KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 28, 2010

Selamatkan Malaysia daripada cengkaman Umno - Presiden PAS


Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, sudah tiba masanya PAS diberi peluang oleh rakyat menggantikan Umno yang sudah rosak bagi menyelamatkan negara Malaysia keseluruhannya.

Perkara ini ditegaskan beliau dalam wawancara ekskusif Harakah bersama beliau di Pejabat Agung PAS dekat sini 14 Julai lalu. Beliau mengulas isu jemputan kerjasama yang dilaungkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mahu PAS bekerjasama dengan Umno.

"Sudah tiba masanya Umno memberi peluang kepada PAS untuk memimpin orang Melayu dalam menyelamatkan mereka dan sudah tiba masanya Umno beri peluang kepada PAS untuk kita tunjukkan konsep kepada masyarakat majmuk dengan adunan perpaduan yang kita kemukakan dan cadangkan, dan sudah tiba masanya Umno berehat," katanya.

Ustaz Hadi juga menolak laungan kerjasama yang diutarakan pimpinan Umno hari ini sekiranya parti itu masih lagi mengamalkan 'pragmatisme' dalam menyampaikan hasrat mereka. Ini kerana kata beliau, Umno hanya mahu bekerjasama semata-mata untuk survival politik mereka tatkala rakyat mula menolak mereka sejak Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

"PAS ada sikap terbuka tanpa gadai prinsip, kita tidak berganjak dengan Islam ajar kita sebarang pertelingkahan hendaklah kembali kepada Allah dan rasul,  muzakarah kena pada semangat Islam, kerana hukum tertinggi dalam PAS ialah al-Quran, hadis, ijmak ulama dan kias," katanya 

PAS menolak kerjasama yang hanya berdasarkan kepada kepentingan politik Umno sahaja, kerana PAS tidak mempunyai matlamat untuk selamatkan Umno, sebaliknya PAS yakin yang dengan iltizam bahawa menyelamatkan negara ialah dengan Islam,  katanya.

Beliau juga melihat bahawa apa yang dilakukan oleh Umno tidak istiqamah dengan dasar sebenar, kerana Umno menggunakan konsep 'pragmatisme' dan hanya mahu kepada kepentingan mempertahankan kuasa semata-mata.

"Mereka (Umno) tidak ada iltizam untuk selamatkan negara dan masyarakat, mereka ini tidak benar, tidak amanah kepada negara," dakwanya. Bagi Ustaz Hadi, PAS sebagai parti Islam bertangggungjawab dalam memimpin rakyat dengan Islam dan dalam masa yang sama menarik pengundi Melayu Islam supaya menyokong PAS.

Ia perlu direalisasikan apabila meihat kegagalan Umno dalam memartabat dan memperkasakan orang Melayu dan Islam. PAS merasakan bahawa orang Melayu wajib diperkasakan dengan Islam iaitu Islam yang tekandung dalam Al-Quran dan hadis, selaras dengan undang-undang tubuh PAS, tegasnya.

Ustaz Hadi juga menyifatkan, Umno akan meneruskan perkauman Melayu yang fanatik setiap kali mereka tersepit untuk mendapatkan sokongan, katanya. Justeru beliau mengingatkan PAS hanya menerima penyatuan jika Islam dijadikan sebagai dasar dan asas kepada sebarang bentuk muzakarah untuk menyelamatkan negara.

PAS yakin dengan kemampuan dan kesepakatan yang ada dengan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat yang telah dibuat, rakyat mampu untuk menjadikan PAS sebagai pengganti kepada kerajaan yang korup hari ini, tegasnya.

Dengan keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan PAS dan parti dalam komponen Pakatan Rakyat, rakyat akan memberi kepercayaan kepada parti ini untuk menggantikan kerajaan yang ada dalam pilihan raya akan datang, katanya.

Tiada ulasan: