KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 29, 2010

Diskusi Kali Ke-3: KAMI timbang untuk tubuhkan Majlis Media Alternatif bagi pantau media Pakatan Rakyat


Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), pertubuhan bukan kerajaan yang dibentuk untuk memperjuangkan usaha mendesak dimansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, bercadang untuk membentuk Majlis Media Alternatif bagi menggalakkan mekanisme kawal selia kendiri.

Idea itu dilontarkan pada Diskusi KAMI Ketiga Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang diadakan di sini hari ini.Pengerusi KAMI, Ahmad Lufti Othman berkata, usaha mengadakan majlis seumpama itu, yang diamalkan oleh beberapa negara maju bagi sektor media cetak dan elektronik, akan dibincangkan secara mendalam dalam waktu terdekat.

“Idea ini yang dibangkitkan pada majlis diskusi hari ini akan dibincangkan secara mendalam agar kita ada sebuah badan kawal selia media alternatif seperti laman web, akhbar mingguan (akhbar pembangkang), blog,” kata beliau pada sidang media di akhir diskusi peringkat ketiga di pejabat Harakah di sini hari ini.

KAMI yang dibentuk secara tidak formal satu dekad yang lalu sebagai salah satu usaha mengecam penggunaan akta tersebut untuk mengekang kebebasan media cetak di negara ini.

Lufti yang juga Ketua Pengarang Harakah berkata, pembentukan majlis media sedemikian akan bertindak sebagai satu badan kawal selia kendiri dalam jangka panjang, menggantikan penggunaan undang-undang sedemikian.

“Kita perlu mengekalkan mutu kewartawanan yang baik, dan KAMI akan menghalusi perkara ini,” katanya.

Sebelum ini pernah ada idea dan kajian membentuk Majlis Media Malaysia (MMC), tetapi dibantah wartawan khususnya Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ). NUJ mahu ia beroperasi dengan bebas, dikawal sendiri oleh pengamal media dan mempunyai perwakilan yang seimbang antara orang awam dan media.

Idea penubuhan telah dibincangkan sejak 1960-an oleh sekumpulan editor bagi menjaga kepentingan pengamal media. Pada 2005, NUJ mendakwa bahawa ia tidak pernah dibawa berunding mengenai cadangan penubuhan MMC pada peringkat penggubalan.

Dalam pada itu, Setiausaha KAMI Tarmizi Mohd Jam pula memberitahu, idea pembentukan majlis sedemikian akan dibincangkan pada mesyuarat KAMI akan datang. Pada sidang media itu, beliau juga memberitahu KAMI akan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri agar mengeluarkan semula permit kepada Suara Keadilan dan Rocket yang masing-masing diterbitkan oleh PKR dan DAP.

“KAMI juga akan menghantar memorandum mengenai penggunaan Akta Media Cetak dan Penerbitan oleh kementerian kepada Suhakam dan Majlis Hak Asasi Sedunia,” katanya.

Semalam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, kata beliau, tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri menahan daripada memperbaharui permit Suara Keadilan dan Rocket berhubung kait dengan kebimbangan kritikal Umno-BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan muktahir ini.

Tarmizi berkata jika Umno-BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu “penggantungan” permit dua lidah rasmi PKR dan DAP itu tidak diambil, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa. Sebelum tiga penerbitan menghadapi masalah yang hampir sama, bagaimanapun Harakah telah menerima permit semula dua minggu lalu.

Suara Keadilan kini diterbitkan di bawah status tidak berkala dengan tiga edisi setakat ini, di bawah nama Keadilan, Obor Keadilan dan Sinar Keadilan.

Diskusi KAMI Kali Ke-3 berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh massa bagi membincangkan isu-isu sekitar Akta Mesin Cetak & Penerbitan. Mereka yang hadir pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari; penulis prolifik yang juga pengasas Harakah, Hj Subky Latiff; Peguam PAS, Hanipa Maidin; Editor Malaysia Insider, Dr. G Manimaran; Exco Paksi, Razali Endun;  adik allahyarham Dr. Burhanuddin Helmy, Drs Norbit Mohd Noor; blogger Dr. Mohd Hashim; Naib Dewan Perhimpunan Bukan Islam PAS Pusat, Vincent Lee;  Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman; Setiausaha PAS Kawasan Batu, Hj Ismail Yahya; beberapa wartawan Harakah, dan Harakahdaily.

Diskusi KAMI selama  tiga jam itu diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam selaku setiausaha badan yang kini sudah berusia 10 tahun. Beberapa rumusan hasil diskusi ini akan perincikan bagi tindakan lanjut.

Tiada ulasan: