KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 20, 2010

Ustaz Nik Zawawi ingatkan ahli PAS, ajakan Umno bersatu kerana mereka berdendam dengan PKR dan DAP!


Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Mohd Salleh menyelar kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Agama Islam (JASA), Lokman Nor Adam yang mendakwa cita-cita PAS merealisasikan hasrat Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi lebih mudah jika mereka berbaik-baik dan bekerjasama dengan Umno berbanding dengan DAP dan KEADILAN.

"Kenyataan beliau tidak berasaskan kajian dan realiti sebenar politik dan seolah-olah bersifat dendam kepada Parti Keadilan Rakyat dengan cara mengungkit kembali cerita-cerita lama yang tidak ubah seperti pandangan yang lapuk," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Lokman pada program Wacana Perdana di Balai Islam Lundang pada 10 Julai lalu. Ustaz Nik Zawawi tidak menafikan pandangan tersebut seolah-olah bermotif ingin memecah belahkan PAS dengan Pakatan Rakyat.

"Malangnya ia tidak berkesan kerana parti lain dalam Pakatan Rakyat telahpun sedia maklum dan faham akan dasar yang dibawa PAS manakala rakyat keseluruhannya pula tahu bahawa Umno sememangnya menolak Islam dan kenyataan Lokman itu jelas bercanggah dengan dasar perjuangan dan realiti dalam Umno itu sendiri," katanya. Sebaliknya, beliau menegaskan perpaduan yang didokong PAS adalah berteraskan ajaran Islam yang sebenar.

"Kesatuan dan perpaduan yang dibawa PAS adalah atas nama agama kerana kalau kita berjuang atas nama Islam ia akan memberi jaminan kepada semua kaum dan menyebabkan dengan sendirinya terbentuk perpaduan sebenar. Sekarang kita dapat lihat bagaimana orang Cina dan India pun boleh memberikan sokongan kepada Islam," ujarnya lagi.

Ditanya mengenai pandangan Lokman yang PAS perlu bersatu dengan Umno bagi memastikan survival Islam, ustaz Nik Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura PAS menjelaskan ianya perlulah dengan penerimaan Umno terhadap dasar Islam.

"PAS dengan siapapun yang mahukan Islam sama ada dia daripada parti mana sekalipun tetapi kena terima dasar Islam bagi memastikan Islam boleh dilaksanakan. Buat masa ini kita lihat PKR dan DAP boleh menerima dasar perjuangan kita (PAS) dan mereka menghormatinya," katanya lagi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sebagai penyokong tegar pas/pakatan rakyat kami tidak sesekali menghalalkan tindakan pas/pakatan rakyat ingin bermesra apatah lagi berdamai dengan bn/umno/apco.bn/umno/apco boleh diibaratkan saperti melepaskan anjing tersepit.kami tidak sesekali ingin berdamai dengan bn/umno/apco yang tanpa malu dan tidak pula berasa berdosa memeprlekehkan islam dan hukum allahswt.kami seskali tidak akan bersekongkol dengan bn/umno/apco menjual akhirat demi dunia dan kuasa.