Tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan permit Suara Keadilan dan Roket dapat difahami sebagai kebimbangan kritikal Umno-BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan muktahir ini.
Tegas Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Tarmizi Mohd Jam, jika Umno-BN dalam keadaan kuat, stabil dan tidak tergugat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan penggantungan permit dua lidah rasmi Keadilan dan DAP itu tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.
Ini kerana, tindakan tidak popular itu hanya memburukan imej Umno-BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara ini.
KAMI ujarnya yakin, kekangan terhadap media cetak sejak muktahir ini sebagai langkah mengurangkan limpahan maklumat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan membedal Umno-BN.
Tarmizi mendesak agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, demokrasi dan kebijakan bermaklumat dengan memberi kedua-dua permit Suara Keadilan dan Roket kepada parti-parti berkenaan.
"Ini lidah rasmi parti, bukannya akhbar komersial. Tidak memberikan permit bermakna kerajaan 'menggam' mulut rakyat, menutup kotak minda dan memperbodohkan rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak," tegas beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media KAMI, Rabu lalu di Pejabat editorial Harakah sejurus selepas diskusi badan itu buat kali ke-2nya bagi membincangkan isu-isu berkaitan menangani Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Turut serta, Pengerusi KAMI, Ahmad Lutfi Othman; Exco Paksi, Kasim Mohd dan Pengerusi Lajnah Penerangan & Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.
Diskusi yang memakan masa selama dua jam itu turut disertai bekas Pengarah Pusat Islam, Ustaz Ahmad Awang; adik almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Dr Norbit Mohd Noor; Exco Dewan Muslimat, Athirah Al-Jundi dan Ustazah Rosiah Salleh; Exco Paksi, Kasim Mohd dan Razali Endun serta wakil media Harakah, Harakahdaily dan Suara Keadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan