KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Julai 17, 2010

PAS konsisten mahu Akta Mesin Cetak & Penerbitan dihapuskan - Mahfuz Omar

Memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah menjadi satu tuntutan PAS selama ini tegas, Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar. Beliau berkata, sama ada dihapus, dibubarkan atau dibuat pindaan terhadap akta tersebut, ia mestilah untuk kebebasan media malah melangkaui  kebebasan hak rakyat  untuk mencapai maklumat dari pelbagai sumber.

Tambahan pula katanya, kemajuan internet  di zaman informasi dan teknologi ini menunjukkan akta tersebut sudah tidak relevan lagi kerana akta itu cuba untuk menyekat dan menyukarkan khususnya penerbitan akhbar-akhbar alternatif. "Ini memperlihat kerajaan Umno-BN  takut sekali  pendedahan dan maklumat sampai kepada rakyat di negara ini.

"Sebab itu saya kira kesatuan wartawan harus memulakan gerakan tersebut. Dan kita (PAS)  sebagai sebuah parti  akan memberi sokongan," katanya di Parlimen Rabu lalu. Minggu lalu, akhbar Harakah turut dipanggil ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putra Jaya membincangkan isu-isu berkaitan dengan permit dan kandungan.

Mahfuz mengulas lanjut, gerakan mansuh akta tersebut perlu digerakkan penulis dan wartawan kerana selain menghalang rakyat memperoleh maklumat  daripada pelbagai sumber, ia juga menyekat kebebasan penulis dan wartawan untuk membuat laporan dengan benar dan adil. Sehubungan itu tegasnya, perlu ada pindaaan atau penghapusan Akta Penerbitan &  Mesin Cetak 1984 dengan segera.

Menurutnya, jika kerajaan enggan berbuat demikian mereka  digesa membuat pindaan yang membolehkan rakyat  bebas bersuara. Bagaimanapun, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena percaya kerajaan enggan menghapuskan akta tersebut kerana ia boleh dijadikan sebagai senjata untuk pertahan kuasa politik pemerintahan BN.

"Maknanya akta tersebut boleh menyekat kebocoran dan terdedahnya  segala kepincangan yang belaku dalam kerajaan BN," bidasnya.

Tiada ulasan: