkan kepada ilmiah.

"Kita tidak kisah dia nak kata apapun, tetapi biarlah dengan hujah yang betul. Kalau dia kata PAS sesat kerana nakkan kerusi Parlimen dan Dun untuk pilihan raya, ini satu hujah yang dangkal," katanya ketika ditemui di Parlimen 6 Julai lalu.

Mahfuz berkata, adalah benar PAS mahu mendapatkan kerusi tidak kira di Dun mahupun Parlimen kerana PAS mahu merampasnya dari pihak yang 'sesat' dan 'gilakan kuasa'. "Dahulu ada pemimpin Umno kata PAS gila kuasa, yang betul kami ini gila sebab nak ambil alih kuasa dari mereka yang gila berkuasa. Kami mahu ambil kerusi Parlimen dan Dun sebab mahu ambil dari mereka yang 'sesat'," katanya sinis.

Beliau tidak menolak agenda debat, namun sebaliknya tohmahan yang dilontarkan Shafie sebenarnya boleh dinilai oleh rakyat yang semakin muak dengan 'kegilaan' kerajaan yang ada hari ini.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula melaungkan cabaran agar diadakan debat terbuka dengan pemimpin Umno itu berhubung dakwaan dangkal tersebut. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Shafie sepatutnya menjawab dakwaan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman secara berhujah, bukannya dakwaan kosong seperti yang dibuatnya.

Sementara itu, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohd Nasir Zakaria pula menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu kenyataan yang 'biadap'. "Mana boleh senang-senang kata PAS sesat. Kita berjuang atas landasan al-Quran, hadis, sunnah, ijmak dan qias, jadi nak kata kita sesat ini tak betul lah. Mana buktinya?," soalnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman menganggap ucapan Shafie Apdal itu sebagai kenyataan yang sangat merbahaya, biadab serta tidak bertamadun. Katanya, tuduhan Shafie itu jelas menunjukkan kedangkalannya selain tidak dapat menerima kenyataan bahawa PAS bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

"Beliau mungkin tidak menyedari PAS yang ditubuhkan secara sah pada 1951 telah disertai hampir 1 juta ahli berdaftar sehingga hari ini dan jumlah ini tidak termasuk para penyokong PAS yang berada di luar parti terutama di kalangan bukan Islam," ujarnya.

Tambahnya, dakwaan beliau PAS parti ajaran sesat jelas telah menyimpang dari realiti sebenar yang berlaku sebaliknya dakwaan itu hanya memperjelaskan lagi kegusaran serta ketakutan beliau selaku pemimpin tertinggi Umno apabila rakyat mula menolak Umno BN mutakhir ini.

Justeru, ujarnya bagi mengembalikan sokongan rakyat terutama orang Melayu kepada Umno BN, maka Shafie terpaksa mengeluarkan kenyataan yang sangat dangkal dan berniat jahat itu, meski pun bakal mengundang padah dan petaka kepadanya dan Umno.

"Jika Shafie mendakwa PAS parti ajaran sesat, apakah beliau berani menyatakan kesemua ahli PAS juga sesat," katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Sentral, dekat sini.

Sehubungan itu, Mazlan meminta polis menjalankan siasatan berhubung kenyataan Shafie itu kerana ia sangat merbahaya selain boleh menimbulkan pandangan negatif orang ramai terhadap PAS dan juga ahli-ahli PAS. Kenyataan Shafie juga dibimbangi akan menyesatkan serta memesongkan akidah umat Islam yang mungkin terdorong dengan prasangka yang tidak bersandarkan kepada maklumat yang sebenar, katanya.

Tiada ulasan: