KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Julai 09, 2010

Anak menyerahkan dokumen serta bukti-bukti penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam Felda kepada SPRM


Anak Peneroka Felda (Anak) akan menyerahkan dokumen serta bukti-bukti penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam Felda kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 Julai ini. "Kita akan arahkan semua warga Felda dari seluruh negara untuk sama-sama serahkan laporan penyelewengan Felda kepada SPRM di Putrajaya, jam 11 pagi," tegas Pengerusi Anak Mazlan Aliman. 

Anak meneruskan laporan polis terhadap Felda di seluruh negara dan sehingga kini terdapat 80 laporan telah dibuat. Menurut Mazlan, pada 7 Julai ini beliau akan menyerahkan surat rasmi di Parlimen jam 11.30 pagi untuk berdebat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan.

Mazlan menolak untuk mengadakan perbincangan walaupun Ahmad Maslan dalam kenyataanya sebelum ini mengajaknya berbuat demikian. Ini kerana, kata Mazlan peneroka sudah lama mendesak Felda mengadakan perbicangan dengan mereka tetapi institusi itu bersikap dingin terhadap pandangan peneroka.

Tegasnya, setiap pandangan yang dikemukakan peneroka dianggap remeh oleh Felda misalnya  masalah dalam proses tanaman semula, bagitu juga masalah perahan minyak sawit yang begitu rendah di kilang-kilang sawit.

"Jadi terlalu banyak isu-isu yang kita bangkitkan termasuk tentang perumahan generasi kedua dianggap remeh oleh kerajaan dan Felda," katanya. Bagi Mazlan, berunding dengan Ahmad Maslan membuang masanya sebab itulah beliau mencabar  menteri berkenaan untuk berdebat.

"Kalau dia kata selama ini kita buat fitnah, sebab itu mereka saman Suara Keadilan RM 200 juta. Kalau dia kata kita fitnah bagi saya itu bukan fitnah, kita bersedia untuk mendedahkan dan betulkan masalah yang sebenarnya sedang berlaku terhadap institusi  pembangunan tanah yang terbesar di dunia ini," katanya.

Dengan cara ini, katanya  masyarakat Felda khususnya rakyat Malaysia boleh menjadi saksi sama ada isu Felda fitnah atau selama ini isu Felda  menjadi nanah yang sudah pecah. Malangnya, suara-suara orang yang tidak puas hati sudah lama dan berpuluh tahun kedengaran tetapi kerajan melalui Felda menganggap suara itu kecil yang tidak perlu dilayan.

"Mereka angkuh, sombong bongkak kerana mengawal sebuah agensi yang besar yang menjadi talian hayat kepada BN. Tetapi apabila hari ini timbul isu tentang dakwaan kononya Felda mengalami masalah yang besar kewanganya hari ini juga dia (kerajaan) guna pula pendekatan memperalatkan peneroka - peneroka sebagai dinding mereka," katanya. 

Melalui perdebatan, katanya, ia bukan menunjukkan siapa menang atau siapa kalah tetapi membuktikan satu kebenaran bahawa Felda merupakan satu institusi yang telah diperalatkan untuk kepentingan politik BN. Ditanya, jika beliau juga akan disaman, Mazlan berkata "tidak ada masalah jika Ahmad Maslan pun nak sama saya, sekarang ini pun saya disaman kerana buku saya 'Felda, Dulu Tolong Sekarang Along".

"Sepanjang 20 tahun saya masak dengan isu-isu Felda pelbagai cabaran saya sudah lalui, masuk lokap, ceramah saya dikepung, dicerca semuanya kerana menuntut hak-hak peneroka," katanya.

Bermula hujung Julai ini, Anak akan mengadakan kembara keseluruh rancangan Felda di seluruh negara bagi mengedarkan risalah tentang nasib masa depan Felda yang telah diselewengkan oleh pemimpin BN yang diketuai Najib Tun Razak.

Tiada ulasan: