KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 20, 2010

Makin parah: Bimbang 84 kes setiap hari anak luar nikah - Pemuda PAS Wilayah

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melahirkan kebimbangan di atas jumlah 257,000 sijil kelahiran dari tahun 2000 hingga Julai 2008 yang tidak mencatatkan nama bapa.  Merujuk kepada titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menyebut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari.  Dalam ucapan baginda turut menyebut, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009. 

"Kes kelahiran anak luar nikah ini berpunca dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang keterlaluan. Budaya hedonisme dan candu hiburan, berpeleseran, bersekududukan, mengunjungi pusat-pusat hiburan adalah faktor penyumbang kepada terjebaknya remaja kepada aktiviti perzinaan," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman.

Beliau turut mempersoalkan mengapa dalam keadaan kes kelahiran dan pembuangan bayi semakin meningkat, kerajaan membenarkan pusat-pusat hiburan beroperasi tanpa kawalan? 

"Di dalam pusat-pusat hiburan inilah pelbagai aktiviti maksiat berlaku seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan, arak, dadah, dan pelacuran. Selain itu, penganjuran konsert-konsert hiburan yang terlalu banyak menyumbang kepada gejala kelahiran anak luar nikah.

"Mengapakah kerajaan sanggup membenarkan penganjuran konsert berlangsung tanpa kawalan yang ketat. Apakah kerajaan mampu menjamin keselamatan anak-anak gadis dari dinodai dan digoda oleh remaja-remaja lelaki sebaya dengannya," katanya. Fadhil bimbang kemungkaran dan maksiat sangat mudah diperolehi melalui internet dan telefon bimbit sehingga ke setiap rumah di Malaysia.

Justeru, beliau mengharapkan semua pihak memainkan peranan dalam memastikan angka kelahiran anak luar nikah dapat dibendung.  Tegasnya, kerajaan perlu membendung gejala maksiat hingga ke akar umbi dan tidak membenarkan lagi pusat-pusat hiburan beroperasi dalam negara walau apa alasan sekalipun. 

"Penekan tarbiyah dan pendidikan agama sangat penting bagi memastikan pelajar-pelajar tahu hukum halal dan haram serta segala aspek yang berkaitan dengan ruhiyyah. Ibu bapa pula perlu berperanan dalam memastikan pendidikan dan pergaulan anak-anak terjaga," katanya.  Beliau turut mengharapkan masyarakat turut bersama memainkan peranan dalam memastikan gejala zina dapat dihentikan.

"Institusi masjid, pusat komuniti, kempen kesedaran, kumpulan pencegah maksiat, kem-kem motivasi adalah usaha yang baik bagi membantu membendung budaya zina dan kelahiran anak luar nikah dari berleluasa," kata Fadhil.

Tiada ulasan: