Dengan lafaz "salam reformasi", perhimpunan "Tak Nak Judi" oleh lebih hampir 3,000 orang di ibu negara petang semalam, Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) Mohd Azmi Abdul Hamid berasa teruja kerana tidak menyangka ada rakyat yang boleh bangun dan bangkit untuk menentang kemungkaran judi ini.
Katanya, sejak beliau dilahirkan hingga ke hari ini, tak terfikirkan akan terdapat sekelompok rakyat yang peduli dengan kemungkaran judi serta sedia bangkit pada hari ini bagi membersihkan judi dari menjadi kemungkaran rasmi ditaja oleh kerajaan Umno-BN.
"Selama 53 tahun cukuplah mereka menghancurkan negara. Kita tidak boleh terima ini lagi," katanya dalam perhimpunan yang berlangsung selama hampir 45 minit itu. Perhimpunan itu juga menunjukkan rakyat sudah tidak boleh menerima alasan yang diberikan oleh sesetengah pemimpin Umno-BN dalam menangani isu judi.
"Ada ulama mereka kata judi ini tidak ada kaitan dengan Islam. Orang ini sudah kenyang dengan judi. Seluruh rakyat telah nampak bencana. Yang menjalar dalam masyarakat bukannya kemungkaran kecil tapi oleh orang yang meraih keuntungan (daripada judi)," kata Mohd Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).
Tegasnya, kempen "Tak Nak Judi" anjuran GMJ akan diteruskan walaupun kerajaan telah menarik balik keputusannya untuk memberikan lesen pertaruhan judi sukan sebelum ini. Pada kesempatan itu, beliau melancarkan Kempen "Tak Nak Judi" dan serentak itu melancarkan juga sebuah buku terbitan Teras bertajuk "Judi di Malaysia: Menghalalkan yang haram - Musibah kepada rakyat dan negara".
Azmi yakin, rakyat kini sudah celik dan sedar dalam banyak perkara, dan tidak semudah itu untuk pihak kerajaan melakukan sebarang dasar menuju mungkar apatah lagi yang membabitkan judi di pelbagai peringkat. Dengan kehadiran lebih ramai anak-anak muda pada himpunan itu, menunjukkan kesedaran masa depan cukup kuat untuk mempastikan kerajaan tidak bermaharajalela meluluskan lesen judi di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan