Dewan Pemuda PAS Pusat mencadangkan agar "Himpunan Bersih 2" diadakan menjelang pilihan raya umum akan datang memandangkan pilihan raya di negraa ini masih terdedah kepada manipulasi. Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, tarikh himpunan ini dicadangkan pada hari Sabtu terdekat selepas Perdana Menteri membubarkan parlimen.
Jelasnya lagi. jika pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan ketelusan dalam pilihan raya maka rakyat akan berhimpun di Istana Negara pada tarikh yang ditetapkan.
"Jika kerajaan tidak mahu melihat rakyat berhimpun di Istana Negara maka kerajaan hendaklah membuang segala ruang manipulasi dalam undi pos, daftar pemilih dan pemalsuan pengundian. Media mestilah memberi jaminan membuat liputan yang adil kepada semua pihak. Pemerhati antarabangsa perlu dipanggil untuk menjadi pemerhati pilihanraya di negara kita," tegas beliau kepada Harakah.
Alasan tarikh cadangan himpunan selepas pembubaran parlimen, jelas Suhaizan kerana pertamanya bagi mempastikan pilihan raya ke-13 akan berlaku dalam keadaan demokrasi pilihan raya yang telah dipulihkan sepenuhnya. Apa guna pilihan raya diadakan jika pilihan raya terdedah kepada manipulasi.
Keduanya, tegasnya, Perdana Menteri perlu membetulkan sistem pilihan raya terlebih dahulu sebelum membubarkan parlimen. Itulah yang dinamakan "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan".
"Ketiga, jika ada pihak yang mengatakan masa tersebut adalah masa yang terlalu sibuk maka suka saya jelaskan bahawa rakyat di negara ini boleh berhimpun di Istana Negara dengan notis 48 jam. Ini kerana rakyat telah tiga kali berhimpun secara besar-besaran.
"Lagi pun himpunan ini hanya memakan masa 3 jam sahaja dan ia boleh membangkitkan kesedaran seluruh negara untuk turun mengundi. Memberi rangsangan terus untuk bekerja dengan lebih kuat lagi," tegas beliau.
Tarikh penamaan calon pun, ujar Suhaizan, berkemungkinan besar belum lagi diumumkan oleh SPR pada masa tersebut dan jika rakyat telah menerima arahan awal untuk berhimpun selepas pembubaran parlimen maka persiapan dari segi mental dan fizikal telah dibuat awal.
Oleh itu, kata Suhaizan, himpunan ini tidak menganggu proses kempen dan yang paling penting rakyat Malaysia berhak untuk melihat pilihan raya yang adil dan saksama. Jika ada pihak tidak berpuashati terhadap pilihanraya ke-13 dikuatiri keadaan politik negara tidak akan stabil dan ianya akan merugikan rakyat dan negara Malaysia tercinta ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan