Sudah tiba masanya pelbagai pihak membentuk perbincangan secara serius terhadap hak dan kebebasan media dalam negara ini. Penggunaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menjadi 'senjata' kerajaan Umno-BN menyekat kebebasan rakyat bersuara. Terbaru, KDN tidak memperbaharui permit akhbar Suara Keadilan. Apakah nasib demokrasi negara ini? Sejauhmana kekangan terhadap akhbar-akhbar alternatif ini boleh menghalang rakyat mendapat maklumat ketika mereka sedang mengalami proses keterbukaan informasi. Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia, Professor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah mendesak Pakatan Rakyat secara serius membatalkan akta itu di Parlimen. Ikuti interbiu wartawan SALMIYAH HARUN bersama beliau.
Apa respons pertama Dr terhadap tindakan KDN menggantung permit surat khabar oposisi Suara Keadilan?
DR. ABU HASSAN HASBULLAH: Tentang pengharaman Suara Keadilan (SK) itu mungkin kita perlu mendapat penjelasan atas faktor-faktor apakah yang membolehkan tindakan itu diambil pada prinsip yang sepatutnya. Kemungkinan sudah tiba masanya di semua peringkat membentuk perbincangan terhadap kebebasan media dan Akta Mesin Cetak perlu dilakukan secara kolektif, komprehensif dan secara pragmatik bagi membolehkan hasrat negara untuk menjayakan demokrasi secara lebih murni dan sempurna.
Kaitannya dengan sistem demokrasi...
Pengharaman SK ini juga kita lihat sebagai suatu tindakan yang mungkin menimbulkan banyak persoalan terhadap nasib demokrasi yang diamalkan dalam negara kita. Ini kerana, rakyat tidak mendapat penjelasan yang selengkap-lengkapnya terhadap sebab-sebab atau faktor-faktor yang boleh menyokong terhadap tindakan tersebut.
Difahamkan KDN ada menjelaskan antara sebab kerajaan mengharamkan akhbar itu kerana menyentuh isu-isu semasa. Sedangkan dari segi realistik sebagai akhbar alternatif sudah tentu mereka wajar menyentuh apa yang bertentangan dengan dasar kerajaan.
Itulah... kita kena fahami pada pandangan masyarakat sudah memahami SK adalah akhbar institusi atau akhbar organisasi, dan kebetulan SK akhbar institusi politik milik KeADILan. Jadi sudah pastilah sebagai akhbar milik organisasi maka jauh sama sekali nilainya iaitu akan berfungsi sebagai jurucakap kepada parti itu. Sudah pastilah akhbar ini akan mencetus dan melaporkan maklumat-maklumat dari posisi institusi tersebut. SK tidak boleh disamakan dengan akhbar-akhbar di peringkat nasional iaitu akhbar harian kerana mereka lebih mewakili sebuah pihak. Jadi semua orang tahu bahawa akhbar SK ini milik organisasi sama juga akhbar sebuah masjid, akhbar kecil bagi sebuah sekolah atau sebagainya.
Tapi perlukan akhbar parti diharamkan?
Jadi sudah pasti isu-isu yang dibangkitkan dalam akhbar tersebut berkaitan dengan pemikiran dan apa sahaja yang berhubungan dengan perjuangan organisasi tersebut. Apa yang berlaku pada SK ini dilihat oleh masyarakat dalam bentuk pertanyaan "adakah kita masih memerlukan tindakan-tindakan semacam itu seperti mengharamkan atau sebagainya?".
Sejauh mana pengharaman akhbar alternatif ini memberi kesan terhadap penerimaan maklumat oleh rakyat?
Masyarakat pada waktu yang sama sudahpun mengalami proses keterbukaan informasi yang didedahkan dalam internet dan sebagainya. Dalam kata lain masyarakat tidak melihat sejauh mana kesan yang dibawa oleh akhbar itu terhadap pemikiran masyarakat. Walau bagaimana pun, bentuk laporan yang dikemukakan oleh mana-mana akhbar sudah pasti masyarakat akan menilainya, memprosesnya, dan akhirnya membuat pemutusannya sendiri. Di dalam proses demokrasi seperti kata 'Rendra' sendiri "biarkan masyarakat mempunyai lidahnya sendiri'. Sudah pastilah rakyat berhak untuk bercakap dan berhak untuk mendedahkan sesuatu kepincangan yang memungkinkan berlakunya proses-proses pemutusan tadi. Inilah yang rakyat persoalkan kenapa ini masih terjadi. Barangkali atas alasan-alasan apa kerana dalam masa yang sama rakyat memerlukan maklumat untuk berfikir dan memproses dan sebagainya.
Mengapa akhbar pembangkang dikenakan tindakan jika menjentik kerajaan malangnya akhbar kuasaan kerajaan pula sebaliknya?
Itulah... maknanya sekarang kita harus mengatakan bahawa walau bagaimana pun masyarakat tetap mendapatkan informasi yang sebenarnya daripada segala bentuk perkembangan media sekarang. Apa yang dituntut masyarakat sekarang kemungkinan ialah kebenaran. Apa pun tindakan dilakukan oleh mana-mana pihak sekalipun mestilah berasaskan kepada kesaksamaan ini kepada keadilan bagi semua, kerana dalam sebuah proses demokrasi ini bagi sebuah negara yang agung keadilan adalah teras kepada peradaban.
Inilah perlu diberitahu bahawa negara yang baik itu adalah negara yang menjayakan proses peradaban yang adil buat semua.
Akta Mesin Cetak & Penerbitan 1984 antara yang cuba menyekat hak dan kebebasan media sekaligus menghalang rakyat untuk bersuara. Relevankah akta ini sekarang?
Sekarang tanggungjawab semua. Wakil-wakil daripada Pakatan Rakyat harus bertindak lebih berani. Sekarang ini di parlimen bukan sahaja di pihak kerajaan bahkan di pihak Pakatan Rakyat yang mempunyai anggota parlimen yang cukup. Tetapi kenapa hal ini tidak dibawa secara serius untuk membatalkan akta ini. Saya tidak nampak sejak daripada beberapa kali persidangan Dewan Rakyat dan tidak ada mana-mana ahli parlimen pun secara serius, konsisten membangkitkan isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan