Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Husam Musa mendakwa tindakan beberapa pemimpin Umno-BN adalah fakta mengapa rizab tunai Felda semakin kering mutakhir ini. Dalam satu tulisan di blognya, Husam mendakwa sebuah firma arkitek yang diterajui oleh seorang pemimpin pemuda Umno diberikan projek bukan bidang kepakaran Felda tetapi menggunakan peruntukan daripada rizab tunai lembaga itu.
"Sejumlah setengah bilion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama. Firma arkitek diterajui seorang Ketua pemuda Umno Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.
"Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta," katanya sinis.
Husam mengulas isu "Felda bankrap" yang menimbulkan kontroversi, bagaimana rizab tunai Felda yang dibelanjakan susulan pendedahan Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan berhubung status kewangan Felda yang merosot sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun pertengahan bulan lalu di parlimen.
Menurut Husam, terdapat projek yang bukan bidang tugas Felda dibiayai oleh agensi tersebut "atas sifat pemurahnya" seperti kolej komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), menaik taraf bekalan air di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).
Beliau juga mempertikaikan kaitan Mara dan Felda hingga Felda membiayai kos Maktab Rendah Sains Mara tersebut yang berjumlah RM 120 juta. Husam turut mendakwa firma arkitek tersebut bertangggungjawab membangunkan empat kawasan Felda yang "dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan" yang dikenali sebagai Feldajaya.
Beliau juga mendakwa pembangunan bagi keempat-empat Feldajaya itu Mempaga, Trolak, Serting dan Cini setakat ini menelan kosnya sebanyak RM 152 juta.
"Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Sama ada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!," dakwanya lagi. Husam turut menjelaskan beliau sebelum ini telah mendedahkan pelaburan Felda sebanyak RM 800 juta di Amerika Syarikat dan Kanada.
"Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan! Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan. Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan