KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 11, 2008

BOLEHKAH Dr. LO LO Jadi PESURUHJAYA dan YDP Muslimat Pertama Di Malaysia?

Dr. Lo Lo patut diberi peluang untuk membuktikan kepimpinan dan kebolehannya dalam menerajui PAS dan dalam mengemukakan program di bawah kepimpinannya.

By TARMIZI MOHD JAM

PESURUHJAYA PAS Wilayah Persekutuan, Hj. Mohamad Nor Mohd adalah rakan saya. Sebagai penulis dan blogger, saya amat berharap, tulisan ini tidak disalah ertikan.

Beliau baru nak masuk dua penggal memimpin PAS Wilayah. Setakat ini, agak sukar untuk mengukur atau diukur pembaharuan dalam pemerintahannya.

Namun, komentar saya ini tiada kaitan langsung dengan beliau. Barangkali, jika beliau undur atau tidak dilantik semula, ada baiknya difikirkan penggantinya.

Janganlah pula tersinggung dengan tulisan ini, kerana penulis akan menulis apa yang difikirkannya betul. Ini kerana politik itu adalah persepsi, tidak objektif sifatnya.

Ramai juga antara pemimpin penting PAS jadi Pesuruhjaya Wilayah. Antaranya Haji Subky Latiff, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, Haji Ismail Abdullah dan mungkin ada lagi yang saya tidak ingat.

Saya memikir dan berfikir, dengan cara saya untuk melihat keupayaan Dr. Lo Lo Dato’ Haji Mohd Ghazali, salah seorang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi menggantikan Haji Mohamad Nor, jika beliau undur diri pada masa hadapan.

Saya rasa, Haji Subky Latiff yang pernah bertanding bersama saya di Parlimen Parit dalam pilihan raya 1995 dulu, setuju dengan saranan saya dalam tulisan ini.

Sebab beliau antara Pesuruhjaya pertama melantik Timbalan Pesuruhjaya PAS dari kalangan muslimat iaitu Puan Normah, isteri kepada Haji Mohamad Sabu dan kini diulangi Haji Mohamad Noor dengan melantik Hajjah Salbiah Abdul Wahab ke jawatan yang sama.

Kecundangnya Dr. Lo Lo dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat tahun lalu, tidak bererti beliau sudah diketepikan.

Haji Mohamad Sabu juga pernah beberapa kali bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat tetapi tumpas.

Itu dalam kampong politik pemuda, tidak dalam arus perdana PAS itu sendiri.

Akhirnya, Haji Mohamad Sabu diterima sebagai Naib Presiden PAS, jawatan nombor tiga penting dalam parti.

Dr. Lo Lo bukan mahu bertanding Naib Presiden, tetapi atas fikiran saya elok baginya diberi peluang memimpin PAS Wilayah Persekutuan. Itu sahaja.

Entah mengapa, saya begitu tertarik dengan suatu keunikan jika Dr. Lo Lo ditabalkan menjadi Pesuruhjaya PAS dalam wilayah yang kompleks dan kosmopolitan ini. Dr. Lo Lo memang dikenali ramai dan seorang yang professional dalam kerjayanya.

Namun, dalam politik, professional hanyalah menjadi “ajinomoto”, perencah untuk menyedapkan lagi gaya politik yang dipersembahkan.

Saya belum nampak, seorang yang kerjayanya professional, melahirkan gerakerja politik yang professional juga.

Ini kerana politik adalah persepsi. Jika gaya professional itu ditandai dengan kertas kerja, power point, proposal, red ocean atau blue ocean dan sebagainya, sebenarnya telah lama ada tokoh PAS yang bekerja dan membentangkan segala macam program secara professional.

Soal gerakerja, tetap diurus oleh orang yang tidak professional dan segala macam resipi professional, hanya tinggal dalam power point untuk persembahan demi persembahan sahaja. Power hilang entah ke mana, point tiada diketahui.

Isu professional bukan mauduk saya dalam tulisan ini. Saya terpanggil untuk memberi peluang kepada Dr. Lo Lo menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah atas kebolehannya, barangkali penampilan profesionalnya itu mampu menarik lebih ramai sokongan wargakota terutama golongan wanita yang menjadi pengundi perkasa di Wilayah.

Wargakota ada macam-macam kelas. Kelas buruh, kelas atasan, kelas tidak bekerja, kelas professional, kelas pelacur, siswa-siswi, kelas bisnes, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain kelas bilis, gelama, jenahak, talipia hinggalah ke kelas toman dan jerung yang bertaburan.

Kesediaan pemimpin mendekati segala macam kelas ini, patut diterokai atau dilanjutkan. Ia bergantung kepada tokoh berkenaan, mampu atau malu.

Dikenali atau tidak! Kelemahan PAS ketara ialah tidak mahu berkawan dengan kelompok-kelompok baru seperti kelas-kelas yang saya sebut tadi.

Dari pemerhatian saya, PAS seolah-olah mahu semua kelas-kelas tadi yang datang kepadanya. Bukan PAS yang datang kepada mereka. Ini disebabkan oleh watak kepimpinan yang ada.

Pengalaman rakan saya, Haji Azmi Azman Johari, dulunya Ketua Penerangan PAS Wilayah, cukup berharga untuk menjiwai isu ini.

Ramai kenalannya dalam NGO’s, melihat PAS secara ganjil. Pemimpin PAS tidak mesra dan sukar didekati (ikut persepsi anda, betul atau tidak).

Jika komen ini diterjemahankan dan disingkap betul-betul, amat ralat sebuah perjuangan Islam tidak bergerak dengan aspirasi rakyat secara praktikal seperti yang dilakukan oleh Ikwanul Muslimin di Mesir.

Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang patut memikirkan hal ini. Ketokohan Dr. Lo Lo di Wilayah, sukar disangkal oleh sesiapapun. Beliau boleh berinteraksi dengan pelbagai NGO’s dan pelbagai aras lapisan masyarakat.

Apatah lagi, jika dikerapkan aktiviti Rawatan Percuma dan ceramah kesihatan disegenap taman dan lorong, NGO’s dan institusi, saya yakin Dr. Lo Lo mampu mengauk sokongan mainstream yang luar biasa di Wilayah.

Ini bukan soal mencipta sejarah. Tetapi kalau ianya benar, maka tiada salah Dr. Lo Lo dijadikan sejarah jika dilantik Pesuruhjaya PAS Wilayah.

Dalam sejarah PAS terkini, akan tercatat Dr. Lo Lo sebagai Pesuruhjaya PAS pertama dari kalangan muslimat.

Dan bagi mengukuhkan kepimpinannya, rakan-rakan PAS dari Titiwangsa mungkin bersetuju mengorak langkah awal, meletakkan Dr. Lo Lo sebagai Yang Dipertua PAS pada sesi depan.

Saya tidak bercadang untuk mengetepikan YDP sekarang, Ustaz Yusuf yang juga rakan saya. Dan saya tiada kuasa berbuat demikian.

Tetapi, rakan-rakan PAS Titiwangsa boleh bermusyawarah dalam hal ini, jika ia dilihat baik dan tuntas. Ini rumahtangga PAS Titiwangsa.

Pada hemat saya, kewujudan Dr. Lo Lo sebagai Ketua Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa sudah membolehkan beliau untuk dianjakkan setingkat lagi, sebagai YDP.

Jika, ini terjadi, bermakna Dr. Lo Lo juga akan mencipta sejarah barangkali, sebagai Yang Dipertua PAS yang pertama dari kalangan muslimat, di negara ini.

Sekalipun Dr. Lo Lo menang bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, sebagai calon muslimat yang jadi wakil rakyat, itu tidak boleh menjadikan beliau wanita pertama menang pilihan raya.

PAS pernah ada wakil rakyat dari muslimatnya iaitu Khadijah Sidek.

Tetapi, jika hasrat saya tercapai mahu melihat Dr. Lo Lo menjadi Pesuruhjaya dan YDP Titiwangsa, sudah tentu dalam waktu terdekat beliau akan dicacatkan sebagai muslimat pertama memegang jawatan-jawatan itu.

Rasanya, sudah tiba masanya, PAS perlu berani membuat perubahan di Wilayah Persekutuan dengan mengemukakan Dr. Lo Lo sebagai Pesuruhajaya.

Ia boleh dan mampu memberikan signal kepada rakyat bahawa PAS tidak sekali-kali meminggirkan golongan wanita dalam memimpin negeri dan kawasan.

PAS sebenarnya telah berjaya menghantar signal yang parti itu tidak pernah mengetepikan wanita dari menjadi calon pilihan raya berbanding sedikit masa dulu.

PAS sering mengemukakan pelbagai alasan yang akhirnya tidak membenarkan wanitanya menjadi calon pilihan raya.

Alasannya, “kununnya” kerja-kerja wakil rakyat banyak melibatkan percampuran lelaki perempuan, keluar malam, kecemasan, lawatan, ziarah dan macam-macam lagilah komitmen luar biasa seperti yang kita lihat dilakukan oleh wakil rakyat dari kalangan lelaki.

Tetapi, akhirnya PAS setuju memberikan ruang kepada muslimatnya bertanding. Walhal, fenomena kerjanya tidak sedikitpun berubah dari seribu alasan yang dikemukakan sebelumnya.

Isunya bukan menuntut kerusi dan jadi calon dari kalangan muslimat. Tetapi, ketokohan Dr. Lo Lo dan keberanian beliau dalam mengemukakan cadangan muslimat kena bertanding dalam pilihanraya.

Rasanya, ramai yang tidak berkenan dengan tuntutan itu tetapi keupayaan Dr. Lo Lo berhujah, barangkali ia sukar disangkal-sangkal lagi oleh PAS Pusat.

Namun nasibnya kurang baik. Dalam pilihan raya 2004 lalu, percubaan kali pertama beliau diberi kerusi Bukit Gantang untuk ditandingi.

Sayapun tidak boleh berbuat apa-apa untuk membawanya ke Parit, kampong halamannya. Termasuklah dalam pilihan raya akan datang, kerana saya tidak “berkuasa” di sana lagi.

Bagi saya, Bukit Gantang bukan kawasan selamat untuk sesiapapun. Di Perak ada dua tempat sahaja yang berpontensi iaitu Parlimen Parit dan Parit Buntar.

Saya lebih bersetuju, Dr. Lo Lo bertanding di Parit sebagai pilihan pertama dan Parit Buntar sebagai pilihan kedua.

Tetapi bukannya Lembah Pantai, namun Titiwangsa lebih baik dari beliau menentang Shahrizat Jalil.

Dalam tulisan yang lalu, saya menulis dan mencadangkan agar PAS Parit memberi peluang kepada Dr. Lo Lo atau Ustaz Ahmad Awang bertanding di Parit.

Lihat blog saya pada artikel bertajuk “Ustaz Ahmad Awang dan Dr. Lo Lo Bertanding Di Parlimen Parit?” di alamat
http://sanggahtoksago.blogspot.com/2007/09/pikio-tarmizi-mohd-jam-muktahir-ini.html

Perjuangan Dr. Lo Lo menuntut agar muslimat bertanding pilihan raya patut difahami dan bukan dipolitikkan. Saya juga tidak mahu mengutip pandangan dari “arus dalaman” berkenaan isu ini.

Apapun, bagi saya, tokoh wanita yang terserlah buat masa ini ialah Dr. Lo Lo.

Dan jika diperhatikan, di Wilayah Persekutuan sendiri, tiada tokoh yang berkaliber bagi menjejaki Haji Mohamad Nor.

Tidak mungkin, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mahu memikul amanah itu, kerana bebanan sebagai Timbalan Presiden PAS sudah cukup mencuri masa dan merompak fokusnya.

Siapa lagi? Rakan saya, Hanifa Maidin hanya mahu menumpukan hal parti diperingkat Pusat. Tidak mahu pegang jawatan peringkat negeri dan kawasan.

Begitu juga, Ustaz Idris Ahmad, YB Salahuddin Ayub yang kini menetap di Taman Melawar, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan lain-lain.

Bagi saya, uniknya perubahan itu ialah meletakkan tokoh muslimat berbanding muslimin yang sudah acapkali. Ini penting untuk menguji kepimpinan, pengaruh dan sokongan.

Sekaligus, wajah baru PAS Wilayah dipersembahkan.

Dr. Lo Lo patut diberi peluang untuk membuktikan kepimpinan dan kebolehannya dalam menerajui PAS dan dalam mengemukakan program di bawah kepimpinannya.

Hindari dari “cakap-cakap politik” yang cuba memperlekehkan beliau, kerana itu ada sangkut paut dengan politik dalaman yang tidak berkesudahan.

Ini hanya imiginasi saya. Pro dan kontra tetap wujud sebagai perbezaan pendapat yang dirahmati Allah SWT.

Kekuatan Dr. Lo Lo sewaktu menuntut agar muslimat diberi peluang bertanding dalam pilihan raya, cukup mengkagumkan saya.

Bukanlah kerana Dr. Lo Lo berasal dari Parit, maka saya yang berasal dari Parit juga, mengangkat beliau dalam tulisan ini.

Tetapi, saya berbangga juga ada anak Parit yang berkaliber macam Dr. Lo Lo.

Seperti saya bangga pada ayahnya, Datuk Haji Mohd Ghazali yang tercatat dalam lipatan sejarah sebagai Setiausaha Penaja ketika PAS ditubuhkan dahulu.

Malah, ayahnya juga pernah jadi Mufti Perak dan Selangor serta Imam Masjid Negara yang pertama di tanahair kita, walaupun dia anak kelahiran Kg. Padang Tenggala, Bota, Parit.

Tetapi berkhidmat di luar Parit demi bangsa dan agama. Maaf kepada sesiapa yang tersingung dengan ngomelan yang tidak sepertinya ini.

7 ulasan:

puteramaya berkata...

Saudara Tarmizi
Assalamualaikum
Terima kasih atas kiriman ucapan tahniah kepada saya. Kadang-kadang saya ada juga pinjam posting anda untuk kk dan blog baru saya http:maisuara.blogspot.com.

Salam takzim dan selamat berjuang
Ruhanie Ahmad

Unknown berkata...

dalam nukilan dan penyampaian saudara itu saya fahami, kita semua kena fikir kearah kebaikan untuk semua bukan semata-mata satu golongan. jika seseorang itu ada kelebihan dan ketokohan, kita patut beritahu orang lain agar tidak disia-sia akan keistimewaan dan kelebihan tersebut. gunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan kepada semua makhluk Allah. moga yang menjalankan tugas dan tanggungjawab itu diberi ganjaran dan kemudahan dalam kehidupan dunia lebih-lebih diakhirat nanti.
jangan ikut perangai iblis dan syaitan yang memang menyesatkan orang.

Tanpa Nama berkata...

Saya tertarik dgn pandangan Sdr. Telah lama juga saya intipi perjuangan politik Dr. LoLo, sejak muncul memperjuangkan muslimat boleh jadi calon Pas bertanding praya. Bagi saya, Dr ada potensi, berkaliber dan mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Wilayah dan YDP Kawasannya, di Titiwangsa. Ia bukan mustahil. Pas boleh mencuba resipi ini bagi menarik sokongan lebih pada masa depan. Syabas! Dr. Lolo. Kewibawaan mu akhirnya dijejaki seorang bernama blogger ternama!

Tanpa Nama berkata...

Teruskan perjuangan anda. Jangan tergelincir sudah lah!!

Tanpa Nama berkata...

Respon Saya - Ustaz Tarmizi Md Jam adalah merupakan seorang yang terlibat secara langsung dalam politik. Pandangannya patut diambil kira dan diberi perhatian.

Ramli Halim

Tanpa Nama berkata...

19. Anonymous said...
Akm. Mat Saleh mane lak bawak teori ntah ape2 ni, menyemak laman web kapak jangak je, bukan orang nak baca pun. Ok, nak komen Tarmizi. Apa tak boleh pulak Dr Lo' Lo' jadi PJ Wilayah? Dulu pun Khadijah Sidik pernah jadi PJ Johor.Bagaimanapun, isu ini kurang sesuai dibangkit waktu sekarang, tak de pekdah. Elok ditangguh ke pemilihan muktamar 2009.Lani, tumpu kerje pilihan raya je.Isu dalaman kita letak tepi.Tq.

Respon Saya - Waalaikumussalam! Betul juga. Rasanya dalam Islam...berketuakan orang perempuan tak berapa digalakan. Kalau tak silap saya hanya Khalifah Umar yang guna khidmat orang perempuan sebagai menteri kewangan pada era kekhalifahannya.

Kalau tak silap saya Syifa' namanya. Macam mana pun Sayyidina Umar menerima pandangan kaum perempuan. Masa hayat Rasulullah s.a.w. dan sahabat yang empat...rasanya tak ada wanita yang dilantik sebagai gebenor. Kalau saya tak sampai maklumat tak tahulah pula.

KAWE petik dari Blog Kapak Jangak sebab ada bagi komen isu artikel ini untuk renungan bersama!

Tanpa Nama berkata...

Cube pandu try weh! Teman naik syok juge bace komen tmj nih! Bukan ape, mun kalu ade baiknya letak Lo Lo tu jadi Pjaya kat Wilayah, nampak le perubahannye. Ate ape lagi, TG Hj Hadi kene pikio la dari sekarang nanti lepas praya boleh le congak-congak sikit. Tahun 2009 dah ada pemilihan. Pastu ada plantikan Pjaya. Buleh le TG Hj Hadi cube-cube letak Lo LO jadi Pjaya Wilayah. Macam mane agaknye? Pro and kontra tu biase le, nak buat cam mane?