KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 28, 2010

Memperkasakan pengaruh PAS di kawasan Melayu - Tuan Guru Abdul Hadi Awang


PRESIDEN PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetap yakin, kemaraan PAS pada PRU ke-13 nanti, cukup positif untuk menggantikan Umno. Dasar Umno sudah tidak relevan, ia perlu berehat. PAS akan meletakan calon bukan Islam dari dewan himpunan yang baru ditubuhkan. Selain Umno terus mengulangi isu-isu lapuk untuk mencetuskan gelombang rakyat menyebelahinya, PAS kini sudah dilihat parti alternatif kepada Umno. Pelbagai isu yang dibangkitkan, Umno gagal mendapat keuntungan politik darinya. Rakyat kian sedar, celik politik dan sukar ditipu. Anak-anak muda, akan jadi pemangkin berkesan mengocak gelombang PRU-13 akan datang. Ikuti wawancara eksklusif Wartawan Kanan, WAN NORDIN WAN YAACOB dan INTAN ABDULLAH bersama Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung baru baru ini.

Selepas Muktamar PAS ke-56 yang baru lalu, pimpinan PAS Pusat telah mengadakan pemukiman. Apa hasil yang boleh dikongsi bersama?

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Sebenarnya tema ucapan dasar yang dibentangkan dalam Muktamar PAS lalu ialah 'Islam Adil Untuk Semua'. Melihat kepada perkembangan positif politik terhadap PAS. Bukan sahaja PAS mendapat sokongan daripada pengundi yang setia, yang tidak berganjak, PAS juga mendapat sokongan daripada golongan yang bukan Islam. Bukan sahaja dalam bentuk tahaluf siyasi atau persefahaman politik sebagai mana yang kita laksanakan selama ini, berlaku anjakan paradigma yang lebih di kalangan golongan bukan Islam hasil daripada pemerintahan kita di Kelantan, dan satu penggal di Terengganu, setahun di Perak begitu juga kita turut memerintah di Kedah menyebabkan mereka ingin bersama dengan PAS. Setelah PAS mengadakan muzakarah dengan ulama, rakan-rakan gerakan Islam di peringkat antarabangsa, khusus dengan Presiden Persatuan Ulama Antarabangsa, Syeikh Yusuf al-Qaradhawy, serta beberapa orang ahlinya. Sejak dibincang dengan wakil PAS, daripada tahun 1998 bersetuju supaya melibatkan orang bukan Islam di dalam PAS dan akhirnya kita telah membuat satu peruntukan iaitu menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Adakah ini suatu yang positif buat PAS masa ini?

Perubahan ini juga dilihat meningkatnya sokongan bukan Islam dalam PRU ke-12. Namun kita melihat sokongan orang Islam tidak bertambah atau bertambah juga tetapi tidak meningkat yang membolehkan kita memerintah dan memimpin negara. Padahal tahun 1989 yang lalu, kita telah mendapat sokongan orang Melayu Islam sehingga PAS memperolehi 27 kerusi. Pada masa itu kurang sokongan daripada golongan bukan Islam. Dengan sebab itu, PAS mesti menunaikan tanggungjawab yang besar. PAS adalah parti Islam yang bertanggungjawab memimpin rakyat dengan Islam ini, lebih utama juga menarik pengundi-pengundi Melayu Islam supaya menyokong PAS.

Maksud Dato' Seri...

PAS melihat kegagalan Umno dalam memartabatkan orang Melayu dan memperkasakan mereka. Jadi, kita merasakan bahawa orang Melayu wajib diperkasakan dengan Islam. Islam yang dimaksudkan ialah Islam yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis, selaras dengan undang-undang tubuh PAS. Kita perlu mengambil alih kepimpinan orang Melayu untuk menyelamatkan mereka dengan Islam setelah Umno gagal memperkasakan orang Melayu dengan Islam. Dalam masa yang sama juga Umno gagal mewujudkan perpaduan kaum. Kita merasakan hanya Islam yang mampu mewujudkan perpaduan, adil terhadap semua termasuk kaum yang lain. Dalam masa yang sama menyelamatkan orang Melayu kerana kita merasakan bahawa yang menyelamatkan semua orang Melayu khususnya beragama Islam adalah dengan Islam. 

Adakah dasar nasionalisme yang dicanang Umno itu gagal?

Kalau Melayu ditegakkan dengan nasionalisme yang sempit dengan meninggalkan Islam, tidak ke mana-mana juga. Kita tidak boleh mengubah sikap mereka dengan cara yang baik dan dengan cara yang adil. Dengan mengambil kira Malaysia adalah sebuah masyarakat yang majmuk, maka PAS merasakan masyarakat majmuk pun perlu diambil kira. PAS tidak boleh memprovokasikan semangat perkauman yang menyebabkan berlakunya permusuhan antara kaum. Itu salah sebagaimana yang dilakukan oleh Umno setiap kali mereka tersepit, mereka menimbulkan isu keMelayuan, fanatik yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara ini. Kita merasakan yang menyelamatkan perkara ini hanyalah Islam. Islam adil untuk semua sebagai mana tema yang kita kemukakan itu. 

Sekarang, PAS digambarkan seolah-olah hanya menumpukan kepada pengundi bukan Islam terutamanya apabila tertubuhnya dewan himpunan. Bagaimana Dato' Seri melihat perkara ini dan adakah PAS mampu mengatasinya?

Sangkaan itu adalah tidak benar. Kita perlu melihat bahawa PAS tidak berganjak daripada prinsip dan konsep Islam. Realiti pada hari ini orang Melayu adalah majoriti dan beragama Islam. Pergantungan PAS dengan orang Melayu yang beragama Islam ini sangat penting. Masalahnya ialah bagaimana PAS hendak mengubah minda orang Melayu supaya benar-benar kembali kepada Islam dan tidak bermusuh dengan bangsa lain yang ada dalam negara ini. Ini tanggungjawab yang mesti kita tunaikan, kerana pendekatan atau opsyen perpaduan ini terlalu banyak dalam dunia politik. Ada yang memilih perpaduan yang berdasarkan sempadan negeri, ada yang memilih perpaduan yang berdasarkan kepentingan ekonomi, ada yang memilih perpaduan yang berdasarkan kepentingan kaum; semua itu gagal. Ini kerana kita hendak menyatukan manusia tidak boleh dengan menggunakan jasad semata-mata.

Ada aspek lain yang patut diberi penekanan? Begitu...

Mestilah... Kena dengan aspek rohani yang ada dalam diri mereka, kerana manusia ada akal, perasaan, sikap yang boleh menyatukan ialah adil terhadap semua, barulah semua berasa puas hati dan tidak buruk sangka antara satu sama lain. PAS wajib untuk memperkenalkan Islam untuk semua, di mana dalam politik Islam berbeza dengan konsep ibadat kerana dalam ibadat syaratnya mestilah seorang Islam. Tetapi dalam politik sebagai mana yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW, dan Islam di zaman kegemilangannya ialah menerima orang yang bukan Islam yang bersedia bernaung, dengan adil yang kita kemukakan ini. Kalau orang bukan Islam boleh menerima ideologi (maksud saya orang bukan Islam di negara ini yang berasal daripada kaum Cina, India dan sebagainya) mereka boleh menerima ideologi yang tiada kena-mengena dengan asal-usul bangsa mereka. 

Contoh yang boleh Dato' Seri kemukakan...

Contohnya, kapitalisme dengan tokoh-tokoh Barat seperti Adam Smith dan lain-lain. Mereka ini bukan dari Cina dan India. Begitu juga dengan mereka yang menganut komunis dulu dan berjuang sehingga mati mengikut teori Karl Marx yang bukan dari Cina dan India tetapi daripada Yahudi. Jerman begitu juga dengan sosialisme, yang bukan daripada keturunan di sini. Mereka pun diterima kerana mereka melihat ianya suatu sistem yang adil dan semua yang lain telah gagal. Dengan sebab itu, sudah tiba masanya kita mengajak orang yang bukan Islam supaya melihat konsep Islam yang kita perjuangkan dan hari ini sudah berlaku satu perubahan yang besar apabila sudah ada orang yang bukan Islam ini menyokong PAS pada pilihan raya umum yang lalu dan mereka sudah bersedia ke tahap yang lebih mendalam lagi iaitu menjadi ahli dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Adakah sokongan ini akan kekal atau meningkat pada PRU ke-13, memandangkan konsep 1Malaysia Najib, dilihat terbuka.

Ini bergantung kepada keikhlasan kita melakukan sesuatu. Saya yakin dan percaya sekiranya wakil-wakil rakyat dan negeri yang dipimpin oleh PAS dan negeri yang disertai PAS dalam kerajaan campuran menunjukkan keikhlasan tidak menipu dalam menunaikan tanggungjawab ini, insha-Allah kita boleh meningkatkan sokongan daripada orang yang bukan Islam. Dalam masa yang sama kita perlu mengubah kesedaran orang Melayu sendiri terhadap Islam dan bukan Islam secara sekular sebagaimana warisan daripada penjajahan yang diteruskan oleh Umno. 

Islam yang diperjuangkan mesti dilebarkan penjelasannya bagi menolak dasar yang dibawa Umno...

Ya, kita perlu memperkenalkan Islam sebagaimana yang ada di dalam al-Quran dan Hadis dan sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW; Islam untuk seluruh manusia khususnya dalam memperkenalkan konsep politik dalam Islam ini. Saya yakin dan percaya kita akan dapat undi daripada orang Melayu dan orang Melayu akan memberi kepercayaan kepada PAS setelah mereka rapuh dengan Umno dan penyakit-penyakit yang ada pada hari ini di samping PAS juga akan mendapat kepercayaan daripada orang yang bukan Islam. Apa yang penting ialah kepercayaan. Kita jangan memaksa mereka, sehingga ke hari ini kita melihat tahap konsisten wakil-wakil rakyat PAS di semua kawasan teguh, tiada yang lompat parti sebagai mana parti lain dan tiada yang khianat dengan janji ini. Kalau ada yang khianat, mereka lapor pada PAS dan akan dibuat pembaikan. Saya yakin dan percaya kita akan dapat sokongan yang terus-menerus daripada mereka.

Ada disebut sebelum dan selepas muktamar PAS akan menonjolkan calon bukan Islam pada PRU ke-13 nanti. Sejauhmana persediaan PAS untuk itu dan apa kriterianya?

PAS telah bersedia dan Majlis Syura Ulamak telah membuat keputusan dari segi hukum syaraknya ia dibolehkan. PAS melantik calon yang bukan Islam di kawasan yang bukan Islam atau kawasan yang majoriti bukan Islam dalam pertandingan dengan parti-parti bukan Islam dan dengan BN. Itu satu pendekatan yang kita ambil dengan mengambil kira kerjasama kita dengan rakan Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat dan DAP. 

Ada perbincangan tentang hal ini dengan KEADILAN dan DAP?

Kita akan adakan perbincangan tentang hal ini, di mana Jawatankuasa PAS Pusat akan buat mesyuarat dan kita akan memilih kawasan-kawasan untuk kita letakkan calon mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS. 

Baru-baru ini dimainkan lagi isu beberapa pemimpin Umno mengajak PAS 'bersatu' dengan parti itu. Reaksi Dato' Seri bagaimana?

PAS mempunyai sikap yang terbuka dan PAS tidak menggadai prinsip perjuangan. Kita tidak berganjak dengan Islam kerana Islam mengajar kita jika terdapat pertelingkahan hendaklah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Sejak beberapa dekad yang lalu, PAS menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan syarat muzakarah itu mestilah berdasarkan al-Quran dan hadis. Bukan muzakarah berdasarkan semangat tanpa dasar dan tanpa konsep yang betul. Ini pendirian kita yang jelas di mana hukum yang tertinggi dalam PAS ialah al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas. Dalam PAS ada dewan ulama, ada majlis syura ulama. Dalam Umno pula ada Biro Agama Umno, dan Umno yang memerintah negara boleh memanfaatkan khidmat mufti-mufti dengan sebab itu mereka boleh berbincang mengikut wadah ini iaitulah mengembalikan kepada ajaran Islam yang sebenar. 

Bukan atas kepentingan Umno tapi untuk negara?

Bukan kerana kepentingan parti Umno, kepentingan politik mereka kerana kalau dengan kepentingan politik mereka kita menolak dengan sekeras-kerasnya kerana matlamat kita bukan untuk menyelamatkan sesiapa tetapi untuk menyelamatkan negara. Ini kerana PAS yakin yang boleh menyelamatkan negara ialah Islam, dengan sebab itu sebarang perbincangan mestilah bertolak daripada Islam yang diperjuangkan oleh PAS. 

Sejauh manakah Umno boleh menerima konsep Islam yang dibawa PAS kerana kalau kita lihat ketika berdepan dengan isu judi mereka meluluskan judi. Sebelum ini pula, mereka banyak meluluskan isu perkara halal-haram begitu juga dengan isu Apco yang ada kaitan dengan Israel. Adakah mereka mahu mengumpan PAS supaya terjerat dengan permainan ini?

Saya melihat apa yang berlaku itu menunjukkan Umno tidak istiqamah dan tidak konsisten dengan dasar yang sebenar. Umno masih lagi berkonsepkan pragmatisme. Berdasarkan kepada kepentingan untuk mempertahankan kuasa semata-mata, bukan untuk menyelamatkan negara dan rakyat. Kalau amalan itu masih ada, ini menunjukkan suatu sikap yang tidak benar, tidak bertanggungjawab dan tidak amanah untuk menyelamatkan negara. Kita mesti sedar dalam amalan negara demokrasi berlakunya pemerintahan yang silih berganti. Parti yang demokratik ikhlas dalam menyelamatkan negara, sekiranya parti itu mengalami kelemahan di dalam pemerintahan mereka sedia berundur dan memberi tapak kepada parti lain untuk memerintah seperti yang berlaku di England, Amerika, India, Jepun. Apabila satu-satu parti memerintah terbabit skandal, kelemahan dalam pentadbiran; mereka terbuka untuk rakyat menolak dan bagi parti lain untuk memerintah seterusnya parti itu memulihkan diri mereka. 

Tapi ini tak berlaku di negara kita...

Kalau dia tak boleh baiki parti memerintah yang lemah itu, dia akan jatuh dan parti yang lain akan mengambil alih. Seperti yang berlaku di Jepun sekarang ini. Itu politik yang sihat berlaku dalam amalan demokrasi. Saya rasa sudah tiba masanya Umno memberi peluang kepada PAS untuk memimpin orang Melayu dan menyelamatkan mereka. Sudah tiba masanya Umno memberi peluang kepada PAS untuk menunjukkan konsep keadilan kepada masyarakat majmuk dengan adunan perpaduan yang kita kemukakan dan kita cadangkan. Sudah tiba masanya dan biarlah Umno berehat dahulu. Itu satu sikap yang lebih bertanggungjawab.

Serangan ke atas parti-parti dalam Pakatan Rakyat makin 'ganas'. Ini tanda simptom kepada pilihan raya umum yang dijangka awal tahun depan. Apa reaksi Dato' Seri?

Saya melihat serangan itu lebih kepada bersifat peribadi bukan bersifat politik yang menjurus kepada perkara yang betul. Seringkali mengulangi modal dan hujah lama untuk membuat gelombang di kalangan rakyat. Setelah berlakunya gelombang yang berpihak kepada Umno-BN maka baru mereka mengadakan pilihan raya. Itu satu taktik untuk menipu rakyat bukan untuk memberi kefahaman yang adil kepada rakyat. Dalam negara demokrasi yang sebenar, rakyat adalah hakim, media adalah saksi yang adil, hakim tidak boleh menjadi adil sekiranya saksi memberi maklumat yang salah. Seringkali BN menimbulkan isu-isu menghentam parti lawan kemudian mereka menggunakan media sebelah pihak khususnya media elektronik iaitu televisyen yang masuk ke setiap buah rumah. Dalam masa yang sama mereka menghalang ceramah-ceramah, yang merupakan satu-satunya media meluas kepada Pakatan Rakyat.

Bagaimana PAS dan Pakatan Rakyat boleh menangkis semua serangan Umno-BN setelah media alternatif milik parti disekat?

PAS sudah berpengalaman dalam menghadapi keadaan yang lebih teruk daripada ini lagi. Dalam tahun 1960-an, 1970-an agak reda sedikit kerana semasa itu kita berada dalam kerajaan. Awal 1980-an kita menghadapi keadaan ini dan PAS boleh melepaskan diri daripada kepompong yang dibuat itu. PAS menjadi parti yang selamat. Insha-Allah pada kali ini juga kita dapat lepas daripada kepungan-kepungan media ini dan hal ini jelas PAS dapat bertahan di kawasan yang mendapat mandat yang rakyatnya mendapat maklumat alternatif. Antaranya ialah kawasan pinggir bandar dan bandar, PAS terus bertahan di kawasan ini dan di Kelantan kerana banyak rakyat Kelantan bekerja di luar; mereka dapat memberikan maklumat ke kampung halaman mereka. Inilah rahsia kita dapat pertahankan negeri itu.

Persiapan PAS hadapi pilihan raya pula macam mana setakat ini?

Jika berlaku pilihan raya, PAS telah menggerakkan jentera di peringkat cawangan di seluruh negara sejak pilihan raya lalu selesai. Dalam masa yang sama jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPPP) bukan sahaja melakukan aktiviti pentadbiran yang biasa, bahkan kita telah melawat ke seluruh negara. Kita baru sahaja selesai. Lawatan yang disertai saya sendiri adalah untuk melihat sendiri sejauh mana jentera pilihan raya kita berjalan dan kita menggerakan jentera itu. Sebab itu, PAS bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa. 

Daftar pemilih yang agak lembab ini, macam mana?

Dalam isu daftar pemilih pula, saya lihat SPR sengaja menyusahkan rakyat padahal boleh diamalkan secara mudah iaitu daftar pemilih secara automatik. Setiap yang cukup umur didaftarkan. Inilah yang diamalkan di negara maju. Adakah kita masih lagi negara yang tidak maju dalam amalan demokrasi? Ianya banyak diamalkan di negara maju lain. Sepatutnya SPR kena kemaskinikan untuk buat pilihan raya yang adil dan bebas. 

Tiada ulasan: