KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 05, 2010

Rakyat minta Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) teruskan kempen kesedaran bantah judi untuk didik rakyat


Desakan dan asakan rakyat pelbagai bangsa dan agama akhirnya menundukkan Perdana Menteri untuk membatalkan lesen jusi sukan yang telah diluluskan kepada Syarikat Ascot Sport Sdn Bhd pada 7 Jun 2010. Ini satu kejayaan mega rakyat, membuktikan 'suara rakyat, suara keramat'. Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) cukup dibimbangi kerajaan Umno-BN. Wartawan SALMIYAH HARUN mendapatkan reaksi Pengerusi GMJ, Azmi Abdul Hamid berkenaan kejayaan menggagalkan judi bola sepak ini.

Lesen judi bola sudah ditarik balik. Apakah ini kemenangan buat rakyat?

AZMI ABDUL HAMID: Saya sangat berbangga melihat keberanian rakyat, kali ini tidak berkompromi dan tidak lagi boleh menerima keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang jelas merosakkan masyarakat. Saya ucapkan tahniah kepada rakyat kerana walaupun cuba dikendurkan atau dicairkan pandangan isu ini dengan mengatakan ada pandangan yang berbelah bagi, tetapi umumnya rakyat setiap hari menambah sokongan untuk menolak judi itu semakin kuat. Boleh dikatakan, setiap hari ratusan orang menghubungi GMJ memberi sokongan dan rangsangan teruskan perjuangan ini  kerana rakyat akan bersama. Jadi ini sangat membanggakan dan ia mesti diteruskan sehingga kita mencapai kepada perubahan yang sebenarnya. 

Benarkah pembatalan lesen judi bola oleh Perdana Menteri ini dibuat atas alasan agama? Atau lebih kepada politik? 

Kita berasa aneh. Pertamanya kerana menggunakan alasan agama dan politik. Kenapa seolah-olah kesedaran bahawa judi itu haram bukan sahaja oleh agama Islam bahkan hampir kesemua agama menolaknya tidak ada? Mengapa kesedaran itu baru sekarang timbul? Bermakna mereka lebih lihat kepada soal politik. Keputusan itu sangat cair, ertinya kalau ada tanda-tanda Umno mendapat keuntungan politik kemungkinan dia akan terus lulus lesen judi itu. Kerana politik itu lebih utama dari agama nampaknya.

Kata rakyat didahulukan, kenapa setelah rakyat bangkit bantah baru sura mereka didengari?

Mereka dengar suara rakyat pun, tidak menampakkan ketulenannya. Masih banyak lagi melihat kepada sifir politik untung rugi BN. Bagaimana dengan faktor lain? Macam mana dengan aktiviti lain babitkan hiburan liar yang diluluskan. Rasanya tidak pernah ditanyakan kepada rakyat sebagai mana isu judi ini jugalah. 

Bagaimana dengan judi-judi lain?

Isu yang diketengahkan ini bukan sahaja dalam konteks judi sukan semata-mata. GMJ melihat sudah ada pelbagai suara dari berbagai-bagai agama dan bangsa yang berasa resah dengan sebegitu banyak lesen-lesen judi yang dikeluarkan. Janganlah judi sukan sahaja yang dikatakan ditarik balik kerana alasan agama dan politik. Kita akan tanya juga judi-judi lain yang dianggap sama berat juga. Kita ada judi di peringkat kanak-kanak sampai ke peringkat orang dewasa. Bagi GMJ merasakan perlu ada pendidikan yang bersungguh-sungguh daripada kerajaan untuk menunjukkan bahawa mudarat judi ini sangat besar. Menilai semula undang-undang yang kita ada iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953 antara akta yang mengawasi judi ini perlu disemak semula untuk melihat di mana ada ruang-ruang yang longgar yang menyebabkan penguatkuasaan tidak berkesan. 

Maksudnya kurangkan lesen...

Ya! Kerajaan kena mulakan proses pengurangan lesen judi ini secara bertahap kerana dalam jangka masa panjang kita akan mengarah kepada sebuah negara yang akhirnya tidak perlu bergantung kepada judi sebagai salah satu sumber cukai. Ini kita mahu kerajaan lakukan.  

Apakah motif sebenarnya Najib Tun Razak membatalkan lesen judi, bimbang dengan Pilihan Raya Umum ke-13?

Yang jelasnya beliau berada pada tahap untuk memulihkan imej politik yang sudah secara ratanya tidak sangat dilihat positif oleh rakyat. 

Walaupun dikatakan popularitinya meningkat 72 peratus?

Ya! Untuk itu, perhitungan ini adalah angka yang mana baginya belum cukup menyakinkan rakyat. Jadi, saya kira sekarang ini perhitungan pemulihan imej lebih daripada itu supaya pilihan raya akan datang segala hal yang terpalit pada mula beliau menjadi Perdana Menteri dapat dikurangkan. Beliau memang ada pertimbangan politik yang kuat dalam keputusan membatalkan lesen judi ini. Oleh kerana itulah keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertingi (MT) Umno bukan dalam Kabinet. Ini jelas menunjukkan ia dibuat untuk perhitungan politik Umno. 

Mana ulama Umno dan ulama kerajaan, mereka seolah-olah membisu? 

Ulama yang masih dalam lingkungan kerangka Umno menunggu isyarat. Ini yang kita rasa sayang kerana ulama lingkaran ini sepatutnya tidak boleh berkompromi berhubung soal prinsip agama. Tetapi, jelas nampaknya ulama-ulama ini terpaksa akur dan membisu kerana selagi Perdana Menteri tidak mengeluarkan isyarat mereka tidak berani hendak bersuara.  Inilah yang saya kata sebagai dosa yang dikompromikan oleh kalangan ulama di dalam Umno, yang nampaknya tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah dalam soal asas agama. Saya kira dewan ulama Umno itu hanya tinggal dewan sahajalah. Dewan ini tidak ada keupayaan kerana sistem dalam Umno yang tidak membenarkan suara ulama mengatasi keputusan Umno. 

Tiada ulasan: