KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 29, 2009

Muhyiddin dakwa PAS cuba jadikan Umno ‘kambing hitam’

GENTING HIGHLANDS: Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas PAS kerana cuba menjadikan Umno dan idea Kerajaan Perpaduan sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik dalaman membabitkan pimpinan tertinggi mereka.

Timbalan Presiden Umno itu mendakwa, berdasarkan perkembangan semasa sebenarnya berlaku pertembungan kepentingan antara Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebab itu sekarang mereka nak bersilat dalam gelanggang, tepis sana tepis sini supaya mereka dapat atasi masalah mereka. Dia cari ‘kambing hitam’, ‘kambing hitam’ ini UMNOlah, sedangkan kita berniat baik dan ikhlas," katanya.

Beliau mengulas kemelut dalam PAS yang tercetus apabila Nik Abdul Aziz mencadangkan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan pemimpin parti itu yang dikategorikan prokerajaan perpaduan.

Seorang lagi anak Parit, bekas KSU didakwa rasuah

SHAH ALAM: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Abdul Hanan Alang Endut hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM59,390.60 pada hujung tahun lalu.

Abdul Hanan, 57, didakwa memperoleh untuk dirinya suapan berbentuk beberapa keping cek kosong (tidak diisi jumlah dan tarikh) United Overseas Bank (UOB) milik Adam Omar.

Suapan tersebut didakwa diterima daripada Adam selaku pemilik Global Goodway (M) Sdn. Bhd. sebagai ganjaran kepada tertuduh kerana meluluskan permohonan ‘TechnoFund’ daripada syarikat tersebut.

Cek-cek tersebut didakwa diterimanya antara 1 dan 15 Disember tahun lalu di No. 25, Jalan 17/21, Seksyen 17, Petaling Jaya dekat sini. Abdul Hanan didakwa menunaikan cek-cek kosong tersebut antara 15 Disember 2008 dan 27 Februari lalu bagi tujuan:

*Menjelaskan bayaran pembaikan rumahnya di No. 25, Jalan 17/21, Seksyen 17, Petaling Jaya dekat sini berjumlah RM15,024.

*Menjelaskan bayaran zakat pendapatan sebanyak RM25,000 bagi tahun 2008.

*Menjelaskan bayaran tiga kad kredit CIMB Bank miliknya berjumlah RM9,275.

*Membayar cukai taksiran bagi tiga premis yang beralamat di No. 25, Jalan 17/21, Petaling Jaya; E-23-17, Blok E, Flora Damansara No. 1, PJU8/9, Bandar Damansara; dan B/316, Perdana View Condo, No. 21, Jalan PJU8/1 Damansara Perdana berjumlah RM1,542.60.

*Menjelaskan bayaran perkhidmatan, sinking fund dan bil air serta insurans kebakaran di dua premis di Flora Damansara dan di Jalan Pinggiran Mas 1, Taman Mas, Puchong dekat sini berjumlah RM534.

*Menjelaskan bayaran cukai tanah sebanyak RM15 bagi tanah di Mukim Sungai Raya.

*Memasukkan RM8,000 ke dalam akaun Maybank milik isterinya, Datin Norihan Ahmad.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana satu yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais turut mengemukakan pertuduhan pilihan bagi setiap pertuduhan tersebut.

Pertuduhan pilihan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Morais menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Abdul Hanan yang diwakili peguam Badrul Munir Bukhari yang hadir bagi pihak peguam utama tertuduh, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bersetuju dengan jumlah jaminan tersebut.

Muhammad Shafee tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi ini.

Hakim Syafeera Mohd. Said membenarkan Abdul Hanan dibebaskan dengan jumlah jaminan tersebut sementara menunggu sebutan semula kes pada 2 Disember ini.

Menurut Badrul, pihaknya bercadang menulis surat kepada pendakwa raya bagi memohon pertuduhan tersebut digugurkan selepas memperoleh semua dokumen yang diperlukan.

Tertuduh dan isterinya dilihat berjalan meninggalkan mahkamah pada pukul 12.15 tengah hari setelah menjelaskan wang jaminan.

Memetik laporan akhbar hari ini, tertuduh ditahan semalam selepas disyaki menerima rasuah lebih RM50,000 bagi meluluskan geran bernilai jutaan ringgit untuk sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Tiga mangsa jambatan runtuh "1Malaysia" berbangsa India

KUALA DIPANG: Mayat mangsa kedua tragedi jambatan gantung runtuh sewaktu menyertai perkhemahan 1 Malaysia Selasa lalu ditemui malam tadi. Mayat Davadharshin a/p Maheswarawan, 11, ditemui terapung pada jam 11.30 malam tadi kira-kira 15 km dari tempat kejadian.

Mayat tersebut ditemui terapung pada jam 11.30 malam tadi berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang. Davadharshini adalah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan.

Mayatnya yang ditemui oleh anggota RELA telah dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Operasi mencari seorang lagi mangsa, Diryasree a/p Vasudevan, 12, dari Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng masih diteruskan membabitkan lebih 200 anggota penyelamat.

Sebelum ini mayat mangsa pertama Dina Dewe a/p Nathan, 11, ditemui pada jam 8.40 pagi Selasa lalu berhampiran loji di sungai itu kira kira empat kilometer dari tempat dia terjatuh.

Ketiga-tiga mangsa tersebut berbangsa India adalah antara 22 murid yang dihanyutkan arus deras apabila jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar runtuh pada malam Isnin lalu. Bagaimanapun 19 mangsa berjaya diselamatkan oleh guru dan pengawal sekolah terbabit.

Kemelut dalaman PAS dari jangkauan minda Dr Mohd Asri

WALAUPUN saya mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun saya akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan politik. Ini bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.

Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik negara.

PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia. Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak langsung.

Saya berpendapat, krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS. Bisikan datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi pihak-pihak tertentu.

‘Pembisik’ hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja sekalipun menggadaikan atau menggugat keteguhan parti orang lain. Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada PAS.

Krisis kali ini agak serius. Ia mungkin boleh didramakan seakan sudah tamat, tetapi bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan, kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS.

Saya berharap antara hikmah kejadian ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu. Pendapat atau pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam setiap pendapat.

Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan, ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan emosi semata.

Satu perkara yang wajar PAS akui ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul. Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak atasan PAS.

Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz Bari. Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS itu menulis:

“Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof. Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan. Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang. Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah..”.

Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari. Saya tidak menyatakan saya setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi saya hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan, padahal Dr Aziz Bari boleh dikatagorikan sebagai rakan mereka. Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub atau gaya bahasa yang lebih terhormat.

Bagaimanakah keadaan seperti ini jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan?! Saya bimbang ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan luar.

Akhirnya, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.

Beberapa perkara berikut patut difikirkan oleh PAS; Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?

Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?

Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?
Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?

Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?

Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?

Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?

Ditulis Oleh DR MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN
Mantan Mufti Kerajaan Perlis

Menyingkap "kebijaksanaan" Almarhum Ustaz Fadzil Noor bersilat politik

SAHABAT baik saya, Saudara Muhaimin Sulam pada masa ini sedang menulis tesis Phd beliau mengenai mantan Presiden PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Muhaimin memberitahu saya dalam menyediakan tesisnya beliau telah antara lain menemubual Tun Mahathir bagi mendapatkan pandangannya tentang Almarhum.

Mahathir memberitahu Muhaimin bahawa beliau amat menghormati Almarhum dan mengakui bahawa meskipun Almarhum adalah pemimpin pembangkang namun beliau banyak belajar dari Almarhum.

Seorang lagi pemimpin yang ditemubual oleh Muhaimin adalah Lim Keng Yeik iaitu mantan presiden Gerakan. Lim Keng Yeik juga menghormati kebijaksanaa Almarhum.

Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum . Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaa Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Insiden pertama adalah apabila saya menjadi penterjemah beliau semasa beliau ditemubual oleh seorang wartawan Austria. Temubual itu berlangsung di Pejabat Harakah di Jalan Pahang. Memandangkan saya secara kebetulan ada di situ Almarhum mengajak saya untuk hadir di temubual itu sekaligus menjadi penterjemah beliau.

Banyak soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut kepada Almarhum. Dalam banyak jawapan yang diberikan oleh Ustaz Fadzil, saya amat tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada satu soalan yang saya kira satu soalan untuk memerangkap beliau.

Wartawan Austria itu bertanya kepada Ustaz Fadzil apakah yang PAS akan lakukan kepada pernigaan judi di Genting Highland jika PAS ditakdirkan memerintah Malaysia ?

Sebelum Ustaz Fadzil menjawab soalan tersebut saya tertanya-tanya bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Saya dapat merasakan bahawa wartawan Austria itu mahukan Ustaz Fadzil Noor menjawab bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland kerana judi adalah haram menurut Islam. Saya percaya jika begitulah jawapan Ustaz Fadzil Noor maka itulah yang dimahukan oleh wartawan barat itu bagi menunjukkan bahawa gerakan Islam seperti PAS adalah ekstrim dan jika memerintah maka kononnya hak orang buka Islam akan tergugat.

Saya jenuh memikirkan bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Sebelum Ustaz Fadzil ditanya soalan itu saya ada membaca di akhbar the star yang diterbitkan sebelum temubual itu tentang jawapan yang diberikan oleh pemimpin PAS yang lain bahawa PAS akan menutup pusat perjudian itu jika PAS memerintah Malaysia. Saya merasakan meskipun jawapan itu tidak salah dari sudut agama namun menjawab secara sebegitu akan menguatkan persepsi di kalangan orang bukan Islam yang tidak memahami Islam bahawa itulah PAS sebuah parti yang ekstrem.

Mari kita lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil menjawab soalan yang saya nyatakan di atas.

Beliau menjawab lebih kurang begini : “ Bagi kita ( PAS ) ada isu yang lebih besar dari isu yang kamu bangkitkan tersebut. Bagi kita ( PAS ) isu tentang penyalahgunaan kuasa, isu rasuah , isu pencabulan hak asasi dan isu pencabulan sistem demokrasi dalam negara ini adalah isu-isu besar yang rakyat mahukan kita ( PAS ) membuat perubahan jika kita ditakdirkan mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.”

Sebaik sahaja saya mendengar jawapan itu saya berkata dalam hati memang layaklah Ustaz Fadzil menjadi pemimpin saya. Jawapan yang amat bijaksana. Beliau tidak kata beliau tidak akan haramkan judi oleh itu tidak boleh dituduh PAS sudah menggadai prinsip. Cara beliau mengalih ( divert ) persoalan yang dibangkitkan amat menakjubkan.

Dalam satu insiden yang lain saya kebetulan berkesempatan makan tengah hari bersama beliau di kantin Parlimen. Semasa makan tersebut beliau menceritakan kepada saya tentang isu yang berlaku di Parlimen. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu senang hati dengan cara ahli-ahli Parlimen Umno menyerang pentadbiran Taliban di Afghanistan. Ustaz Fadzil memberitahu cara Umno menyerang Taliban adalah dengan cara yang tidak adil kerana tidak langsung menceritakan aspek positif pemerintah Taliban khususnya kejayaan Taliban menyelesaikan isu dadah di negara itu.

Ustaz Fadzil memberitahu saya pada mulanya beliau ingin bangun dan membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno. Namun beliau menyatakan bahawa beliau berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu. Beliau menyatakan bahawa beliau amat khuatir dan bimbang jika beliau bangun membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno, PAS akan dilihat membela Taliban . Apabila PAS dilihat membela Taliban, ujar Ustaz Fadzil, maka rakyat negara ini akan dimomokkan oleh Umno bahawa PAS adalah sama dengan Taliban. Dan ini , dari segi politik, akan menyukarkan PAS untuk menangkis serangan Umno itu dalam keadaan Umno menguasai media massa. Maka beliau mengambil keputusan tidak bangun untuk membela Taliban.

Sekali lagi saya lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil. Beliau amat teliti dan cermat dalam mengambil satu-satu pendirian. Meskipun apa yang beliau ingin buat itu betul ( membela pihak yang diserang secara tidak adil ) namun sebagai pemimpin beliau memikirkan kesan apa yang beliau buat itu. Inilah antara lain kualiti seorang pemimpin – sentiasa memikirkan kesan sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.

Apa yang Ustaz Fadzil lakukan tersebut, bagi saya, adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagi kita yang menekuni seerah Rasulullah s.a.w pasti akan tahu bagaimana kisah Rasulullah s.a.w. dan pemimpin Munafiq Abdullah bin Ubay bin Salul . Meskipun diminta oleh para sahabat untuk membunuh Abdullah bin Ubay namun Rasulullah s.a.w enggan melakukan hal tersebut. Rasullullah s.a.w menolak saranan para sahabat tersebut kerana tidak mahu dikatakan orang selepas itu bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri.

Kita lihat juga peristiwa penaklukan bumi Palestine pada tahun 637 Masihi oleh Syaidina Umar . Semasa Syaidina Umar berada di dalam gereja waktu solat pun tiba. Paderi menyuruh beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Syaidina Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan tersebut . Umar jelaskan pada Paderi tersebut sekiranya beliau sembahyang di situ kaum muslim akan ingin mengingati peristwa bersejarah itu dengan mendirikan masjid di tempat itu ( gereja itu ) dan jika itu berlaku kaum muslim akan memusnahkan gereja itu.

Lihatlah sikap seorang pemimpin. Sentiasa memikirkan kesan apa yang ingin dilakukan. Moga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah di atas.

Ditulis Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN
Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat

Membelek analisis A Kader Jasin: EGM MCA jadi ilham Tok Guru Nik Abdul Aziz?

SEORANG pembahas dalam tampalan lalu yang menggunakan nama pena Mtgbertam, antara lain, berkata: “Ni Tok Guru Nik Aziz ada keluaq kan cadangan supaya PAS ada EGM. Nampaknya ada lagi tajuk dato nk (nak) hentam PAS.”

Bertindak ke atas maklumat Sdr Mtgbertam, saya membaca laporan Malaysiakini dan melayari blog Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya amat tertarik dengan hujah dan saranan beliau.

Oleh kerana implikasi kenyataan Tok Guru itu penting kepada masa depan politik nasional, saya memerlukan ruang yang agak panjang untuk membuat analisis.

Mula-mula mari kita baca apa yang Nik Aziz kata. Menulis dengan tajuk “Pas: Keperluan Muktamar Khas Luar Biasa”, Nik Abdul Aziz , antara lain, berkata:

“Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

“....Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah.

“Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

“Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

“Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana.

“Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihan raya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.”

Singkir Haji Abdul Hadi

Inti pati cadangan Nik Abdul Aziz itu adalah apa yang beliau labelkan sebagai “dua tiga kerat pemimpin bermasalah” dalam Pas.

Siapakah dua tiga kerat pemimpin bermasalah yang Nik Abdul Aziz maksudkan?

Secara langsung beliau menyebut nama Hassan Ali dan Mustafa Ali yang menurut beliau “tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG.” (UG adalah singkatan Unity Government).

Tetapi apa yang tersirat dan lebih berat adalah presiden parti, Abdul Hadi Awang. Tanpa menyebut nama beliau, Nik Abdul Aziz menulis: “Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.”

Edisi bahasa Melayu Malaysiakini dalam laporannya membuat kesimpulan bahawa Nik Abdul Aziz mahu Abdul Hadi disingkirkan. Portal berita itu melaporkan:

“Mursyidul Am PAS mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah", termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.”

Saranan Nik Abdul Aziz itu boleh memberi kesan besar kepada politik nasional kerana secara efektifnya Pas adalah parti politik kedua terbesar selepas Umno. Apa jua yang berlaku kepada parti itu akan mempengaruhi politik nasional.

MCA dan MIC Penanda Aras?

Selama ini umum didedahkan kepada masalah dan krisis yang dihadapi oleh parti-parti BN. Kepemimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dilihat sebagai padu dan mantap.

Tetapi apakah implikasinya apabila Nik Abdul Aziz berasa sesuai dan perlu untuk merujuk kepada krisis yang dihadapi oleh MCA dan MIC bagi menyokong cadangan mesyuarat agung luar biasa Pas?

Pertama, apakah krisis kepemimpinan Pas sama teruk dengan krisis MCA dan MIC?

Kedua, adakah MCA dan MIC – dua parti bukan Islam dan bukan Melayu dalam BN – boleh dijadikan penanda aras bagi Pas yang mendakwa dirinya parti Islam, yang majoriti ahlinya adalah orang Melayu?

Ketiga, adakah masalah Pas dengan Abdul Hadi sama dengan masalah MCA dengan Ong Tee Kiat dan MIC dengan Samy Vellu? Atau

Keempat, adakah Nik Abdul Aziz berharap mesyuarat agung luar biasa Pas akan singkir Abdul Hadi seperti EGM MCA singkir Ong? Dan

Kelima, adakah ini sebenarnya manifestasi perbezaan ideologi dan pendekatan di kalangan pelbagai feksyen di dalam Pas?

Pas Jurucakap Melayu/Islam

Apa pun kesudahannya, satu perkara yang tidak boleh diabaikan adalah peranan Pas sebagai jurucakap orang Melayu/Islam.

Jika ditakdirkan PR menubuhkan kerajaan pusat, Pas secara langsung menjadi wakil dan jurucakap orang Melayu/Islam menggantikan Umno dalam kerajaan.

Pada masa itu, jika Pas tidak mempunyai perwakilan yang besar dalam Parlimen atau tidak mempunyai kecekapan berunding, kepentingan orang Melayu/Islam mungkin terjejas.

Sedangkan pada masa itu harapan dan ekspektasi orang Melayu/Islam kepada Pas pasti sangat tinggi. Apa tidaknya, mereka tentu tidak menaikkan Pas dengan menjatuhkan Umno jika mereka tidak mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap Pas.

Tetapi rundingan dan tolak ansur antara Pas dengan rakan-rakan PRnya pasti tidak sama dengan rundingan dan tolak ansur antara Umno dengan rakan-rakan BNnya.

Ini adalah kerana Pas bukan parti kebangsaan Melayu. Tentulah janggal bagi Pas berunding dan bertolak ansur atas landasan bangsa sedangkan Pas menolak kebangsaan atas alasan ia assabiyah.

Pas hanya boleh menyuarakan aspirasi orang Melayu secara pintu belakang dengan menggunakan landasan Islam. Ini bermakna rundingan dan tolak ansur antara Pas dengan PKR dan DAP akan berlandaskan Islam.

Saya rasa sebagai orang Islam, orang Melayu tidak ada masalah jika Pas menggunakan Islam sebagai pemangkin rundingan dan tolak ansur dengan DAP dan PKR.

Soalnya, adakah DAP dan PKR, dua parti sekular, bersedia menerima Islam sebagai asas rundingan dan tolak ansur dalam PR?

Bagi saya, senario ini menjanjikan eksperimen politik yang sangat menarik, yang memerlukan pemain hebat dari segi kecerdikan, kecerdasan fikiran, perancangan dan pelaksanaan.

Manakala Pas melandaskan tindak-tanduknya kepada Islam, DAP akan melandaskannya kepada sosialisme dan PKR kepada liberalisme Anglo-Saxon Barat.

Politik nasional kita akan berpindah daripada perundingan dan tolak ansur berasaskan kaum kepada perundingan dan tolak ansur berasaskan agama (Pas), ideologi (DAP) dan hak asasi manusia (PKR).

Soalnya, apakah pemanggilan mesyuarat agung luar biasa Pas seperti dicadangkan oleh Nik Abdul Aziz itu akan melahirkan kepemimpinan yang mesra PR atau konservatif yang mirip kepada Pas bergerak bersendirian dan mengutamakan perpaduan Melayu?

Ditulis Oleh DATO' A KADER JASIN

Antara EGM PAS, Tok Mat, Mahathir dan Ketua Audit Negara

SEHARI dua ini, ke mana saja pergi, saya pasti disapa dengan persoalan sama, mengenai tulisan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam blognya. Teman-teman dari jauh juga, sebahagiannya tidaklah sangat berminat dengan politik, melalui SMS, bertanyakan hal serupa: "Awat ni Lutfi, dua Tok Guru dalam PAS dah bergaduh? Nampak macam serius aja." Seorang pembaca setia Harakah di Bukit Indah, Ampang mengusik: "Kita dah pecah dua ke? Tapi mereka sudah pecah lima!"

Beliau mungkin merujuk 'mereka' kepada Umno yang tidak asing dengan masalah perpecahan dalamannya yang cukup serius.

Keprihatinan masyarakat terhadap PAS memang semakin tinggi. Kewibawaan Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Abdul Hadi Awang diakui semua pihak, termasuk dari golongan yang berbeza pegangan politik.

Sebagai parti Islam yang cukup berpengalaman, merasai suka-duka jatuh dan bangun, serta dilihat paling berpotensi untuk menggantikan Umno sebagai teras kepada gabungan parti pemerintah, apa juga masalah dalam PAS terutama membabitkan dua Tok Guru akan dipandang serius dan perlu diselesaikan segara.

Berdepan sambutan rakyat yang hebat, khususnya membabitkan pengundi Melayu dalam pilihan raya 1999, seterusnya menembusi sempadan kaum dan agama pada 2008, ada pemerhati menyifatkan bahawa PAS kini berdepan dengan isu menguruskan kejayaan dan menangani cabaran yang kian kompleks, sehingga ada yang mengingatkan: "Sepatutnya tempoh 2008 hingga PRU13, PAS perlu mengukuhkan kedudukan yang belum pun stabil. Usah pandang mudah sokongan luarbiasa bukan Melayu, mereka boleh beralih bila-bila masa. Masa yang sama, pengundi Melayu mesti didekati dan didampingi, suatu perkara yang saya nampak masih terabai."

Dalam pada itu, lebih ramai yang berpesan agar kepimpinan PAS jangan terjerumus dalam "sindrom menafikan" - seperti gejala yang menimpa pemimpin Umno dan merosakkan parti itu - apabila menganggap segalanya mudah untuk diatasi, dan segala sampah disapu di bawah permaidani, di samping terus menyalahkan "permainan jahat media".

Perbezaan pendapat dan percanggahan pendekatan bukannya satu dosa dalam sesebuah parti politik, hatta gerakan Islam, namun ia tentu sekali mesti diurus secara bijaksana dan tidak sampai dilihat sebagai "perpecahan dalaman" yang kronik. Keyakinan masyarakat untuk PAS menerajui perubahan bersama Pakatan Rakyat tidak wajar disia-siakan. Kesatuan dalam parti mesti utuh, selain mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan KeADILan dan DAP.

Bagi saya, gejala yang menimpa PAS merupakan kelaziman buat parti yang semakin berkembang dan membesar. Selama ini terbukti setiap cabaran, pergolakan dan krisis makin mematangkan PAS. Namun ia bukannya dileraikan semudah itu, tanpa komitmen bersungguh-sungguh oleh pimpinan yang bijaksana dan ahli yang sabar-setia. Lebih penting, rakyat yang sentiasa memerhatikan pandai pula memberikan "markah".

II.

Agak menarik juga membelek buku Mohamed Rahmat, bekas Setiausaha Agung Umno, berjudul Umno: Akhir Sebuah Impian. Beliau yang dilihat rapat dengan Dr Mahathir Mohamad terutama ketika bekas Perdana Menteri itu menghadapi krisis keyakinan rakyat dan ahli-ahli Umno pada akhir 1980-an mempunyai tanggapan tersendiri terhadap bekas ketuanya itu.

Mohamed merakamkan bagaimana pada satu hari, dalam tahun 1999, beliau dipanggil ke pejabat Perdana Menteri. Dr Mahathir memberitahunya, "Mat, I nak gugurkan you." Beliau bertanya, "bila?" Jawab Mahathir, "sekarang juga".

Dua minggu kemudian, Mahathir memanggilnya dan meminta Mohamed menulis surat perletakan jawatan. "I dah sanggup berhenti, ada apa-apa ke untuk I?" kata Mohamad.

Seterusnya beliau mencatatkan: "Sebaliknya dengan angkuh dan sombong, dia (Mahathir) menjawab, "Nothing for you!" dan terus berlalu dari situ."

Beliau yang popular dengan panggilan Tok Mat menyifatkan tindakan Mahathir kepadanya seperti "sepah setelah habis madu".

Tulisnya lagi: "Saya sedar bahawa Dr Mahathir hanya perlukan kita apabila dia perlukan kita. Asalkan dia dapat apa yang dia mahu, masalah orang lain bukan masalahnya lagi."

Mohamed turut merakamkan pengalamannya sebagai Menteri Penerangan bersama Tun Hussein Onn ketika PM ketiga itu memanggilnya sekitar tahun 1977.

Dalam pertemuan empat mata, Hussein menyatakan: "I ada misi penting untuk you. I mahu tumbangkan kerajaan negeri PAS di Kelantan."

Mohamed mengakui dalam buku itu: "Untuk menjayakan kempen itu, saya telah menempatkan 300 pegawai dan kakitangan Bahagian Khas Kementerian Penerangan ... meyakinkan penduduk Kelantan bahawa masa untuk berubah sudah tiba."

Tok Mat juga mendedahkan bagaimana Kementerian Penerangan dipergunakan untuk meyakinkan kembali rakyat terhadap Umno, khususnya selepas parti itu diharamkan, termasuk melalui kempen Setia dan Semarak.

Begitu juga dengan usaha mengembangkan Umno di Sabah selepas Pairin Kitingan membawa PAS keluar BN: "Sebagaimana di Kelantan pada 1977, saya bawa 500 pegawai dan kakitangan Kementerian Penerangan untuk berkempen bagi pihak Umno ... mempengaruhi rakyat Malaysia di Sabah supaya menyokong Umno dan menolak PBS."

III.

Dalam buku Strategi Membanteras Korupsi, karya Jeremy Pope, sebuah buku panduan Transparency International 2002, ditekankan fungsi Audit Negara. Tumpuan saya melekat kepada ungkapan: "Auditor Negara yang kuat dan efektif adalah teman yang sangat berharga bagi pemerintah dan rakyat untuk mengurangi pemborosan dan penyelewengan. ... Negara memerlukan anjing penjaga kewangan yang pandai menyalah dan menggigit."

Tetapi bagaimana pula dengan kata-kata bekas Presiden TI Malaysia, Tunku Abdul Aziz Ibrahim: "Berdasarkan rekod lepas, saya meragui apa yang akan dilakukan (terhadap Laporan Ketua Audit Negara). Dan tahun depan akan berlaku ulangan serupa. Mereka yang terbabit tidak pernah disiasat. ... tidak ada gunanya mempunyai pejabat Ketua Audit. Ia sepatutnya ditutup."

Ditulis Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Harakah

Dr Hasan Ali main ragbi ketika orang lain main bola?

KUALA LUMPUR: Bagaimanakah PAS akan menyelesaikan persoalan yang berbangkit dalam parti itu sekarang? Inilah soalan yang dibangkitkan oleh banyak pihak ekoran kenyataan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagi saya kita kena kembali kepada pokok masalahnya. Apa masalahnya sehingga Nik Aziz membuat kenyataan dan cadangan sedemikian.

"Bagi saya kerana beliau tidak berpuashati dengan cara pemimpin PAS mengendalikan isu di Selangor. Kalau begitu selesaikan isu di Selangor," kata seorang penganalisa.

Bagi beliau, sebagaimana ramai pihak di luar PAS, Nik Aziz sangat risau dengan apa yang berlaku di Selangor. Ia telah menghasilkan satu persepsi umum yang kurang baik kepada PAS.

Ia bermula dengan siri-siri kenyataan dan pendirian Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dalam hal ehwal Selangor.

Yang terakhir adalah serangan Hassan, exco kerajaan negeri Selangor ke atas Selcat yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menghadapi serangan ke atas kerajaan negeri itu.

Mereka beranggapan, Umno telah mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menekan pimpinan kerajaan negeri Selangor.

Padahal, yang paling banyak membuat penyelewengan adalah kerajaan Selangor yang dipimpin oleh BN sebelum ini. Antaranya menghabiskan peruntukan kerajaan negeri untuk setahun dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu habis pada Mac 2008 sahaja.

Ini semua didedahkan dalam sidang Selcat yang dipimpin oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chan Kim.

Hasan melalui satu sidang medianya telah menyerang cara Selcat mengendalikan penyiasatan awamnya sehingga memalukan pegawai kerajaan yang memberikan keterangan dalam sidang Selcat.

Padahal, sebagai Exco, Hasan boleh bangkitkan rasa tidak puashati beliau itu dalam mesyuarat Exco yang diadakan saban minggu. Ini tidak, dalam mesyuarat Hasan hanya mendiamkan diri tetapi cukup hebat dalam membuat kenyataan-kenyataan media.

Apabila Hasan menyerang Selcat melalui media, sudah pasti rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat di Selangor akan marah. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika bercakap dengan wartawan Singapura tidak memberikan ulasan pedas tetapi berkata:

"Inilah masalah kami. Kami main bola tetapi tiba-tiba ada antara ahli pasukan kami main ragbi," katanya.

Khalid juga telah menghantar satu surat khas kepada Presiden PAS berkaitan dengan isu ini.

Apa yang berlaku di Selangor telah memberikan signal yang negatif terhadap PAS dalam bekerjasama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan. Dalam masa yang sama, apa yang berlaku di negeri ini juga menjadi contoh penting kepada seluruh negara.

Ia disahkan lagi melalui keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila PAS kalah teruk di situ. Antara puncanya kerana dikatakan pengundi Cina dan India tidak memberikan sokongan penuh kepada calon PAS. Dengan mudah jari ditunjukkan kepada Hassan Ali sebagai puncanya.

Kalau begitu, apa pula yang Nik Aziz marahkan kepada pimpinan PAS. Nik Aziz marah kerana beliau melihat para pemimpin PAS yang ada semacam membela Hasan pula. Ini kerana, bagi beliau, semua pemimpin kanan PAS yang ada sekarang rakan sepasukan Hasan dalam isu kerajaan perpaduan.

Bahkan pihak yang dianggap sebagai musuh Hasan dalam politik Selangor, iaitu Khalid Samad, anggota Parlimen Shah Alam diserang oleh pemimpin PAS dalam beberapa siri mesyuarat Pakatan Rakyat.

Kalau begitu bagaimana cara menyelesaikan perkara ini? Mesyuarat agung luar biasa yang bakal berakhir macam MCA atau bertindak tanpa perlukan mesyuarat sebegitu.

Menurut seorang ahli Parlimen PAS di Selangor, sesaorang harus di hukum dan bertanggungjawab ke atas segala masalah ini untuk mempastikan semua yang lain termasuk nama baik parti terselamat. Beliau mencadangkan, Hasan Ali yang mesti dihukum.

Beliau mencadangkan agar Hasan melepaskan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri Selangor kerana nampak sangat beliau tidak boleh lagi bekerja dalam pasukan Pakatan di Selangor.

"Dia sudah main ragbi ketika ahli pasukan lain main bola. Jadi dia yang kena kad merah," kata beliau.

Jambatan maut: Guru Besar Sek Keb Kuala Dipang disiasat

KUALA DIPANG: Guru besar SK Kuala Dipang, tempat kejadian jambatan gantung runtuh kelmarin, memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai berhubung projek pembinaan struktur itu.

Alwi Hashim, ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini, mengesahkan lima pegawai suruhanjaya bertemunya di pejabatnya di sekolah berkenaan selama dua jam mulai 12 tengah hari.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan butiran soal siasat itu. Alwi berkata beliau kemudian mengadakan mesyuarat dengan pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak selama tiga jam sehingga 5 petang.

Butiran yang dibangkitkan dalam pertemuan itu bagaimanapun tidak dijelaskan.

Jambatan baru sepanjang beberapa puluh meter di belakang kawasan sekolah itu dilaporkan siap dibina kira-kira dua minggu lalu untuk menghubung sekolah dengan tapak perkhemahan.

Sewaktu kejadian pada 10.30 malam Isnin lalu, 22 murid sekolah rendah yang menyertai program perkhemahan 1Malaysia tetapi 19 lagi dapat diselamatkan. Seorang murid sekolah disahkan mati lemas, sementara dua lagi masih hilang.

Diminta mengulas syarikat yang membina struktur maut itu dan kosnya, Alwi berkata "itu bukan urusan saya, kena tanya JPN". Ditanya sama ada beliau terbabit memberikan sebarang kelulusan berhubung pembinaan jambatan gantung itu, beliau berkata "tidak".

"Saya cuma datang meninjau-ninjaunya (projek itu)," jelasnya apabila ditanya sejauh mana pembabitan beliau dengan projek berkenaan.

PAS perlu tegas isu Kerajaan Perpaduan atau UG - Dr Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pusat PAS diminta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpinnya yang didapati mencetuskan konflik dalaman parti, termasuk dalam isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Kalau kita berani dan tegas membuat keputusan dan mengambil tindakan, masalah ini akan dapat diselesaikan secara tuntas.

"Dan dengan sendirinya cakap-cakap tentang EGM (muktamar khas) tidak lagi berbangkit, kerana yang pentingnya matlamat itu tercapai," kata seorang ahli jawatankuasanya Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau diminta mengulas sama ada mesyuarat khas jawatankuasa pusat PAS dan pesuruhjaya negerinya malam ini dapat menyelesaikan krisis dalaman berpanjangan parti itu, terbaru dalam isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah" yang ditimbulkan mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Dzulkefly berkata, walaupun ketegasan jawatankuasa pusat PAS mungkin boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati, ia mesti diteruskan demi kepentingan parti.

"(Perasaan tidak puas hati) itu tidak menjadi perhitungan kita. Yang penting, parti mesti berada dalam keadaan baik,” kata ahli parlimen Kuala Selangor.

Ditanya sama ada konflik dalaman PAS sentiasa berpanjangan ekoran tiadanya ketegasan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menguatkuasakan keputusan mesyuarat, Dr Dzulkefly enggan mengulas perkara itu.

Malam ini, PAS mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu "beberapa kerat pemimpin bermasalah" berhubung isu kerajaan perpaduan yang dibangkitkan Nik Aziz dalam blognya Khamis lalu.

Nik Aziz, juga menteri besar Kelantan, yang asalnya dilaporkan "keberatan" untuk hadir – kerana DUN negeri masih bersidang – kini mengubah pendiriannya untuk berdepan dengan jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negeri di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Tiga pemimpin PAS yang dipertikaikan Nik Aziz di blognya itu: timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa, setiausaha agung Datuk Mustafa Ali dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan pula berkata, dalam mesyuarat malam ini, beliau akan mengusulkan agar lembaga displin – yang dipengerusikan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man – diaktifkan sepenuhnya bagi menangani pihak yang mencetuskan masalah dalam parti.

"Ia melibatkan isu-isu perbalahan di luar (parti), cara mengendalikan maklumat parti, mendedahkan minit mesyuarat parti, tuduh-menuduh dalam media.

"Misalnya tuduh sesuatu pihak ini pro-Umno, mestilah ada bukti. Kalau tuduhan tanpa bukti, boleh menyebabkan prejudis sesama sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga berpendapat, jika parti sentiasa mengadakan perbincangan, setiap isu dalaman dapat diselesaikan dengan mudah.

"Boleh selesai. Konsep syura (bermesyuarat) itu telah menjadi prinsip kita. Selama ini, yang tidak selesai itu sebab tidak bermesyuarat," katanya.

Ditanya tentang sejauh mana Abdul Hadi boleh bertegas dalam menguatkuasakan keputusan mesyuarat, Nasrudin tidak menjawab secara jelas, sebaliknya berkata:

"Ini berpunca daripada diri sendiri. Jangan biarkan masalah berlarutan. Ia terpulang kepada disiplin dalam parti.

"Kita minta pimpinan tidak menggunakan media (bertelagah)."

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau akan mendengar sendiri penjelasan daripada Nik Aziz pada mesyuarat malam ini.

"Perkara ini memerlukan penyelesaian segera, dengan mendengar penjelasan sendiri daripada pihak yang menyatakan berlaku beberapa perkara terhadap tokoh-tokoh tertentu.

"Jadi malam ini kita akan dengarlah. Selepas itu kita berikan pandangan kita,” katanya selepas mesyuarat exco kerajaan negeri petang ini di Kuala Lumpur.

Mengulas isu muktamar khas seperti desakan awal Nik Aziz, pesuruhjaya PAS Kedah berkata:

"Tok Guru (Nik Aziz) beri pandangan. Bukan kata beliau paksa. Beliau sayang kepada parti. Saya bersetuju dengan Tok Guru yang menyatakan 'saya siram, saya dah membajai, dah pagarkan PAS ini ibarat kebun'.

"Jadi kalau ada yang merosakkan tanaman, maka beliau bimbanglah. Itu persepsi beliau.”

Azizan berkata beliau tidak nampak jalan bagaimana muktamar khas boleh diadakan dan berhubung isu apa ia perlu dibuat.

Tambahnya, jawatankuasa sisplin dan biro politik sudah boleh menyelesaikan masalah dalaman parti.

"Tetapi kalau berlarutan mungkin adalah wajar (diadakan). Masalah itu berlarutan ke, masalah serius ke, kita akan tengok masalah kita malam ini,” katanya.

"Saya secara peribadi, sebagai ahli jawatankuasa, (masalah) tak seteruk yang digembar-gemburkan oleh media dan akhbar. Mungkin benda itu maksud lain, dilaporkan lain. Tafsiran berbeza."

Ditanya sama ada mesyuarat khas nanti boleh menyelesaikan isu ini dengan tindakan displin diambil kepada individu terbabit, Azizan berkata:

"Saya tidak nampak masalah disiplin, yang saya tahu ada pandangan yang berbeza. Salahkah pandangan berbeza?"

Jambatan maut di Kuala Dipang tiada kelulusan JKR

KUALA DIPANG: Jambatan gantung yang runtuh sehingga mengakibatkan seorang murid sekolah meninggal dunia dan dua lagi hilang dalam tragedi kelmarin dibina tanpa mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pengarah JKR Perak, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad memberitahu Malaysiakini hari ini, pihaknya juga tidak mengetahui kontraktor yang terlibat dengan pembinaan jambatan tersebut.

"Anggaran kos juga kita tidak boleh cakap kerana tidak ada penilaian kos yang dibuat," katanya ketika dihubungi petang ini.

Jelasnya, beliau juga tidak dapat memberi butiran berkenaan kerana maklumat tersebut tidak disampaikan kepadanya dari pihak pentadbiran SK Kuala Dipang, lokasi jambatan maut itu.

Pelan pembinaan jambatan yang dibina merentasi sebuah sungai berhampiran sekolah itu di Kampar sepatutnya dirujuk kepada JKR terlebih dahulu sebelum diluluskan, tambahnya.

"Kalau ikut amalan biasa, kena rujuk kepada JKR terlebih dahulu," kata Dr Safry.

Jelasnya lagi, JKR seharusnya dirujuk memandangkan jambatan itu dibina dalam sebahagian kawasan sekolah.

"Kawasan tapak perkhemahan di seberang sungai itu juga termasuk dalam kawasan sekolah," katanya, sambil menambah struktur itu dibina tanpa merujuk sebarang agensi teknikal.

Jambatan baru sepanjang beberapa puluh meter di belakang kawasan sekolah itu siap dibina kira-kira dua minggu lalu untuk menghubung sekolah dengan tapak perkhemahan.

Sewaktu kejadian pada 10.30 malam Isnin lalu, 22 murid sekolah rendah yang menyertai program perkhemahan 1Malaysia tetapi 19 lagi dapat diselamatkan.

Dr Safry, yang bakal menganggotai jawatankuasa khas untuk menyiasat kejadian berkenaan seperti diumumkan timbalan perdana menteri semalam, juga berkata: "Setakat ini kita cuma dapat tahu tiangnya tercabut bersama dengan sangganya, sebab-sebab lain kita belum dapat pastikan lagi.

"Kita akan tengok aspek-aspek teknikal, butir-butir terperinci dalam pembinaannya serta integriti strukturnya."

PAS Selangor akan diheret ke Jawatan Kuasa Disiplin - Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Mesyuarat khas barisan pemimpin atasan PAS yang berlarutan lebih empat jam sehingga selepas tengah malam ini memutuskan untuk membawa PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin parti itu, lapor Malaysiakini.

"Isu Selangor kita serah pada jawatankuasa disiplin yang dipengerusinya oleh (naib presiden) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menyiasat sejauh mana kebenarannya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu," kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Mesyuarat yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa pusat PAS dan barisan pesuruhjaya negeri juga memutuskan untuk mengadakan seminar politik bulan depan bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seminar yang dirancang itu, dengan melibatkan perwakilan setiap peringkat kepemimpinan parti, bagi menggantikan idea muktamar khas - yang asalnya disarankan oleh menteri besar itu di blognya, Khamis lalu - yang diputuskan tidak perlu diadakan.

"Satu seminar politik akan diadakan pada 7 November ini yang dihadiri perwakilan daripada seluruh negara bagi membincangkan isu yang berkaitan dan isu-isu lain bagi memperkasakan PAS.

"EGM (muktamar khas) tidak ada. Kita bersetuju EGM tidak ada," kata Abdul Hadi lagi.
Dua keputusan penting itu diumumkan dalam sidang media ringkas di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur selepas mesyuarat berakhir kira-kira jam 1 pagi ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali - yang turut menjadi sasaran kemarahan Nik Aziz - sebelum ini dan seorang lagi Naib Presidennya Salahuddin Ayub turut hadir di sisi Abdul Hadi.

Kira-kira 60 wartawan dan jurugambar setia menungggu mesyuarat khas itu sehingga sidang media itu tamat.

Abdul Hadi turut menegaskan kembali kenyataan sebelumnya bahawa PAS akan beriltizam untuk mengeratkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan menutup pintu kepada rundingan dengan Umno.

"Setelah kita berbincang dengan sepanjang-panjangnya dan menerima pandangan semua pihak, kita bersetuju, PAS akan memainkan peranan lebih aktif bagi mengukuhkan Pakatan Rakyat.

"Isu kerajaan perpaduan ditutup dan kita tetap bersama Pakatan," tegasnya.

Mesyuarat malam ini dipanggil bagi membincangkan isu "beberapa kerat pemimpin bermasalah" yang dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz di Blog Tok Guru minggu lalu.


Beliau pada asalnya mendesak muktamar khas untuk membincangkan gelagat beberapa pemimpin yang didakwanya masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan seperti Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Mesyuarat itu bermula jam 8.45 malam ini walaupun Nik Abdul Aziz hanya menghadiri mesyuarat tersebut sehingga jam 11 malam. Semua tiga tokoh utama yang dipertikai oleh beliau turut hadir.

Selain kenyataan Abdul Hadi di sidang media itu, butiran mesyuarat dan kehangatan perbincangannya belum dapat dipastikan. Ramai pemimpin PAS yang ditemui selepas mesyuarat itu enggan mengulas lanjut.

Seminar ganti Muktamar Khas (EGM), Dr Aziz Bari antara tetamu yang diundang beri pandangan - Presiden PAS

KUALA LUMPUR: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan Muktamar Khas atau EGM seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Dato' Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi. Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Dato' Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Ketua Pembangkang anggap sistem cukai di Malaysia sudah terlalu usang

KUALA LUMPUR: Sistem percukaian yang diamalkan di Malaysia masih dianggap usang, walaupun kerajaan memutuskan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan individu daripada 27 peratus kepada 26 peratus dengan maksud kadar cukai pendapatan itu kekal kompetitif.

Biarpun dengan pengurangan cukai tersebut membolehkan negara lebih produktif, kadar cukai yang dikenakan ke atas golongan berpendapatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah tidak dibezakan.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan perlu memikirkan satu sistem cukai yang lebih progresif yang tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah, mengurangkan beban kepada kelas menengah dan memberikan sedikit dorongan kepada golongan yang kaya-raya.

"Mengapa tidak boleh kita usulkan supaya dilihat semula beberapa aspek? Umpamanya, kadar maksimum untuk menetapkan percukaian ini adalah RM100,000. Kalau RM100,000 itu sekarang tahun 2009, itu pendapatan golongan menengah atau menengah atas, tetapi kadar itu sama dengan orang yang pendapatannya RM1 juta, RM10 juta atau RM100 juta setahun," kata beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010, di Dewan Rakyat, 26 Okt lalu.

Tambah Anwar, kerajaan tidak boleh menyamakan golongan menengah yang mempunyai pendapatan RM100 000 dengan yang mempunyai pendapatan RM10 juta setahun, dan ini dilihat agak terkebelakang.

Selain mengurangkan kadar cukai, kerajaan turut menaikkan pelepasan cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian komputer, dan kenaikan pelepasan caruman KWSP.

Bagaimanapun, Anwar berpendapat dari potongan ini, iaitu RM500 juta, hanya 20 juta atau mungkin 15 juta rakyat mendapat habuan masing-masing, dan dalam memberikan faedah begitu, kerajaan sekaligus mengenakan caj perkhidmatan untuk pemegang kad kredit utama sebanyak RM50 dan RM25 untuk kad tambahan yang terpaksa dibayar jutaan orang dan pendapatannya RM400 juta.

Justeru, kata Anwar biarpun bajet tersebut berbunyi agak meyakinkan, tiada langkah-
langkah yang cukup meyakinkan untuk memacu pertumbuhan dan menyelamatkan negara daripada arus yang ternyata mundur.

"Atas sebab itu saya meminta rakan-rakan untuk melihat ucapan bajet ini berbanding dengan belanjawan beberapa tahun yang lalu. Jika kita lakukan yang sedemikian,
selalunya kebijakan ekonomi dan langkah fiskal yang diumumkan itu mengenalpasti
permasalahan global, regional, dan beberapa masalah yang dihadapi dalam negara dan langkah-langkah yang boleh membantu mengangkat semula daya tahan dan upaya saing negara kita," kata Anwar lagi.

Isu "rundingan Umno-PAS" hanya umpan Muhyiddin untuk pecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar jangan cuba mencari kesempatan untuk memecah belahkan perpaduan PAS dan Pakatan Rakyat, seperti yang dilaporkan dalam sebauh akhbar harian baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idaris Ahmad menegaskan, Muhyiddin jangan jadi hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong untuk memikat PAS.

PAS berpendapat, Umno begitu gelisah apabila melihat parti Islam terbesar di negara ini, semakin mendapat tempat di kalangan orang bukan Islam dan orang Islam, menyaingi Umno yang kini jelas terhakis pengaruhnya di kalangan bukan Islam dan orang-orang Melayu sendiri.

"PAS tidak lagi dipandang sebagai parti yang cauvanis perkauman. Sebaliknya mereka melihat PAS sebagai wadah baru untuk mendapat keadilan di negara ini. Umno sedar bahawa tongkat sakti mereka sudah patah (iaitu pengundi bukan Islam), kerana selama ini Umno hanya boleh bernafas dengan bantuan oksigen daripada balang oksigen pengundi bukan Islam. Sekarang talian hayat itu sudah berpindah kepada PAS dan Pakatan Rakyat," tegas Ustaz Idris.

Sebenarnya, jelas beliau, pengundi-pengundi Melayu di negara ini, terutama generasi muda kini sudah menyebelahi PAS.

Inilah yang menjadi kebimbangan Umno, dakwa Ustaz Idris. Kalau undi Melayu sudah berpihak kepada PAS dan dicampur dengan undi bukan Islam maka sudah tentu ia akan memberi kesan politik yang parah kepada parti terbesar orang Melayu itu.

"Sifir mudahnya ialah kalau Umno kalah yang menggantikan parti itu ialah PAS. Kita menyedari bahawa Umno sedang memanipulasikan isu Melayu dan Islam, kononnya kalau Umno kalah Melayu dan Islam akan hancur.

"Sedangkan apa yang berlaku kemusnahan kepada bangsa Melayu dan Islam adalah angkara perbuatan jijik Umno. Parti yang diketuai Najib Tun Razak itu, tidak boleh tutup bangkai gajah dengan tudung saji, kerana yang menjahanamkan bangsa Melayu dan Islam ialah umno, bukannya perbuatan PAS," tegas beliau lagi.

PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, tegas Ustaz Idris sedang mengukuhkan lagi agenda perjuangan rakyat di negara ini sebagai sebuah parti untuk menjadi 'Kerajaan Menunggu'.

Beliau turut memaklumkan, bagi mencapai tujuan itu, satu Konvesnsyen Pakatan Rakyat akan diadakah di Shah Alam Selangor pada 13hb Disember depan.

1Mlaysia: Mengapa Najib dan Zamry begitu rakus libatkan kanak-kanak sekolah rendah?

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan program kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia dengan melibatkan kanak-kanak sekolah rendah seperti yang dianjurkan di Kuala Dipang, sewajarnya tidak mengancam keselamatan dan nyawa rakyat.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Zailah Mohd Yusuf menegaskan perkara itu berikutan tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar Perak sehingga mengorbankan nyawa kanak-kanak sekolah yang menyertai satu program aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan pada malam Isnin lalu.

Tegasnya, jangan menghabiskan duit rakyat semata-mata untuk mengejar kepentingan politik sedangkan kesannya terlalu sedikit jika dibandingkan masalah yang timbul.

"Saya kesal dan sangat sedih kerana jambatan yang dibina itu baru dua minggu siap tetapi telah meragut nyawa kanak-kanak sekolah yang menyertai program 1Malaysia.

"Ini satu tragedi yang tidak sepatutnya berlaku. Saya percaya mungkin ada unsur-unsur rasuah dalam pembinaan jambatan itu yang menyebabkan ia tidak selamat," katanya semasa dihubungi di Parlimen Selasa lalu.

Menurut Zailah, beliau melihat program 1Malaysia yang baru saja dilancar oleh Perdana Menteri seharusnya tidak melibatkan kanak-kanak sekolah. Ini kerana program yang kononnya untuk kebaikan tetapi berakhir dengan air mata.

"Kita minta kerajaan kaji dulu baik buruknya program-program yang dilancar kerana sebelum ini pun program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) banyak melibatkan kematian," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Dengan itu katanya, kerajaan perlu memantau soal-soal keselamatan dan matlamat sebenarnya. Sebelum program dilaksanakan terlebih dahulu, lokasinya selamat untuk peserta-peserta terutama anak-anak sekolah.

Tegasnya dalam melaksanakan kempen 1Malaysia sewajarnya tidak melibatkan kanak-kanak kerana mereka tidak cukup mamahaminya lagi.

"Apa makna 1Malaysia, dia tidak faham. Jadi dalam keadaan sekarang satu kajian menyeluruh perlu dibuat untuk dilaksanakan satu-satu program kerana kita tidak mahu seperti dasar Pembelajaraan dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Yang menjadi mangsanya jutaan kanak-kanak negara ini apabila ia ditukar kembali kepada bahasa asal setelah kerajaan terpaksa menghabiskan jutaan ringgit," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya sesuatu dasar yang dibuat itu perlu bertepatan dengan kepentingan dan keperluan rakyat.

Gagal dedahkan kontraktor 'misteri' yang baik hati bina jambatan gantung

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tragedi jambatan gantung yang runtuh di Kuala Dipang, dekat Ipoh malam 26 Oktober lalu tidak sepatutnya terjadi kerana jambatan itu baru disiapkan dua minggu lalu.

"Ini bukan kali pertama. Sudah banyak kali di Perak tragedi seperti itu berlaku. Contohnya awal bulan ini bangunan rumah kedai di Fairpark runtuh dan juga kompleks pelancongan di Banding yang bernilai RM45 juta hingga RM48 juta runtuh sebelum ini," tegasnya.

Katanya, dalam hal ini sudah pasti jabatan-jabatan yang berkaitan sama ada agensi kerajaan negeri atau persekutuan tahu siapa kontraktor yang ditawarkan kerja tersebut. Bagaimanapun, sampai sekarang rakyat tidak dimaklumkan siapakah kontraktor yang terbabit dalam projek jambatan gantung itu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, seorang murid lemas manakala dua lagi masih hilang apabila jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat Ipoh tiba-tiba runtuh.

Sementara 19 lagi yang sebelum ini dikhuatiri hilang, selamat. Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang mendakwa, terdapat unsur-unsur yang mencurigakan dan satu siasatan diwujudkan.

Beliau juga mengingatkan, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai pencetus 1Malaysia agar berhati-hati mempastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi. Ini kerana yang menanggung derita adalah rakyat dan selagi rasuah tidak dihapuskan rakyat akan menderita dan menjadi mangsa.

"Macam kes ini sampai sekarang kita nak tahu siapa kontraktornya yang buat jambatan itu dan bagaimana ia boleh jatuh sedangkan perkara itu berlaku selepas dua minggu jambatan itu siap," katanya.

Beliau berpendapat projek tersebut mungkin melibatkan kroni-kroni BN dan tiada gunanya jika kerajaan mahu menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menyiasat tragedi tersebut kerana perbuatan itu pasti akan dilindungi.

Bajet 2010 lebih memihak majikan dari membela pekerja - Adun Kota Damansara

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Mohd Nasir Hashim menempelak kerajaan BN yang melaungkan kononnya mereka membentangkan belanjawan yang bersifat peduli rakyat, walhal belanjawan tersebut tidak lebih hanya sekadar gimik politik, retorik dan tidak dilaksanakan.

"Ia hanya gimik politik, konon berjiwa rakyat tetapi sekadar sebutan dan tidak dilaksanakan," katanya.

Beliau yang juga Adun Kota Damansara turut menyifatkan Bajet 2010 sebagai tindakan untuk mengubati penyakit masalah ekonomi yang sedia ada tetapi tidak berusaha untuk mengenal pasti serta membasmi puncanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan bajet yang dibentangkan itu tidak membantu masyarakat yang miskin khususnya golongan pekerja.

"Terutamanya golongan pekerja yang memerlukan gaji minima pada tahap tertentu sebaliknya para pekerja asing pula yang mendapat pembelaan," ujarnya.

Dr Nasir berkata, dasar-dasar dalam bajet tersebut juga lebih memihak kepada majikan dan badan-badan korporat menyebabkan golongan bawahan terus-menerus di belakang sekaligus menindas golongan pekerja. Dalam keadaan krisis ekonomi dunia ujarnya, kelompok yang paling merana adalah golongan miskin.

Selain itu, beliau berpendapat apabila negara lebih mengutamakan pelaburan luar, maka kepentingan rakyat negara peringkat bawahan terpaksa dikorbankan. Kerajaan juga tidak membuat pecahan yang lebih mendalam dari segi agihan sumber pendapatan.

Menurut Dr. Nasir, hal tersebut menyebabkan sehingga kini masalah rakyat terutamanya golongan miskin dan pekerja tidak dapat diselesaikan.

"Kita lihat bajet dulu dan sekarang sama sahaja iaitu memberat-beratkan orang-orang kaya," tegasnya lagi.

Jelasnya, Malaysia kini berada pada kedudukan pertama di kalangan negara Asean iaitu negara yang mempunyai jurang penduduk miskin dan kaya yang terlalu jauh.

Dalam satu kajian menggunakan Gini Cohesion, kayu pengukur bagi menilai jarak antara miskin dan kaya baru-baru ini mendapati Malaysia menduduki tempat pertama di Asean dan kedua di kalangan negara Asia.

"Tiada tindakan yang diambil untuk mengecilkan jurang tersebut. Oleh yang demikian, maka tidak hairanlah jika ada yang menyatakan ekonomi negara yang masih bergantung kepada negara eksport luar lebih memihak kepada kapitalis," ujarnya.

Dr Nasir berasa hairan apabila Kerajaan Pusat tidak menggunakan kaedah pertanian sebagai suatu cara untuk berdepan dengan krisis ekonomi.

Ahli PAS kena bijak tapis fitnah media - Ustaz Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

Menegaskan perkara ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, berkata PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukkan PAS kini berpecah.

Katanya lagi, pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberi reaksi seolah-olah PAS kini sedang berpecah dan sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sementara sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.

Ustaz Idris menjelaskan, dalam ucapan Muktamar Agung PAS yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

Sehubungan dengan itu, selar Ustaz Idris, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok.

"Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.

"PAS melihat, selain jalan musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dikeluarkan itu untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini," tegas beliau.

Beliau menegaskan, Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin.

Jika ada laporan dan bukti yang sahih itu, tegas beliau lagi, PAS akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.

PAS tegasnya, sangat yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

Ustaz Idris meminta ahli PAS bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Katanya, gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

"Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya," pinta Ketua Penerangan PAS Pusat itu.

Ahli PAS kena bijak tapis fitnah media - Ustaz Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

Menegaskan perkara ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, berkata PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukkan PAS kini berpecah.

Katanya lagi, pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberi reaksi seolah-olah PAS kini sedang berpecah dan sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sementara sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.

Ustaz Idris menjelaskan, dalam ucapan Muktamar Agung PAS yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

Sehubungan dengan itu, selar Ustaz Idris, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok.

"Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.

"PAS melihat, selain jalan musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dikeluarkan itu untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini," tegas beliau.

Beliau menegaskan, Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin.

Jika ada laporan dan bukti yang sahih itu, tegas beliau lagi, PAS akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.

PAS tegasnya, sangat yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

Ustaz Idris meminta ahli PAS bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Katanya, gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

"Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya," pinta Ketua Penerangan PAS Pusat itu.

Buktikan hipotesis dengan hapuskan ISA - Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR: "Saya rasa kalau kita hendak berfikir secara saintifik mengapa kita tidak cuba buang Akta ISA, tengok apa jadi? Huru hara atau tidak?," soal Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas beberapa pandangan mengatakan antara sebab kerajaan BN masih mengekalkan Akta ISA untuk mengelakkan berlakunya huru-hara sebagaimana Indonesia yang berhadapan dengan pengganas Nordin Mat Top kerana akta seperti itu dimansuhkan.

Menurut Aziz, apa yang berlaku di negara jiran itu mungkin secara kebetulan, bagaimanapun jika kerajaan mahu menguji sejauh mana kebenaran itu mereka boleh memansuhkan ISA.

"Katakan selepas mansuhkan ISA, Malaysia jadi huru-hara mungkin betul hipotesis itu. Jika tidak, memang ISA tidak diperlukan," tegasnya ketika ditemui selepas Forum ISA yang bertemakan "ISA hanya kaji semula? Kenapa tidak mansuh terus?" yang diadakan di Bar Council Sabtu lalu.

Forum dianjurkan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membariskan beberapa ahli panel antaranya wakil-wakil agama iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Kristian. Turut sama dijemput wakil Majlis Peguam, Lim Chee Wee, peguam Hanipa Maidin dan Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam.

Tambah Aziz, kerajaan boleh menilai apa yang berlaku jika akta itu dimansuhkan dan inilah yang dikatakan demokrasi. Negara Malaysia sudah aman dan tenteram tidak lagi dijajah bahkan rakyat negara ini sudah matang dan pandai berfikir.

"Kita syak bahawa ISA ini bukan lagi untuk keselamatan negara tetapi untuk kepentingan orang tertentu. Takkanlah kita hendak belanjakan duit rakyat untuk menjaga kepentingan individu," katanya.

Kerajaan tidak perlu lagi Akta ISA untuk negara makmur seperti Malaysia, tetapi nampaknya hari ini kerajaan tidak percaya kepada rakyatnya sendiri, ujar beliau.

"Dengan adanya ISA sekali gus menggambarkan kerajaan dalam ketakutan dan kebimbangan yang menjadi 'mind set' pimpinan kita bukan lagi untuk keganasan," katanya.

Aziz berkata, memansuhkan ISA bukannya bermakna kerajaan perlu memikirkan undang-undang mana yang perlu diganti. Undang-undang dalam negara ini lebih daripada cukup misalnya, berkaitan hasutan kerajaan ada Akta Hasutan dan jika rakyat terlibat dalam perhimpunan haram kerajaan ada Akta Polis.

Justeru, beliau tidak menafikan sekatan dalam Akta ISA pada hari ini lebih teruk berbanding ISA pada zaman British.

PAS Batu akan buat aduan SPRM, Kementerian Pelajaran batal projek Sek Keb Sri Perak

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Batu tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP) gagal memberikan sebab mengapa projek pembinaan Sekolah Kebangsaan Sri Perak di Bandar Baru Sentul dibatalkan.

Projek yang menelan belanja lebih RM20 juta itu sepatutnya dimula pembinaannya pada 1 April 2008 dan dijangka siap pada 30 September 2009 yang lalu.

Bagaimanapun, cadangan membina dan menyiapkan sekolah mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian lot 133, Sekyen 85A Kuala Lumpur yang akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn Bhd ini dibatalkan kira-kira enam bulan yang lalu. Semua pagar, rumah kongsi dan papan tanda projek diroboh.

Bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengarah JPWP, Sulaiman Wak di pejabatnya, 26 Oktober lalu, Yang Dipertua PAS, Haji Ishak Surin melahirkan rasa kesal dengan pembatalan pembinaan sekolah tersebut.

Katanya, pihak kerajaan tidak serius dan sengaja membiarkan anak-anak Melayu Islam di sini bersekolah di bawah empat blok flat 17 tingkat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan persekitaran yang menyedihkan dan tidak mengikut kriteria sebagai sebuah sekolah, yang jelas bertentangan piagam JPWP.

"Impian guru-guru dan pelajar di sini untuk mendapatkan sekolah serba baru, berkecai setelah pembinaannya dibatalkan. Oleh yang demikian, PAS Batu mohon penjelasan sebenar dari pihak kerajaan mengapa projek pembinaan sekolah ini dibatalkan setelah ianya diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan sudah dinaikkan papan projek di tapak binaan?" tanya Ishak.

Dalam pertemuan singkat selama 30 minit dengan Pengarah Pelajaran, Ishak menyerahkan memorandum bantahan pembatalan projek sekolah berkenaan. Beliaun juga turut membantah penerusan operasi sekolah di bawah flat 17 tingkat itu, sebagai suatu yang menjengkilkan sesudah negara merdeka 52 tahun.

Sulaiman tidak dapat memberikan sebab musabah kenapa pembinaan sekolah tersebut dibatalkan oleh Kementerian Pelajaran, sekalipun JPWP bertindak sebagai badan pelaksana. Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tahu 'keadaan' sekolah tersebut dan sangat gembira apabila kerajaan meluluskan projek sekolah baru untuk menggantikan sekolah di bawah flat itu.

Turut menghantar memorandum itu, Timbalan Yang Dipertua, Haji Suhaimi Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua, Tarmizi Mohd Jan, Ketua Muslimat, Salbiah Abdul Wahab, Ketua Urusan Ulama, Ustaz Azhar Yahya, Bendahari, Rosden Yassin, Penolong Setiausaha, Ibrahim Awang, dan beberapa Exco PAS Kawasan Batu.

PAS menyifatkan pembinaan sekolah ini cukup tidak bertanggungjawab, membelakangi kepentingan rakyat dalam mendapatkan pendidikan selesa seperti pelajar-pelajar lain dan ini sekaligus menggambarkan pihak kerajaan tidak serius dalam menyediakan prasarana pendidikan/pembelajaran untuk anak-anak di sini melalui pembinaan sebuah sekolah yang sempurna dan mengikut piawaian sebenar sebuah sekolah.

Dalam tinjauan Dewan Harian PAS Batu ke sekolah ini dua bulan yang lalu, keadaan di sini amat tidak sesuai untuk persekitaran sebuah sekolah dengan pelbagai gangguan seperti hiruk-pikuk penghuni flat dan bunyi bising kenderaan yang lalu-lalang; kelas dicemari gangguan sekitar; tahap keselamatan sekolah dan pelajar amat dhaif; tiada berpagar; pelajar terdedah kepada kemalangan jalan raya kerana terpaksa melintasi jalan utama-masuk ke kawasan perumahan untuk pergi ke kantin setiap hari; tiada kemudahan aktiviti luar bilik darjah; tiada padang permainan; tiada tempat letak kereta guru; ruang koridor pejalan kaki antara kelas ke kelas dan pejabat turut diguna sama oleh penghuni flat; dan pelbagai lagi persekitaran yang tidak sesuai sebagai sebuah sekolah.

Mengulas lanjut, Timbalan Yang Dipertua PAS, Shuhaimi Abdul Rahman menegaskan adalah amat malang, setelah 52 tahun merdeka, dan negara menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia, tetapi masih terdapat sekolah yang tidak memenuhi kriteria dan piawaian sebagai sebuah sekolah, dilaksana dan dihidangkan kepada rakyatnya yang begitu dahagakan pengetahuan dan pendidikan rasmi.

"Kita keliru, bagaimana sebuah projek yang telah diluluskan untuk kepentingan rakyat boleh dibtalkan begitu senang. Sudah tentulah sebelum projek pembinaan sekolah ini diluluskan, pelbagai faktor telah dibincang, dikaji dan diteliti terlebih dahulu dan tidak timbul soal projek batal setelah ianya diluluskan," tanya Ketua Muslimat PAS, Hajjah Salbiah Abdul Wahab.

Sehubungan itu, menurut Ishak, PAS Kawasan Batu juga akan memanjangkan perkara ini kepengetahuan Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menuntut agar pembatalan projek sekolah ini dikaji semula dan operasi sekolah di bawah flat ditamatkan segera demi kepentingan rakyat dan orang Melayu/Islam di kawasan ini.

"Jangan jadikan orang Melayu/Islam yang dhaif, susah di Bandar Baru Sentul ini sebagai eksperimen. Cukuplah orang Melayu menjadi mangsa PPSMI. Jangan jadikan Melayu eksperimen yang bukan-bukan. Mana ada sekolah di negara kita, di bawah flat? Persekitaran yang meloyakan. Tapi di sini ada," tegas beliau lagi.

Sementara itu, Ishak turut memuji pendedahan Harakah sebanyak dua kali berkenaan isu ini, yang banyak menyedarkan orang ramai tentang kewujudan sekolah dhaif di tengah bandar, di bawah flat.

Bukti Laporan Audit, Pakatan Rakyat mampu perintah Malaysia - Mahfuz Omar

MUQADIMAH: PENDEDAHAN demi pendedahan berkenaan ketirisan kerajaan menguruskan perbelanjaan terus dilaporkan melalui Laporan Audit Negara saban tahun. Namun, teguran-teguran itu nampaknya tidak mengubah apa-apa, apabila ketirisan dan kebocoran terus berleluasa. Bersama Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, wartawan ANIS NAZRI meminta cadangan-cadangan yang boleh diterima pakai bagi memastikan soal ketirisan dan kebocoran ini tidak akan berulang pada tahun-tahun berikutnya.

Baru-baru ini, Laporan Audit Negara mendedahkan lagi ketirisan-ketirisan dalam perbelanjaan Kerajaan Pusat seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Biarpun berkali-kali teguran dan pendedahan dibuat, kerajaan tidak mengambil langkah untuk mengawal perbelanjaan mengelakkan ketirisan berulang. Pada pandangan Dato', apa perlunya laporan tersebut?

MAHFUZ OMAR: Sudah beberapa tahun laporan audit ini dijalankan. Saban tahun didedahkan soal ketirisan, kebocoran yang boleh dikaitkan dengan amalan rasuah dalam urusan perbelanjaan di peringkat agensi dan kementerian.
Sepatutnya apabila audit dilaporkan, perlu ada proses pemulihan dalam sektor awam dan kerajaan, tapi malangnya walaupun sudah lama pembentangan ini dijalankan, saya lihat kerajaan tidak berasa apa-apa. Mereka tidak rasa terbeban, tidak rasa tanggungjawab untuk mengambil iktibar dengan laporan audit, sekaligus saya lihat ianya banyak menghabiskan wang rakyat.
Wang rakyat sudah banyak hilang akibat ketirisan berlaku, sekali lagi ia akan hilang lagi akibat daripada kerajaan terpaksa peruntukkan wang untuk membuat audit. Tapi apabila kerajaan tidak ambil teguran dari audit, berlakulah dua kali tiris wang negara.

Bagi pendapat Dato' apa langkah sewajarnya yang boleh kerajaan lakukan jika mereka benar-benar ingin mengelakkan ketirisan ini terus berlaku?

Isunya sekarang, kerajaan tidak serius. Sepatutnya, kerajaan perlu tengok teguran semua pihak. Perlu ada pembaikan tapi sampai sekarang tiada apa-apa. Kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang kononnya tidak akan bertolak-ansur, akan mengambil tindakan, semuanya hanyalah sebagai 'lipstik'. Jika ada tindakan diambil pun, ianya di peringkat 'ikan bilis' sahaja.

Maknanya, diperingkat pemimpin atasan dibiarkan...

Kita lihat begini, kerajaan perlu bertindak agresif. Selain mengambil tindakan, kerajaan perlu menyediakan satu sistem pemantauan untuk melaksanakan sesuatu projek. Mesti ada satu badan pemantau untuk melihat bagaimana satu pelaksanaan itu dikeluarkan, bagaimana proses rundingan itu dibuat, sama ada dibuat secara terus atau terbuka. Mekasnisme ini yang perlu dijaga, jika mekanisme ini tidak jelas ia akan berulang lagi pada tahun-tahun akan datang.
Saya percaya tidak ada satu tindakan serius, khususnya pemantauan seperti yang saya katakan tadi. Kalau kerajaan buat itu (pemantauan), ia akan menutup ruang untuk kroni-kroni mereka mengambil kesempatan. Sebab itu pemimpin kerajaan tidak mengambil langkah tersebut. Kalau ambil juga, habislah kerana kaedah kroni yang digunapakai sekarang dianggap rezeki.

Di sinilah kita lihat kerajaan tidak serius kerana ada kepentingan...

Sekali tengok macam mereka tidak bimbang. Mungkin mereka fikir rakyat tidak akan persoalkan, dan dalam masa sama mereka rasa rakyat boleh dibeli, khususnya ketika pilihan raya. Itu merupakan satu penghinaan kepada rakyat jika mereka berfikiran begitu.
Tapi saya yakin, rakyat hari ini sudah berbeza dari 20 tahun, 10 tahun dahulu. Rakyat sekarang berpolitik dalam abad ke-21 yang terdedah dengan pelbagai maklumat, dan saya yakin rakyat akan buat penghakiman atas kegagalan kerajaan menguruskan dana negara ini.

Maknanya, ketirisan yang berlaku ini terus meningkat setiap tahun, atau ada sedikit penambahbaikan bagi pandangan Dato'?

Secara umumnya pendedahan itu menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hal ketirisan. Sudah teruk, dan ketirisan ini atau kita panggil rasuah ini sudah berakar umbi dari atas sampai ke peringkat rendah, sehinggakan melibatkan jabatan agensi kerajaan.
Sebab itu saya ingin mencadangkan supaya harus dipinda akta atau undang-undang berkaitan audit. Bagi saya, baguslah audit ini, cuma saya lihat ada kelemahan sedikit apabila audit ini bidangnya hanya menyiasat semata-mata.

Apa cadangan Dato' supaya keadaan ini (ketirisan dan kebocoran) tidak berulang lagi pada tahun-tahun berikutnya?

Saya mencadangkan supaya ada satu peruntukan khas bahawa setiap laporan yang dibuat audit ini terus membawa kepada pendakwaan. Audit ini bukan sahaja dari sudut akaun, tetapi juga satu penyiasatan sehingga sampai tahap mengenalpasti siapa yang terlibat.
Kalau tunggu pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat, ia akan makan masa. Sudahlah makan masa, selepas itu mereka kata tiada kes, tiada bukti. Maka, terlepaslah sedangkan duit sudah hilang.
Sebab itu harus ada timbalan pendakwaraya, contohnya diletakkan di Jabatan Audit bagi membolehkan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat. Letakkan seorang wakil seperti yang dilakukan di SPRM. Apabila jabatan audit melihat ada ketirisan, terus boleh dibawa ke pihak pendakwaan.

Selain mendedahkan banyaknya lebihan perbelanjaan, Jabatan Audit Negara turut memuji negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan juga Kelantan. Apakah signal yang boleh dilihat kerajaan pusat berhubung perkara ini?

Bagi saya kerajaan Barisan Nasional (BN) harus ada keinsafan. Kalau Pakatan Rakyat boleh membuat perbelanjaan berhemah, kenapa Kerajaan Pusat tidak boleh? Ini bertolak kepada sikap amanah yang ada di kalangan pemimpin.
Patutnya, kerajaan kena rasa malulah. Kalau di Pulau Pinang, pemimpinnya yang bukan Islam boleh dapat pujian, malulah Umno yang beragama Islam ini. Begitu juga dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain. Kerajaan perlu mengambil contoh dan belajar bagaimana proses belanjawan berhemah dilakukan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Umpamanya di Kedah. Kita amalkan 'open tender' untuk menambahkan pulangan pendapatan kepada kerajaan. Balak di Kedah, kalau dahulu satu ekar dalam RM 1000 lebih. Tapi sekarang sudah beri hasil pulangan sebanyak RM19 000 untuk satu ekar. Berapa banyak ganda yang dapat kita dapatkan hasil dari rundingan terbuka yang dijalankan.

Tidakkah ini patut disedari oleh BN?

Bukan sahaja kerajaan harus melihat pencapaian Pakatan Rakyat, tapi rakyat sendiri juga harus melihat secara serius bahawa negara kita perlukan satu corak, gaya pengurusan ekonomi yang dibuat Pakatan Rakyat yang bertitik-tolak dari sikap amanah. Kalau rakyat mahu suasana seperti itu, mahu tidak mahu mereka kena pilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang untuk mentadbir negara ini.

Adakah ini boleh dijadikan bukti bahawa Pakatan Rakyat memang mampu dan diberi peluang untuk mentadbir negara?

Pakatan Rakyat memang mampu. Cuma sebelum ini tidak pernah diuji, diberi peluang untuk membuktikan kebolehan. Selama ini orang sangka Umno sahaja boleh perintah. Tetapi apabila diberi peluang di beberapa negeri, termasuk di Kelantan yang masuk 19 tahun, Alhamdulillah ia dapat dibuktikan pengurusan yang lebih baik dan berhemah.

Siapa peduli laporan Ketua Audit Negara? Najib? Umno? BN? SPRM?

DI MALAYSIA, kadang-kadang isu hangat dan besar boleh ditutup dengan segera, apabila ada isu lain yang silih berganti. Kebetulan, tahap kepedulian rakyat Malaysia memang amat kecil dan mereka seronok bercakap isu baru dengan melupakan isu sebelumnya.

Satu ketika, apabila berlaku kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres berlaku secara berturut-turut, semua media melaporkannya, malahan turut menjadikannya sensasi. Namun, ia tidak lama dan terus dilupakan walaupun ketika itu, begitu banyak cadangan dikemukakan.

Jika tidak silap, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jaln (JPJ) pernah mewajibkan setiap bas ekspres mesti menyediakan dua pemandu bagi mengelakkan pemandu mengantuk – tetapi apakah ada penguatkuasaan selepas isu itu sejuk?

Begitu juga dengan kes kehilangan kanak-kanak, rogol, dera dan bunuh yang melibatkan kanak-kanak akan menjadi sesuatu yang cukup menggemparkan buat seketika dan kemudiannya sejuk seperti sejuknya nasi di dapur.

Kini, Laporan Ketua Audit Negara 2008 ‘meletup’ buat seketika kerana ada tuntutan dibuat untuk membayar RM300 untuk seliter petrol dan sebuah kerusi pejabat berharga puluhan ribu ringgit, tetapi percayalah, isu ini akan senyap begitu sahaja kerana ia sudah biasa begitu.

Sehari dua, ramai yang mahu bercakap soal Laporan Ketua Audit Negara itu tetapi, ke mana isu itu dibawa, tiada siapa yang memperdulikannya. Masih ingat isu ini pernah timbul beberapa ketika dahulu di Kementerian Belia dan Sukan?

Siapa yang kena dakwa dan siapa yang merengkok dalam penjara kerana membeli pemutar skru dengan harga yang bukan-bukan?

Sebenarnya membincangkan isu ini hanyalah membuang masa. Tidak ambil tahu langsung pun tidak baik juga tetapi jika kita terlalu mengambil tahu, ia akan ‘menyakitkan’ kerana tiada siapa yang akan mengambil tindakan.

Pegawai kerajaan di Malalaysia seolah-olah tidak malu apabila pendedahan itu dibuat kerana mereka mungkin mengikut pepatah Melayu yang mengatakan ‘bapa borek anak rintik’. Barangkali, boss mereka di kalangan Menteri juga mengaut dan memunggah kekayaan, mengapa tidak mereka?

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak memperkenalkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Persoalannya, apakah penyelewengan juga memerlukan KPI dan NKRA?

Jika Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu menulis surat kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan supaya segera menjalankan siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat di dalam mendera kanak-kanak mengapakah dalam kes penyelewengan ini, tiada Menteri yang mahu menulis surat kepada KPN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan segera dilakukan bagi mendakwa mereka yang bersalah ke muka pengadilan?

Lebih menyedihkan Menteri Sumber Manusia, Dato' Dr. S. Subramaniam baru sahaja mengarahkan Ketua Setiausaha kementeriannya, Dato' R. Segarajah supaya menyiasat bagaimana boleh berlaku pembelian ‘pole platform’ untuk sebuah pusat latihan di Miri pada harga RM30,510 sedangkan harga pasaran cuma RM990.

Tentunya pegawai yang terlibat dan berkuasa meluluskan pembelian ‘pole platform’ mempunyai sebab mengapa dia berani meluluskan dan membuat pembelian tersebut, namun mengapakah spesikasi tersebut tidak didedahkan supaya diketahui secara jelas ‘item’ yang berkaitan dibeli sama.

Bayangkan bagaimana kelulusan boleh dibuat ke atas pembelian ‘thumbdrive’ 1GB dengan harga RM480 sedangkan harga pasaran RM90. Hakikatnya, harga pasaran alat ini bukan harga yang disebutkan kerana kanak-kanak sekolah rendah pun tahu berapa harga sebenar ‘thumbdrive’ 1GB sekarang – tidak lebih dari RM20.

Namun, tiada siapa mahu mendengar dan membincangkan isu ini lagi kerana masing-masing sibuk mahu bercakap soal Bajet 2010 yang kononnya memakmurkan rakyat.

Media arus perdana lebih berminat untuk membesarkan cerita Muktamar Agung Khas (EGM) PAS yang dicadangkan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kemudiannya ditukarkan kepada Mesyuarat Khas PAS Pusat – kerana bagi media tersebut, lebih cepat dilupakan isu Laporan Ketua Audit Negara 2008, adalah lebih baik.

Sebenarnya, banyak lagi ‘penyelewengan’ termasuk projek-projek kerajaan yang sakit – dimulai dengan kegagalan kontraktor utama gagal menyiapkan projek Landasan Berkembar Elektrik Rawang-Ipoh.

Masih ingat dengan kes kelewatan siapnya Hospital Tuanku Bahiyah, Alor Star dahulu? Siapa yang kena denda dan siapa yang menanggung kerugian? Ingat kes tertangguhnya projek penjara di Kuching di Sarawak dan beberapa projek pengswastaan kem-kem tentera dahulu? Siapa yang didenda dan siapa yang menanggung kerugian?

Jika dilihat kenyataan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein terdapat 39,589 permohonan taraf warga negara tertunggak juga sepatutnya disiasat secara rapi dan mendalam. Apakah KDN tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk memproses permohonan atau ada pihak-pihak yang sengaja melewat-lewatkan proses permohonan ini kerana ‘pelincir’?

Permohonan tertunggak bermakna ia belum ditolak. Jika Hishammuddin mengatakan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi negara dan bukan suatu hak yang boleh dituntut, mengapakah permohonan itu tidak ditolak sahaja dan jangan dianggap sebagai tertunggak?

Masalah sebenar ialah permohonan tersebut tidak diproses hingga menyebabkan Hishammuddin pernah bergambar berlatarbelakangkan kotak-kotak fail tertunggak yang belum diproses di KDN tidak lama dahulu.

Janganlah isu tertunggak ini dianggap sebagai perkara biasa dan akhirnya ada permohanan yang datangnya dari mereka yang berusia 99 tahun, terpaksa diserahkan kad pengenalannya di tanah perkuburan kerana mereka mati dahulu sebelum permohonan mereka diluluskan.

Jika penyelewengan dan pembelian barang-barang dengan harga yang berbeza dari harga pasaran dianggap ‘tidak betul’ sebenarnya kes-kes tertunggak juga adalah ‘penyelewengan’ yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Disebabkan kes tertunggaklah maka ‘rasuah akan berlaku’ kerana ada yang tidak sabar untuk menanti dan menanti akan menggunakan ‘pelincir’ untuk mempercepatkan permohonan mereka.

Inilah KPI dan NKRA yang Najib harus tumpukan. Apakah ada KPI bagi kes-kes tertunggak dan tertunggak dalam masa yang cukup lama – sedangkan kerajaan sering melaung-laungkan semua surat-surat permohonan akan diproses dalam tempoh 14 hari, sebulan dan paling lewat tiga bulan.

Disebabkan kes tertunggak tidak dianggap kesalahan, maka janganlah terkejut jika pembinaan landasan berkembar Rawang-Ipoh juga tertangguh. Malangnya, apabila ia tertangguh, ia menyebabkan kos meningkat RM1.43 bilion.

Jika dilihat dari kes demi kes, Kementerian Pengangkutan nampaknya sarat dengan masalah, selain dari isu projek Landasan Berkembar Elektrik Rawang-Ipoh, kementerian ini juga sedang bergelut dengan isu PKFZ yang tidak mungkin mampu diselesaikan dalam masa yang singkat.

Ketika Pengarah Siasatan SPRM, Dato' Mohd Shukri Abdull mahu memulakan kajian semua Laporan Ketua Audit Negara 2008, Najib perlulah lebih serius dalam memantau semua laporan tersebut walaupun ia sebenarnya bukan semuanya disebabkan penyelewengan.

Jika tidak, keyakinan rakyat kepada pentadbiran kerajaan tentunya susut kerana selama ini rakyat sudah acap kali didedahkan dengan cerita-cerita seumpama ini.

Ditulis Oleh SAMAD IDRIS

Mengapa Melayu sukar lakukan perubahan politik? Memahami sifat budaya politik Melayu

ANTARA fakta penting yang terhasil dari pilihan raya umum ke- 12 ialah betapa pengundi Melayu secara umumnya masih bersama Umno/BN. Perubahan undi (swing) di kalangan pengundi Melayu hanya, secara purata, 5% berbanding pengundi Cina (30%) dan pengundi India (60%).

Pengundi Melayu yang berubah (iaitu menyokong Pakatan Rakyat) adalah pengundi Melayu yang berada di bandar dan pinggir bandar. Mereka terdedah dengan perkembangan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) yang membolehkan mereka akses kepada media alternatif bagi mendapat maklumat politik.

Pengundi Melayu di kampung-kampung tradisional yang akses mereka kepada ICT adalah rendah sekaligus tidak mendapat maklumat alternatif politik, maka fahamlah kita kenapa mereka masih mendokong ‘status-quo’ iaitu Umno/BN. Aspek perbandaran (urbanisasi) dan pendedahan kepada finomena ICT membuktikan bahawa budaya politik Melayu bukan sesuatu yang statik malah ia bersifat dinamik.

Pengundi Melayu juga merupakan ‘teras’ kepada politik Malaysia, dalam ertikata untuk menguasai politik Malaysia, sesuatu parti yang bertanding perlu terlebih dahulu menguasai undi orang Melayu. Beberapa pilihan raya kecil yang diadakan setakat ini memperlihatkan undi Melayu kepada calon Pakatan Rakyat menurun.

Dalam kes yang unik seperti pilihan raya kecil Bagan Pinang sokongan pengundi Melayu kepada PAS menurun sekitar 14% berbanding pilihan raya umum 2008. Ini amat difahami kerana pengundi Melayu adalah secara umumnya lebih ‘koservatif’ dan sekaligus ‘stabil’ berbanding undi bukan Melayu (khususnya Cina) yang lebih ‘rasional’ dan sekaligus bersifat ‘anjal’.

Selain pengundi Melayu dari kampung-kampung tradisional, keputusan pilihan raya umum ke-12 memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh Umno/BN di kalangan pengundi-pengundi Melayu yang berada di rancangan-rancangan FELDA yang telah menyumbang sekitar 40 kerusi parlimen kepada Umno/BN. Ini ada kaitan dengan hakikat betapa kuat dan ketatnya nilai organisasi (FELDA) mencengkam pergerakan peneroka.

Harga kelapa sawit yang tinggi turut menyumbang kepada kestabilan sokongan politik di kalangan penoroka kepada Umno/BN. Walaubagaimana pun, sokongan politik yang kuat di kalangan penghuni FELDA terhadap Umno/BN bukanlah sesuatu yang bersifat kekal kerana faktor ini boleh berubah dan hadhirnya faktor ‘generasi kedua’ dan ‘generasi ketiga’ di kalangan peneroka FELDA memperlihatkan hakikat bahawa peneroka FELDA pun mempunyai dinamika untuk berubah.

Berlatarbelakangkan realiti politik di atas, tulisan ini coba menganalisis secara umum sifat budaya politik Melayu dan kaitannya dengan finomena perubahan politik khususnya dalam konteks politik Malaysia.

Budaya politik sesebuah komuniti perlu difahamai kerana budaya politiklah yang mempengaruhi pembinaan pandangan dunia atau tasawwur politik ahli komuniti berkenaan. Tasawwur politik seterusnya mempengaruhi tindakan politik; dan dalam konteks perbincangan kita melalui peti undi.

Dengan memahami secara mendalam apa itu budaya politik Melayu, maka PAS dapat mengemukakan beberapa pendekatan dan program (strategi) yang selari dengan kahendak budaya politik Melayu; dan ini sekaligus dapat menarik ‘hati dan pemikiran’ pengundi Melayu bagi menyokong perjuangan PAS khususnya semasa pilihan raya.

Definisi budaya politik

Secara mudah, budaya politik dapat didefinisikan sebagai satu himpunan nilai, sentimen dan ilmu yang bersifat asas yang menyumbang kepada rupa bentuk (form) dan isi (substance) terhadap proses politik. Proses politik terpenting ialah pilihan raya itu sendiri.

Secara lebih lanjut, nilai, sentimen dan ilmu yang dimiliki oleh sesaorang individu membentuk ‘pandangan dunia’ (world-view) atau tassawur tentang politik. Pemahaman individu tentang politik akan membentuk sikap beliau terhadap politik. Akhirnya, sikap politik ini akan mempengaruhi tindakan politik individu berkenaan.

Dalam kerangka budaya politik ini (mengikut penulis paling autoritatif dalam bidang ini iaitu Almond dan Verba) terdapat tiga bentuk pengundi/warganegara. Pertama, pengundi yang bersifat parochial atau mempunyai pandangan yang sempit.

Kelompok pengundi ini mempunayi kesedaran yang rendah terhadap peranan kerajaan dalam kehidupan mereka. Kedua, pengundi yang boleh dikelompok sebagai subject. Kumpulan ini sedar mengenai peranan kerajaan tetapi tidak bersedia untuk berbeza pendapat dengan kerajaan. Ketiga, pengundi yang boleh dikategori sebagai participant.

Pengundi kategori ini bergerak cergas, malah kadang-kadang berbeza pandangan dengan pihak kerajaan, dalam mempengaruhi perjalanan kerajaan dan mereka turut terlibat dengan perubahan yang berlaku. Ini bermakna mereka bersedia untuk menerima perubahan politik dan bersedia untuk menanggung risiko perubahan tersebut. Sekiranya dalam sesebuah masyarakat sebahagian besar dari anggotanya adalah terdiri dari kelompok participant maka lebih senang untuk menjana perubahan politik.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lepas, sebahagian besar dari pengundi India dan Cina dapat dikategorikan sebagai participant dan pengundi Melayu tergolong dalam kategori sama ada subject atau parochial.

Budaya politik Melayu tradisional

Dari segi analisis akademik satu persoalan penting yang selalu dikemukakan ialah sejauhmanakah masih relevannya budaya politik Melayu tradisional dalam konteks politik Melayu moden. Ia sekaligus merujuk kepada factor feudalisme dan persoalan pergantungan politik.

Karya Melayu klasik seperti Sejarah Melayu (SM) memberi gambaran yang agak baik dan tepat mengenai sifat budaya politik Melayu tradisional. Peranan Sultan begitu menonjol yang mentadbir negeri-negeri tertentu.

Sultan mempunyai kuasa mutlak ke atas tanah jajahan takluknya dan ke atas rakyat yang mendiaminya. Dalam mentadbir negerinya Sultan biasanya dibantu oleh golongan pembesar yang menjawat jawatan seperti Bendahara, Temenggung dan sebagainya. Legitimasi dan kehebatan para Sultan kadang-kadang diperkukuhkan dengan elemen magis dan mitos.

Mereka dikatakan memiliki kuasa luar biasa yang terangkum dalam konsep daulat. Atas hakikat memiliki kuasa dan sifat-sifat istimewa inilah menyebabkan rakyat mematuhi Sultan secara total. Dari gambaran yang ringkas ini memperlihatkan kepada kita betapa sistem politik feudalisme telah mempersiapkan persekitaran yang berbaja bagi wujudnya finomena politik pergantungan atau kepatuhan secara yang agak menyeluruh.

Apakah benar bahawa di bawah sistem politik feudalisme penguasaan pihak aristokrat begitu menyeluruh sifatnya? Apakah pembesar dan rakyat biasa tidak ada ruang langsung untuk menyuarakan sikap dan pandangan yang berbeza?

Sejarah Melayu memperlihatkan kepada kita hakikat bahawa di samping adanya pembesar seperti Hang Tuah yang patuh kepada Sultan, kita juga diperkenalkan dengan pembesar seperti Hang Jebat yang menentang keputusan Sultan. Kajian oleh penulis seperti Gullick, seorang pengkaji yang autoritatif dalam bidang ini, menonjolkan beberapa fakta yang menarik.

Gullick dalam tulisannya yang berjudul Indigenous Political Systems of Western Malaya yang pertama kali diterbitkan dalam tahun 1958, mengkaji sistem politik feudal atau tradisional Melayu di negeri-negeri Melayu Pantai Barat Semenanjung Malaysia (Malaya) pada abad yang ke lapan belas iaitu sebelum pemerintahan Inggeris.

Kajian Gullick mendapati, disebabkan faktor komunikasi, ada segelintir pembesar yang tidak menyerahkan cukai yang dipungut kepada Sultan. Pembesar-pembesar ini juga mempunyai daerah pentadbiran yang bersifat autonomi.

Perkara yang sama berlaku di kalangan rakyat. Rakyat memprotes tindak-tanduk pembesar yang dilihat sebagai sesuatu yang tidak adil dengan cara berpindah dan membuka penempatan baru. Ini adalah satu perkara yang senang dilakukan kerana tanah yang belum diterokai dan dimiliki pada masa itu adalah luas.

Rumusan yang dapat dikemukakan berdasarkan kepada perbincangan ringkas di atas ialah sistem feudalisme yang sepatutnya melahirkan finomena pergantungan politik bukanlah sesuatu yang bersifat menyeluruh, total atau monolithic. Ada ruang-ruang di mana pembesar boleh membebaskan diri mereka dari cengkaman istana. Begitu juga dengan rakyat.

Salah satu kaedah bagi menghindar dari terjebak dengan politik pergantungan ialah dengan berdikari terutama yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi.

Bersedianya rakyat untuk berdikari dalam kehidupan mereka mempunyai implikasi politik jangka panjang yang penting. Kecenderungan untuk merantau adalah merupakan salah satu manifestasi dari kehidupan yang berdikari. Ini berlaku kepada masyarakat Kelantan yang suka merantau ke pelbagai ceruk rantau bagi mencari rezeki.

Masyarakat yang berdikari adalah juga merupakan masyarakat yang berani mengambil risiko dalam hidupnya. Dari segi personaliti, anggota masyarakat ini amat individualistik sifatnya; tetapi sekiranya asas budayanya tercabar mereka boleh berubah kepada yang bersifat kolektif.

Personaliti individualistik-kolektif sepertimana yang dimiliki oleh anggota masyarakat Kelantan, yang merantau dan berdikari, telah membentuk budaya politik mereka yang bersifat, memimjam kata-kata Professor Roff, self-determining.

Ini bererti mereka tidak ragu-ragu untuk merubah bentuk kehidupan mereka, termasuk kehidupan politik mereka. Mereka bersedia untuk menukarkan kerajaan yang mereka lihat ‘melakukan dosa’ terhadap masyarakat awam. Maka berlakulah pertukaran pemerintahan yang bersilih-ganti antara PAS dan UMNO di Kelantan.

Bertahannya pemerintahan PAS di Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Ab. Aziz kerana rakyat awam melihat kerajaan pimpinan tidak melakukan ‘dosa-dosa besar’ yang mewajarkan ianya diganti dengan Umno.

Budaya politik melayu moden

Apa yang menarik berhubung dengan peranan unsur feudalisme dalam politik Melayu moden ialah pandangan yang dikemukakan oleh Chandra Muzaffar. Chandra Muzaffar dalam tulisannya berjudul "The Protector?" berhujah bahawa selepas Malaya mencapai kemerdekaan, elemen feudalisme dalam masyarakat Melayu yang dulunya adalah milik golongan Raja/Sultan sekarang telah dipindahkan kepada Umno.

Pihak Raja/Sultan hanya mempunyai kuasa simbolis yang terangkum dalam idea ‘Raja Berperlembagaan’. Dalam hal ini, pihak golongan aristokrat merasakan hak mereka ‘dirampas’ oleh Umno. Seperti anggota masyarakat Malaysia lain, mereka juga tidak begitu gembira dengan finomena ‘dominasi Umno’.

Mereka mempunyai pengalaman yang pahit apabila bertarung dengan Dr. Mahathir, pada ketika ini menjawat jawatan Presiden Umno. Atas hakikat ini, secara umumnya, pihak istana juga turut bergembira dengan keputusan pilihan raya umum ke 12 yang baru lalu yang telah menamatkan ‘dominasi Umno’ dalam politik Malaysia.

Menangnya calon-calon Menteri Besar pilihan pihak istana dalam kes Perlis dan Terengganu membenarkan hujah ini.

Besar kemungkinan disebabkan masih wujudnya elemen feudalisme baru (neo-feudalism) dalam bentuk parti (Umno) yang menyebabkan masyarakat Melayu tidak mendokong satu ideologi politik yang radikal. Sejarah pemerintahan kolonial Inggeris mempunyai saham yang tersendiri kenapa budaya politik Melayu tidak yang bersifat radikal berbanding budaya politik masyarakat Melayu di Indonesia.

Pemerintahan kolonial Belanda di Indonesia menggunakan pendekatan berkonfrantasi dengan masyarakat tempatan; sebaliknya pihak Inggeris di Malaya lebih mirip untuk menggunakan pendekatan diplomasi.

Hakikat budaya politik Melayu moden tidak berkecenderungan untuk bersifat radikal dibuktikan oleh kajian M.G.Swift ke atas masyarakat Melayu tani di Jelebu, Negeri Sembilan,dalam tahun 1960-an. Hasil kajian ini memperlihatkan bahawa orang Melayu tidak akan melakukan perubahan yang radikal (radical change).

Dalam kes amuk ia lebih bersifat emosional dan tidak rasional. Berdepan dengan finomena eksploitasi dalam hubungan sosial harian, apa yang berlaku pada masyarakat Melayu Jelebu ialah ‘kesedaran sinis’ (cynical awareness) bukan ‘kesedaran radikal’ (radical awareness).

Perkara yang sama juga dibuktikan oleh kajian Scott dalam tahun 1980-an di sebuah kampung di Kedah. Hasil kajian diterbitkan dibawah tajuk Weapons of the Weak. Dalam kes masyarakat kampong di Kedah yang dikaji oleh Scott, mereka menggunakan ‘kesedaran sinis’ sebagai senjata untuk mengkritik golongan yang mengeksploitasi mereka.

Misalnya, mereka menceritakan tentang keburukan pimpinan yang menindas mereka, yang terdiri dari orang yang kaya di kampung tersebut, dengan menggunakan bahasa yang ‘sinis’. Mereka lakukan ini biasanya di tempat-tempat awam seperti kedai-kedai kopi. Dari satu segi mereka telah berjaya menyedarkan masyarakat kampung tentang keburukan kelompok yang mengeksploitasi mereka.

Kesedaran ini bukan dicapai dengan serangan lisan secara keras dan langsung tetapi dengan secara lembut dan tidak langsung (secara ‘sinis’). Dalam hal ini mereka telah bertindak sebagai opinion leaders dalam masyarakat mereka.

Dari segi strategi politik, pendekatan ini adalah satu pendekatan yang berkesan terutamanya bagi menyakin dan menarik perhatian pengundi atas pagar. Umno telah menggunakan strategi ini secara berkesan di pilihan raya kecil Manek Urai.

Mereka menyediakan pimpinan pendapat (opinion leaders) dan menempatkan mereka di lokasi-lokasi strategik seperti kedai kopi dan gerai-gerai nasi lemak. Mereka secara sinis bercerita mengenai kelemahan PAS kepada pengunjung kedai kopi dan gerai-gerai nasi lemak.

Walau apa pun tafsiran kita terhadap tindak-tanduk petugas Umno, ia memperlihatkan bahawa mereka faham apa itu budaya politik Melayu dan mereka mengemukakan pendekatan yang sesuai dalam usaha mereka untuk menarik sokongan.

Masyarakat Melayu yang masih terikat dengan budaya feudalisme baru, turut menjadikan budi sebagai teras kepada budayanya. Dikatakan bahawa budi sebagai teras budaya tidak ada pada bangsa Cina dan India.

Secara mudah berbudi dapat ditafsirkan sebagai sesuatu pertolongan dari sesaorang kepada sesaorang yang lain tanpa dipinta. Yang mendasari perbuatan ini ialah keikhlasan tindakan atau dilihat sebagai sesuatu yang ikhlas. Umno dalam pilihan raya kecil Manek Urai menggunakan pendekatan ini secara berkesan.

Di antara modus operandi yang digunakan ialah di mana seorang penyokong Umno yang tidak dikenali datang ke Manek Urai (besar kemungkinan beliau orang Kelantan yang bermastautin di Lembah Klang), dengan kereta yang tersergam indah, singgah tepi jalan untuk membeli durian. Kebetulan musim pilihan raya kecil Manek Urai adalah musim durian gugur.

Pemandu kereta yang penuh bergaya terus ke gerai durian. Mak Cik, tuan punyai gerai, adalah juga seorang pengundi. Selepas tawar-menawar, tuan kereta memilih satu biji durian dengan harga katakan RM 5, terus dibuka untuk dimakan.

Selepas menikmati durian tersebut, beliau mengeluarkan wang bernilai RM50 untuk membayar harga durian. Disebabkan tuan gerai baru saja membuka gerainya, maka beliau tidak mempunyai duit yang cukup untuk memulangkan lebihan wang tersebut (RM 45).

Dalam keadaan ‘tertekan’ tersebut maka berkatalah tuan punya kereta: "Tak apalah kalau Mak Cik tak ada duit. Mak Cik boleh simpan bakinya (RM 45). Cuma satu saja ambo (saya) nak benar-benar mintak tolong dari Mak Cik iaitu tolonglah sokong Umno/BN".

Beginilah budi dieksploitasi secara halus bagi tujuan politik. Ini berlaku dalam komuniti Melayu luar bandar.

Kesedaran ke arah perubahan politik sesuatu kelompok masyarakat biasanya dikaitkan dengan faktor perbandaran atau urbanisasi. Keputusan pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini membenarkan hakikat ini. Masyarakat Melayu di bandar terutamanya mereka yang terdiri dari kelas menengah telah bertindak untuk mengundi pembangkang.

Contoh yang paling jelas dalam hal ini ialah menangnya calon pembangkang (PKR) bagi kawasan parlimen Kuantan. Faktor migrasi luarbandar ke bandar dan faktor perbandaran itu sendiri adalah faktor-faktor penting yang merubah sifat budaya politik Melayu.

Harus ada satu mekanisme khas bagi mengukur tahap perbandaran dalam satu-satu lokaliti. Perlu ada satu pendekatan atau program khas bagi menangani finomena ini. Sebagai contoh, perlu ada program khas bagi mendekati pekerja-pekerja kilang, pekerja kedai makan dsbnya dalam usaha menarik sokongan mereka.

Telah disentuh secara ringkas sebelum ini bahawa orang Melayu secara umumnya tidak bersedia untuk mengambil risiko, terutamanya dalam menerima sesuatu perubahan yang baru diperkenalkan kepada mereka. Menolak perubahan (resistance to change), walau bagaimana pun, bukan budaya yang bersifat mutlak bagi masyarakat Melayu.

Kajian dalam bidang sosiologi pembangunan memperlihatkan kepada kita sesebuah masyarakat akan berubah sekiranya mereka sendiri melihat perubahan itu dan perubahan itu bersifat positif. Ini dikenali sebagai kesan dari persembahan secara praktikal pembaharuan yang ingin diperkenalkan (demonstration effects) Sebagai contoh, dalam kes tanam padi dua kali setahun.

Buat permulaannya, besar kemungkinan para petani akan sangsi terhadap pembaharuan tersebut; tetapi apabila dibuktikan ianya sesuatu yang praktikal dan mengungtungkan maka mereka menerima perubahan tersebut dengan cara yang baik. Dalam konteks Islam, ini merupakan satu bentuk dakwah-bil-hal yang lebih berkesan berbanding dakwah-bil-lisan.

Bertahannya PAS di Kelantan begitu lama kerana pentadbiran negeri melalui model Membangun Bersama Islam (MBI) telah mengadunkan kedua-dua pendekatan berikut secara yang sepadu. Kuliah-kuliah ilmu oleh Tuan Guru Menteri Besar pada pagi Jumaat boleh di lihat sebagai dakwah-bil-lisan sementara program-program yang dijalankan berdasarkan petunjuk Illahi seperti program kifaalah boleh difahami sebagai dakwah-bil-hal.

Kesimpulan

Makalah ringkas ini telah menganalisis sifat budaya politik Melayu yang tidak bersifat radikal dan kurang cenderung untuk mengambil risiko. Perlu difikir pendekatan dan program yang sesuai bagi menangani hakikat ini disamping memahami hakikat bahawa sebagai sebuah komuniti yang senantiasa terdedah kepada perubahan ( yang tidak mungkin dapat dibendung sepenuhnya), masyarakat Melayu akan turut berubah.

Dalam konteks ini salah satu angkubah yang mendorong perubahan ini ialah fenomena ‘perbandaran’ (urbanization). Dari sudut ini, budaya politik Melayu yang bersifat ‘konservatif’ dan sekaligus ‘stabil’ akan turut bersifat ‘dinamis’ dan bersedia untuk menerima perubahan.

Kerelevanan nilai-nilai Islam yang melangkaui sempadan bandar-luar bandar mampu digarap sebagai instrumen politik bagi memenangi hati dan minda pengundi Melayu, tak kira di mana mereka berada.

Ditulis Oleh WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIFF
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat