KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 12, 2009

Khir Toyo mahu Sidang Dun tergempar atau adakan pilihan raya negeri segera di Perak?



MANTAN Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo mengulas begini pada posting terbaru blognya:

1. Keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak harus dihormati. Sama seperti kita juga berharap mereka yang bersorak-sorai atas keputusan mahkamah ini menerima juga keputusan lain walaupun tidak selari dengan kepentingan mereka.

2. Apakah erti keputusan ini? Keputusan Mahkamah ini menunjukkan hanya ada tiga cara untuk seseorang Menteri Besar hilang jawatan iaitu sama ada:

a. Beliau meletak jawatan
b. Dewan Undangan Negeri Dibubarkan
c. Undi Tidak percaya dalam Sidang DUN.

[Sungguhpun begitu ini bukanlah tafsiran muktamad kerana keputusan ini masih terbuka kepada usul penangguhan dan rayuan. Hakim semalam hanya menolak permohonan penangguhan secara lisan sebaliknya mengarahkan permohonan bertulis untuk penangguhan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.]

3. Oleh kerana Nizar tidak mahu meletak jawatan dan Tuanku Sultan tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri, maka kaedah yang terbaik ialah menerusi Usul Undi Tidak Percaya atau Usul Undi Kepercayaan terhadap Menteri Besar.

4. Saya pasti ini juga tidak akan dibuat oleh Pakatan Rakyat kerana mereka hampir pasti akan kalah. Sebab itu Nizar berjumpa Tuanku dengan segera setelah mendapat khabar beliau hilang sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri untuk membubarkan DUN.

5. Secara peribadi saya berpendapat Tuanku Sultan Perak bertindak betul dengan menukar Menteri Besar Perak kepada seseorang yang baginda percaya mendapat sokongan majoriti. Ini kerana adalah tugas Tuanku Sultan memperkenankan pelantikan Menteri Besar yang beliau percaya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

6. Ramai penyokong Pakatan Rakyat yang menyoal semangat demokrasi yang kononnya dimusnahkan oleh Barisan Nasional di Perak.

7. Hakikatnya semangat demokrasi telah musnah sebaik sahaja Nizar yang hilang majoriti sokongan ADUN Perak enggan meletak jawatan. Ini kerana Menteri Besar yang hilang sokongan majoriti ADUN hanya mempunyai dua pilihan iaitu memohon pembubaran Dewan atau meletak jawatan.

8. Secara semangat demokrasinya dan juga semangat undang-undang tubuh negeri, jika permohonan membubarkan DUN tidak diperkenan oleh Tuanku, maka Menteri Besar dan para EXCOnya sewajarnya melepaskan jawatan mereka. Ini tidak berlaku walaupun Tuanku mempunyai justifikasi yang sangat jelas mengapa baginda enggan membubarkan DUN.

9. Tempoh pilihan raya yang berlaku tidak sampai separuh penggal menyebabkan Tuanku Sultan enggan membubarkan DUN. Apatah lagi jika diadakan pilihan raya lagi pun, apakah politik akan stabil atau terus berkocak jika keadaan masih sama dengan mana-mana parti mendapat lebihan dua atau tiga kerusi.

10. Dengan kata lain, Baginda mungkin melihat satu lagi pilihan raya baru belum tentu menjanjikan kestabilan politik di Perak jika keputusannya lebih kurang sahaja.

11. Janganlah kita bicarakan soal semangat demokrasi dalam krisis di Perak untuk menyalahkan Tuanku Sultan Perak atau Barisan Nasional. Semangat demokrasi telah dimusnahkan lebih awal dengan keengganan Menteri Besar yang telah menjadi pihak minoriti di DUN Perak untuk melepaskan jawatannya.

12. Kita boleh berbicara soal memberi peluang rakyat menentukannya semula namun hakikat yang pasti ialah kedudukan Menteri Besar ditentukan oleh sokongan majoriti ADUN, bukannya melalui pilihan raya umum atau pengutan suara. Ini merupakan sistem asas dalam pilihan raya perwakilan di Malaysia dan juga England serta beberapa buah negara bekas jajahan Inggeris yang lain.

13. Justeru adalah wajar jika Dewan Undangan Negeri Perak bersidang dan mengadakan undi menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti. Namun ini tidak mungkin berlaku dalam keadaan semangat demokrasi manusia-manusia budiman (gentleman).

14. Ketika Tuanku melantik Datuk Seri Dr. Zambry sebagai Menteri Besar kerana beliau mendapat sokongan majoriti ADUN Perak, Baginda tentu tidak menyangka tafsiran undang-undangnya difahami berbeza oleh hakim lain.

15. Tuanku bertindak secara "in good faith" mengikut Undang-undang Tubuh Perak seperti mana beliau melantik Nizar pada 2008 sungguhpun BN merupakan parti yang menang kerusi terbanyak. Baginda tetap memberi kedudukan Menteri Besar kepada orang yang dipercayainya mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

16. Namun apabila Speaker DUN Perak yang lama dengan pantas menghadapkan Dr. Zambry serta enam EXCO BN sebagai menghina DUN Perak kerana menerima perlantikan Tuanku Sultan Perak, apakah motif tindakannya itu? Menurut laporan "Kesemua tujuh Adun BN itu ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi."

17. Bolehkah mereka yang hadir apa sahaja acara Tuanku Sultan Perak yang kedudukan baginda lebih atas daripada DUN Perak dalam Undang-undang Tubuh Negeri dianggap menghina DUN? Logik akal tentulah tidak ada, yang ada hanyalah logik nafsu.

18. Kerana kerakusan kuasa dan tiadanya semangat demokrasi, maka pendakwaan ini boleh dibuat dan keputusan juga dibuat oleh pihak yang sama. Tujuannya hanyalah untuk menghalang suara majoriti menguasai DUN Perak. Sekali lagi kita tertanya-tanya siapakah yang tiada semangat demokrasi dan menghormati Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

19. Demokrasi perlukan pematuhan kepada undang-undang dan juga sikap yang "gentleman" bukannya bertindak yang bukan-bukan untuk membolehkan pihak minoriti terus berkuasa.

20. Jika benar mahu bicara soal demokrasi dalam isu ini, panggil sahaja semua ADUN ke DUN Perak. Jangan gantung atau halang walau seorang pun daripada menghadirinya. Namun ini pasti tidak berlaku kerana ada pihak tidak bersedia hilang kuasa.

21. Untuk menyelesaikan masalah ini hanya ada dua pilihan lagi iaitu sama ada mengadakan Sidang Tergempar DUN atau mengadakan pilihan raya umum negeri.

22. Mengadakan sidang tergempar DUN boleh menimbulkan masalah undang-undang yang baru. BN mendakwa penyingkiran Speaker Perak, YB Sivakumar dibuat berasaskan peraturan sedia ada iaitu dengan memberi notis 14 hari sebelum sidang DUN adalah sah. Malah tiada peruntukan yang membenarkan speaker menolak usul yang dibuat dengan notis 14 hari sebelum persidangan. Peruntukan kuasa speaker yang jelas dalam menolak usul ialah usul tergempar. Iaitu usul tergempar boleh ditolak atau diterima oleh Speaker berdasarkan meritnya kepada kepentingan awam.

23. Sivakumar sebagai pihak yang terbabit dalam usul tersebut juga tentu tidak layak membuat sebarang keputusan menolak atau menerimanya. Justeru tindakan Timbalan Speaker mengambil alih sesi usul tersebut adalah sah.

24. Manakala Pakatan Rakyat pula mendakwa penyingkiran tersebut tidak sah kerana beliau telah menolak usul undi tidak percaya terhadapnya sungguhpun jelas usul tersebut mematuhi semua peraturan. Dakwa mereka Speaker mempunyai kuasa mutlak untuk menerima atau menolak apa sahaja usul yang dibawa ke Dewan.

25. Pilihan ini tentulah akan membawa kepada satu lagi perdebatan undang-undang mengenai tafsiran Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh negeri. Ia mungkin baik pada masa hadapan kerana ia akan memberi satu lagi panduan dan duluan dalam mentafsir fasal-fasal Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri yang kabur.

26. Pilihan kedua ialah mengadakan satu pilihan raya umum negeri yang baru. Sungguhpun ia lebih cepat dan mungkin memuaskan hati pihak yang kehilangan kuasa namun belum tentu menyelesaikan masalah. Malah saya khuatir akan berlaku lebih banyak ketegangan dan ketidakstabilan politik sepanjang kempen dan juga apabila keputusan diumumkan.

27. Buat masa ini saya lebih cenderung menyokong diadakan sidang DUN tergempar kerana ia lebih membabitkan pertikaian undang-undang berbanding mengadakan pilihan raya yang mungkin mencetuskan satu krisis keselamatan di Perak.

28. Saya simpati dengan DYMM Tuanku Sultan Perak yang berada dalam keadaan ditelan mangkat bonda, diluah mangkat ayahanda. Baginda hanya cuba menjaga keamanan negerinya. Janganlah ketika Baginda melantik kita maka segalanya baik tetapi bila baginda melantik orang lain maka kita sanggup mencercanya. Baginda hanya menggunakan kuasanya mengikut tafsiran undang-undang sedia ada. Sama ada tepat atau tidak tafsirannya kita mempunyai Mahkamah yang menentukan.

3 ulasan:

faida berkata...

Serius menyampah dengan Khir Toyo ni. Baca point 1-4 pun dah tau dia ni cakap macam orang takde ilmu, takde knowledge *Yawn*

Tanpa Nama berkata...

tau xpe...tak ingat lak dia bapa tajol rosli dulu pun bkn nk letak jawatan mb bl sultan suruh letak jawatan....

Tanpa Nama berkata...

Toyo, kepakaran anda tentang rotten teeth atau gigi busuk,so stick to that subject. Tak perlu nak sebok sebok tentang undang undang. Ramai lagi orang lain yang lebih arif.
Kalau anda tahu tentang undang undang kenapa lakukan berbagai perkara yang menyalahi undang undang semasa jadi MB dulu?