Perhimpunan bermula pada kira-kira jam 5 petang semalam, Sabtu 3 Julai, bertukar menjadi program perhimpunan bagi pelancaran Kempen Tak Nak Judi oleh Gerakan Rakyat Mansuh Judi (GMJ). Hampir 3,000 membanjiri perkarangan Masjid Negara sebaik usai solat Asar.
Himpunan diketuai Pengerusi GMJ, Azmi Abdul Hamid dan para pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kempen tersebut. Himpunan ini adalah lanjutan kepada demontrasi aman menentang judi bola sepak yang telah dibatalkan lesennya oleh Perdana Menteri minggu lalu. Ia suatu kejayaan amat berharga buat GMJ dan rakyat seluruhnya.
Bagaimanapun, ekoran tindakan kerajaan membatalkannya, "perhimpunan 100,000 orang itu' bertukar format sebagai satu lagi majlis pelancaran bagi kempen baru GMJ "Tak Nak Judi" bagi menolak semua jenis judi di negara ini.
Lebih 90 peratus yang hadir terdiri daripada anak-anak muda sekitar Lembah Klang dan IPTA serta IPTS di sini. Mereka kelihatan begitu ghairah tampil menentang semua judi yang dimaksudkan itu dengan membawa tema "Belia benci judi" iiatu tema popular kerajaan BN berkenaan dadah "Beliau benci dadah" yang tukar fokus kepada judi.
Turut berucap di majlis itu termasuk Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan; Ketua Pemuda PKR; Shamsul Iskandar Mat Akin, Ketua Penerangan PAS Pusat, Suhaizan Kaiat yang juga Setiausaha GMJ; Ketua Dewan Ulama PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin; dan beberapa pemimpin Islam dari negeri Pulau Pinang, Perak, serta wakil PKPIM, Abim, Gamis dan JIM.
Kira-kira 50 polis dilihat mengawal keadaan di sekitar kawasan tersebut yang berakhir tanpa sebarang insiden. Tiada trak FRU kelihatan. Perhimpunan aman berjalan aman. Satu lagi bukti, tanpa provokosi polis, perhimpunan aman tetap akan aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan