KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 20, 2010

Sasterawan Negara, A Samad Said jawab tuduhan liar Rais Yatim



SASTERAWAN NEGARA, Dato' A Samad Said bercakap dengan 'berlapik'. Tak mahu bergaduh dengan sesiapa. Namun beliau tersinggung dengan ulasan keras Menteri Penerangan & Kebudayaan, Dato' Seri Rais Yatim tentang beberapa dakwaan yang dianggap tidak betul. Pak Samad enggan diwawancara oleh media establish lain, tetapi cukup gembira mendapat tahu Harakah mahu menemuinya. TARMIZI MOHD JAM dan INTAN ABDULLAH menemui tokoh wartawan dan sasterawan itu di sebuah restoran di KL Sentral bagi memugar isu-isu "pergeseran" beliau dengan Rais Yatim. Ikuti butirannya.

Agak mengejutkan juga tentang cerita "pergeseran" Menteri Penerangan dan Kebudayaan, Rais Yatim dengan Pak Samad... apa sebenarnya yang terjadi?

DATO' A SAMAD SAID: Perkara ini memang sudah menjadi budaya. Saya tidak mahu heboh. Sebab saya mengharapkan bahawasanya, perjalanan penyerahan khazanah itu berjalan dengan licin. Biarlah saya beritahu, memang benar apa yang disampaikan Menteri Kebudayaan itu (Rais Yatim) bahawasanya kementerian dia telah membeli khazanah saya tetapi itu tiga tahun yang lalu. 

Khazanah itu dalam bentuk apa Pak Samad?

Dalam bentuk buku saya, diari saya, proses penciptaan saya... yang saya kumpul hampir 50 tahun. Tetapi itu segmen yang pertama, hanya untuk separuh. Saya ada lagi separuh yang saya ingin serah. Timbul masalah yang saya fikir inilah soal yang kedua. Dulu saya percaya mereka tahu bahawa khazanah yang saya serahkan itu bukan khazanah yang akhir - ertinya khazanah yang awal. Kemudian yang akhir ini yang akan diserahkan. Ini saya beritahu malah menulis kepada Menteri Kebudayaan tentang hasrat saya untuk menyerahkan kelompok kedua dan yang terakhir. Itu masalahnya selama satu tahun tiada apa-apa jawapan dan andaian saya adalah tentu sahaja mereka tidak berminat. Tetapi apabila saya ikut melancarkan pameran lukisan saya, perkara itu telah saya sebutkan. Memang keinginan saya untuk ke New Zealand, cuma proses lah (menjadi masalah). Bagi saya di mana-mana pun dunia Tuhan, bumi Tuhan. Tapi sebelum itu saya merasakan wajarlah saya bersedia. Umur saya sudah 75 tahun dan saya hampir mencapai segala-galanya; boleh dihitunglah. Alhamdulillah kesihatan saya sangat munasabah. Saya sempat melaksanakan apa yang perlu dalam Islam termasuk menunaikan haji - ertinya semua sudah lengkap. Tapi saya fikir dalam perjalanan seni itu, seorang seniman dia tidak terhenti. Jadi, itu akan saya lakukan. Saya fikir Menteri Kebudayaan itu menjawab dengan agak kasar. Untuk saya, Menteri Kebudayaan itu harus menjawabnya dengan agak lembut, perlulah berbudaya. Entahlah sama ada dia bercakap kasar ataupun wartawan yang menjadikannya kasar, saya tidak tahu. Tetapi itulah mulanya. 

Dalam ulasan Rais ada menyatakan kerajaan telah menghabiskan sebanyak RM485 ribu untuk Pak Samad... ini duit apa?  

Itu tidak harus diumumkan. Memang betul saya akui jumlahnya RM485 ribu. Tetapi saya bukan ambil begitu sahaja sebaliknya menyerahkan barang yang berupa khazanah yang barangkali lebih berharga daripada RM485 ribu. Jangan memberi impresi bahawasanya saya ini diberi duit oleh pihak kerajaan. Itu yang saya tidak dapat terima. Saya telah menyerahkan khazanah yang saya kumpul lebih 50 tahun tetapi itu hak saya dan saya tidak terhutang kepada siapa-siapa. Pengumuman itu seolah-olah membayangkan bahawasanya saya terhutang, atau saya tidak sedar diri saya telah diberikan RM485 ribu. Saya ingin betulkan itu. Saya tidak diberi RM485 ribu, sebaliknya saya menjual khazanah saya dan kebetulan saya ingin menjual ke sana. Jadi, janganlah benda-benda yang semacam itu dibangkitkan. Sebagai Menteri Kebudayaan, fahamlah apa yang harus didedahkan secara bermaruah atau tidak harus dan saya fikir tidak wajar sama sekali untuknya mengumumkan jumlah itu. Bukan saya takut, saya tidak takut. Saya pernah menerima lebih daripada itu di tempat lain dan saya tidak takut.

Macam mana respon pihak kementerian?

Itulah saya telah menghantar surat rasmi kepada menteri. Memang kakitangan perpustakaan datang melihat benda itu, selepas itu senyap. Langsung tiada apa-apa. Berbeza dengan yang lalu, sebaik saya nyatakan hasrat dia datang kemudian ada benda yang terang. 

Tadi Pak Samad ada sebut nak berhijrah ke New Zealand, adakah selepas terjual khazanah terakhir ini?

Saya tidak mahu menjelaskan langsung hal itu sebab ini melibatkan kelompok lain tetapi benda itu akan bergerak seperti yang saya kata, siapa tahu memang hari-hari akhir saya di New Zealand. Saya sudah berumur 75 tahun. Tentu sahaja usia bersukat. Jadi saya mahu usia yang tinggal itu biar munasabahlah. 

Seolah-olah begitu sinis Rais Yatim bertanya "apa lagi yang Pak Samad mahu?". Barangkali ada Pak Samad nak perjelaskan? 

Itu yang saya jawab sebelum ini dalam Harakah. Saya tidak mahu apa-apa daripada dia (Menteri Kebudayaan) sebab pertanyaan itu memberi implikasi seolah-olah kerajaan telah memberikan segala-galanya kepada saya sedangkan itu tidak benar. Bukan sahaja kerajaan yang memberi bahkan saya turut memberi. Dari sisi itu saya tiada hutang budi sebab saya bukan ambil sahaja bahkan turut memberi. Jadi, pertanyaan itu saya fikir suatu pertanyaan yang tidak berbudaya...

Selepas 50 tahun Pak Samad berkarya, adakah berbaloi layanan yang diterima daripada pihak kerajaan?

Ini bermusim-musiman. Macam Menteri Kebudayaan timbulkan, saya "membalun" Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Itu sengaja ditimbulkan untuk menunjukkan bagaimana jenis orangnya saya ini. Seolah-olah saya suka bertelagah. Sedangkan antara saya dengan DBP bukan sahaja soal royalti misalnya, tetapi soal hak cipta. Saya menuntut pengembalian hak cipta saya kerana saya tidak senang dengan pengaliran dan penerbitan buku. Itu yang saya minta. Sebab itu saya menubuhkan sebuah syarikat kecil saya, Wira Bukit. Saya mahu segala-galanya kembali kepada saya supaya saya dapat menerbitkannya. Jadi "pergaduhan" saya dengan DBP, kalaulah ianya ingin dikatakan "pergaduhan" sebenarnya pewarasan, tetapi pemimpin Melayu suka menggunakan perkataan merajuk. Itu yang paling mudah untuk merenjiskan citra atau imej yang buruk. 

Kenapa ini ditimbulkan?

Ini persoalannya. Mengapa menteri budaya perlu timbulkan pertengkaran saya dengan DBP? Apa maksudnya? Tentu untuk membuktikan saya suka bertengkar atau saya memang orang yang gemar bertelagah. Ia tidak dipandang mengikut jurusan orang bertengkar itu adalah untuk mencari keadilan dan kesaksamaan.

Sejak bila konflik ini tercetus?

Tidak pernah... dan saya baik dengan menteri. Itu yang saya tidak faham kerana itu saya hantar surat. Saya tidak jumpa dengan menteri selama setahun, pun tidak mengapa.

Adakah Rais kurang senang pembabitan Pak Samad dengan Pakatan Rakyat sejak mutakhir ini?

Itu saya tidak tahu, perlu tanya di sebelah sana. 

Berdasarkan apa yang dibangkitkan Rais, macam ada sesuatu yang cuba memperlekehkan Pak Samad...

Kenyataan saya hanya sekadar bertanya sama ada berminat ataupun tidak? Kerana nampaknya dia tidak berminat. Jadi jangan salahkan saya kalau saya berhak berunding dengan orang lain. Tapi kalau saya berhak berunding dengan orang lain tidaklah bererti saya tidak mengenang budi. Itu impresi yang mahu dipancarkan terhadap saya. Pertama, dia sudah membeli sebanyak RM485 ribu malah dia umumkan supaya dunia tahu, kalau boleh luar dunia pun tahu. Tetapi harus ingat saya bukan menerima duit itu buta. Saya serahkan khazanah saya. Jadi boleh dikatakan sama-sama tidak berhutanglah.  

Jika dilihat, pergeseran ini telah mencalarkan imej Pak Samad sebagai Sasterawan Negara. Apa reaksi Pak Samad?

Saya tidak kisah sangat kalau dia hendak mencalarkan sebab akhirnya dia yang menentukan sejarah. Orang-orang ini akan luput, hilang dan akan pergi. Itu tidak menjadi soal. Malah, dulu saya pernah dicabar, apa sikap saya kalau gelaran Sasterawan Negara ditarik balik, saya tidak berhalangan. Saya tidak bertenggek atas gelaran itu, sebaliknya saya bertenggek atas karya-karya saya. Apa yang harus saya risaukan sangat. 

Apa penyelesaian dalam kes ini?

Saya tidak mahu fikirkan jalan penyelesaiannya sebab saya di tengah-tengah rundingan yang sangat penting. Kalau selesai atau tidak, itu tidak datang daripada saya. Sudah ada sebenarnya orang yang menjadi orang tengah untuk menyelesaikan dan ada juga orang yang sinis. Itu biasa bagi saya kerana saya telah hidup selama 75 tahun. Saya sudah melalui zaman Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Hj Mohamad, Ahmad Boestamam, Samad Ismail. Saya sudah menempuhinya, daripada sebelum merdeka sehingga sekarang. Dan saya tidak runsing sangatlah tentang hal itu. 

Menyingkap sejarah lampau, adakah Pak Samad lihat apa yang dilakukan pemimpin politik ke atas diri Pak Samad ini bermotif politik?

Saya tidak tahu dan saya tidak mahu ziarah ke dunia itu. Biarlah ahli sejarah yang membuat nilaiannya.

Sebagai orang media, saya melihat terdapat kebarangkalian disebabkan pembabitan Pak Samad mutakhir ini dengan pembangkang menjadi sebab... 

Itu saya serahkan kepada nilaian. Seperti yang saya katakan, ahli sejarah yang akan membuat penilaian. Memang benar saya memasuki aliran atau gerakan parti politik. Memang... tetapi tidakkah orang-orang itu tahu dahulunya saya bersama dengan Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Hj Mohamad, A. Samad Ismail. Mereka itu, ada orang PAS malah saya pernah bekerja dengan Ahmad Boestamam dalam Parti Rakyat. Tidakkah mereka tahu? Tetapi sepanjang perjalanan saya dengan gerakan itu landas saya ialah keadilan. Apa yang saya rasakan adil saya sertai.  Boleh juga ketika pemimpin Umno, saya biasa dengan pemimpin Umno. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Mahathir, Abdullah Ahmad Badawi walaupun tidak mesra. Kalau dihitung itu, saya lebih banyak memihak kepada Umno berbanding parti-parti lain. Dan itu tidak harus menjadi halangan untuk saya menyertai fikiran dan landasan orang lain. Sebab saya mempercayai negara ini sedang berada dalam keadaan yang keluh kesah. 

Maksud Pak Samad?

Yang saya dapati bahawasanya banyak kewajaran yang nampak semacam tidak wajar, banyak yang tidak wajar itu nampak seperti wajar semata-mata oleh kerana media utama itu ditangan pemerintah. Sebab itu saya amat sesal apa kala suara keadilan diharamkan, saya fikir itu tidak demokrasi dan tidak melaksanakan landas demokrasi. kita tidak harus membiarkan orang berada di tengah medan juang dengan tiada apa-apa dan kita datang dengan machine gun dan bom. Itu tidak adil saya fikir. Berikan mereka ruang. Apa sangatlah dengan akhbar mingguan itu. Kekerapannya itu pun dihalang. Kalaulah dikatakan salah, ambil tindakan undang-undang. Tapi janganlah dibunuh akhbar itu. Sedangkan kita melalak mengatakan kita negara demokrasi. Pada hal ini akhbar kecil. Tentunya akhbar kecil itu berpengaruh. Itu tentu sahaja saya akan memperjuangkan. Tetapi tidak bererti saya ahli Parti KeADILan.

3 ulasan:

Walinong Sari berkata...

Sepintas lalu dibaca ini kesimpulan saya.
Seperti perumpumaan melayu, bagi betis hendak peha,
2. Di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.
3. jangan jadi seperti kacang lupaklam kulit.
4.Mungkin juga hidung tak mancung, hidung pipi tersurong-surong

Ophe berkata...

ingin meminta keizinan untuk di pinjamkan ke blog saya. blog ini akan ssy kreditkan di sana jika ada keizinan... terima kasih..

Tanpa Nama berkata...

Wow, amazing blog format! How long have you ever been blogging for?
you made blogging glance easy. The full glance of
your site is excellent, as smartly as the content!



Also visit my web page - website