KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 28, 2010

KAMI diaktifkan untuk lancarkan GERAM mansuh pinda Akta Mesin Cetak & Penerbitan


Kuasa penuh yang diberikan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) menentukan kelulusan penerbitan sesebuah akhbar yang terkandung dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 perlu dimansuhkan. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dalam diskusi kedua mereka pada 21 Julai baru-baru ini menggesa kerajaan Umno-BN meminda dan memansuhkan beberapa peruntukan dalam akta tersebut.

Seksyen 13a, menjelaskan apa-apa keputusan menteri untuk menolak daripada memberikan atau untuk membatalkan atau menggantung sesuatu lesen atau permit adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa jua alasan pun. Bagi maksud seksyen ini "keputusan" yang diertikan termasuklah apa-apa perintah atau arahan yang dibuat oleh menteri di bawah akta ini.

Pengerusi KAMI, Ahmad Lutfi Othman berkata, apa yang terkandung di dalam akta tersebut jelas penyalahgunaan kuasa amat mudah dilakukan oleh menteri terbabit bagi menyekat kebebasan bersuara sekali gus menghalang rakyat mendapat maklumat.

"Penyalahgunaan kuasa di kalangan menteri amat mudah dilakukan dalam akta ini yang mudah dimanipulasi bagi menyekat rakyat," katanya kepada media, selepas usai diskusi berkenaan di Pejabat Editorial Harakah, Jalan Pahang, dekat sini.

Mereka yang hadir, bekas Pengarah Pusat Islam, Ustaz Ahmad Awang; adik almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmi, Dr Norbit Mohd Noor; Exco Paksi, Kassim Mohamad dan Razali Endun; bekas Editor Harakah, Shukor Harun; Exco Dewan Muslimat PAS Pusat, Athirah Al-Jundi dan Ustazah Rosiah Salleh; wakil-wakil media Harakah; Harakahdaily dan Suara Keadilan. Diskusi dipengerusikan Setiausaha KAMI, Tarmizi Mohd Jam.

Menurut Lutfi, cabaran paling besar sekarang untuk menangani masalah permit dua lagi lidah rasmi Pakatan Rakyat iaitu Suara Keadilan dan Roket, yang masih ditahan KDN dan satu pertemuan akan diatur dengan pihak KDN dan Suhakam bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Ini isu besar yang perlu diselesaikan segera. Kerajaan Umno-BN semasa membuat pertimbangan pada masa itu tidak pernah memikirkan nasib kakitangan yang bekerja di akhbar berkenaan.

"Keputusan itu juga memberikan kesan kepada syarikat percetakan selain editor akhbar yang sering dipanggil dan diberi amaran olah KDN," ujarnya.

Aiman Athirah Al-Jundi berkata pada sidang media yang sama, perjuangan KAMI akan bersifat objektif dan diplomasi dengan mengikut segala prosedur undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian dan mewujudkan situasi menang-menang di antara kerajaan dan media alternatif.

Setiausaha KAMI, Tarmizi Mohd Jam pula menegaskan, pertemuan kedua itu berjaya mencapai beberapa keputusan bagi memulihkan kebebasan akhbar dalam negara yang diiktiraf sebagai mengamal demokrasi.

KAMI akan turut membincangkan perkara ini dari sudut undang-undang dan juga mengenal pasti beberapa bahagian dalam akta ini yang jelas bercanggah dengan konsep pengasingan kuasa dan demokrasi, jelas menyekat kebebasan rakyat.

Jelas Tarmizi, pertemuan berikutnya akan diadakan bersama wakil-wakil media yang lain serta pakar perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari dan pensyarah media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah bagi membincangkan perkara tersebut, selain beberapa pertemuan dengan individu media dan NGO berkaitan.

Menurutnya lagi, satu memorandum berhubung tuntutan itu akan disampaikan kepada pihak KDN, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) dalam masa yang terdekat.

KAMI juga akan menggerakkan kempen mendidik rakyat dari masa ke semasa tentang kekangan akta ini, sehingga ke matlamat akhirnya melancarkan gerakan rakyat dikenali sebagai GERAM (Gerakan Rakyat Mansuh Pinda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan) agar akta berkenaan mememuhi kepentingan rakyat.

Terdahalu, diskusi kali pertama telah diadakan dengan beberapa aktivis media teramsuk Setiausaha GMP, Husni Abbas di Pejabat editorial Harakah, Jumaat sebelumnya.

Langkah mengaktifkan KAMI rentetan syor Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said yang mahu sudah rakyat bangun menuntut agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang diguna pakai di negara ini dihapuskan kerana ia jelas mengongkong kebebasan bersuara.

Tiada ulasan: