KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 15, 2010

Ajak PAS bersama Umno tegakkan Islam: Kempen dan propaganda Umno-BN pecahkan PAS


PAS menyifatkan ajakan Umno untuk bersatu dan bekerjasama menegakkan Islam di negara ini sebagai bermulanya kempen pilihan raya dan proganda untuk meraih simpati pengundi Melayu dan sekaligus mahu memecah-belahkan PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad, lebih 50 tahun Umno-BN berkuasa di negara ini, PAS tidak nampak terdapat usaha-usaha serius menuju ke arah tertegaknya hukum Islam yang sebenar seperti yang dikehendaki syariat Islam.

Sebaliknya, pemimpin Umno terus memperlekeh-lekeh ajaran Islam yang suci malah ada yang lebih berani menempelak Islam secara terang-terangan dengan pelbagai kata-kata yang boleh menggoncang akidah.

"Kalau Umno benar-benar mahu nak laksanakan Islam, tak perlu ajak PAS. Mereak ada kuasa, dah boleh lakukan apa sahaja untuk menegakkan Islam seperti mereka menegakkan kehendak dan keinginan mereka selama ini," tegas beliau.

Ustaz Idris yakin, ajakan itu sarat dengan tipu muslihat dan ia sebahagian propaganda Umno berkempen untuk membuktikan kononnya PAS enggan bersatu dan bekerjasama dengan Umno dalam isu perpaduan di negara ini.

Beliau yakin, Umno juga akan berkempen menyalahkan PAS dengan tuduhan terlalu ego dan mementingkan diri hingga sanggup menolak ajakan Umno untuk menegakkan Islam dan pada masa yang sama, sudah tentulah Umno akan mengutuk PAS yang sanggup bekerjasama dengan KEADILAN dan DAP.

Menjawab isu ini, beliau menegaskan, dasar perpaduan atau kerjasama yang hendak dibina mestilah berdasarkan kepada dua perkara iaitu perpaduan yang dibenarkan atas dasar kebajikan dan taqwa kepada Allah; dan perpaduan yang dilarang iaitu boleh mengundang kepada dosa dan permusuhan. Katanya, jika perpaduan tidak dibina atas dasar Islam, ia tidak akan berjaya dan tidak diredhai oleh Allah.

"Bagaimana Umno nak tegakkan dasar Islam di negara ini sedangkan partinya menganut dasar kebangsaan atau asobiyah? Ini sudah tentu bercanggah dengan dasar Umno, dan Umno tidak akan menggadaikan dasar asobiyah itu," tegas beliau.

Jelasnya, kerana dasar asobiyah inilah maka cerdik pandai agama atau ulama dalam Umno tidak mendapat tempat, malah segala dasar yang dirangka tidak mengambil pandangan Islam termasuk isu-isu seperti menghalalkan judi bola sepak baru-baru ini dan pelbagai mungkar rasmi yang lain.

Ustaz Idris yakin, Umno tidak akan mengubah dasar asobiyahnya dan keinginan mereka untuk bersama PAS kononnya bagi memudahkan pelaksanaan Islam di negara ini  hanyalah propaganda murahan dan kempen perang saraf mereka, sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau mengulas pandangan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Agama Islam (JASA), Lokman Nor Adam yang juga Exco Pemuda Umno, pada program Wacana Perdana di Balai Islam Lundang pada 10 Julai lalu. Antara panelis lain Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Mujahid Yusuf selain bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin; Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mohd Affandi Yusoff.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator wacana bertajuk 'Bolehkah Melayu Bersatu?' Dalam majlis itu, Lokman mendakwa cita-cita PAS merealisasikan hasrat itu akan menjadi lebih mudah jika mereka berbaik-baik dan bekerjasama dengan Umno berbanding dengan DAP dan KEADILAN.

Tiada ulasan: