KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 28, 2010

Ketua Penerangan PAS Pusat bidas Mufti Perak yang kemaruk satukan PAS-Umno

PAS mengingatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar membuat kajian dan meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan, khususnya berkaitan kuasa politik Melayu terancam. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebagai mufti, beliau perlu merujuk al-Quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit sebelum mengeluarkan fatwa. 

"Lihat dulu keputusan Pilihan Raya 2008 lalu, siapa yang khianat kuasa politik Melayu? PAS atau Umno? Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa kerana semua kerusi Melayu, PAS akan lawan Umno? Kalau Umno kalah, PAS akan menang. PAS Melayu juga. Mana sifir kuasa Melayu terancam?" soal beliau kepada Harakah.

Sehubungan itu, Ustaz Idris menegaskan, PAS menolak cadangan Harussani yang berhasrat mahu menjadi perantaraan antara PAS dan Umno bagi mewujudkan perpaduan Melayu di negara ini.

Katanya, PAS bukan angkuh tetapi hakikatnya Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu sebagai tempat berteduh kerana penuh dengan penyakit barah yang tenat seperti rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, dan penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

"Adakah beliau lupa apa yang dilakukan Umno sepanjang pemerintahan parti yang kononnya memperjuangkan Melayu? Lupakah yang menutup surau di Sek 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo. Siapa yang menghalau orang Melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong, Pasir Gudang, Johor?  

"Dato' Dr. Harun Din, Dato' Ismail Kamus, almarhum Dato' Ishak Baharom diburu seperti penjenayah kerana mahu menyampai agama di Selangor ketika di bawah kekuasaan Umno. Adakah dengan tindakan tersebut Umno masih boleh dikatakan memperjuangkan Melayu?" soal beliau lagi.

Tegas Ustaz Idris, hakikat yang berlaku ialah Umno yang menyerahkan kerusi majoriti Melayu kepada bukan Melayu. Sebagai contoh, di Parlimen Bukit Gantang pada tahun 2004, Dr Lo' Lo' menentang Tan Lian Hoe dari Barisan Nasional (BN).  

Begitu juga tahun 2008, Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman; Mohd Azman Marjohan lawan Ong Ka Chuan (Parlimen Tanjung Malim), dan Dato' Seri Haji Nizar lawan Dr. S Vasan (Dun Pasir Panjang). 

"Malah, dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi Melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati parti Umno yang menjadi 'kekasih' mufti Perak itu," kata beliau.

Tiada ulasan: