KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Julai 02, 2010

Buat apa serba tak kena: Umno diserang "barah buah dada" menjelang Pilihan Raya Umum -13


Sebelum ini, heboh mereka mengatakan ada 100 ulama akan masuk Umno. Yang lebih menarik antara nama yang disebut-sebut akan turut menyertai parti itu ialah bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin – yang kemudiannya, ternyata mereka yang menghebohkan itu, berbohong.

Dari kenyataan yang boleh difahami melalui blognya, Dr. Mohd Asri masih mahu kekal tidak berparti tetapi ada 40, kurang 60 jumlah yang mereka hebohkan itu telah menghantar borAng untuk memohon menyertai Umno. Entah apa istimewa pemohon-pemohon ini, borang permohonan mereka diserah kepada Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak – mungkin bertujuan publisiti yang sedikit sebanyak menyebabkan Ketua Umno Bahagian Cheras, Dato' Wira Syed Ali AlHabshee kurang bersetuju dengan kehebohan tersebut.

Sebenarnya, mereka yang suka buat kerja heboh ini mahu menarik perhatian siapa, ketika membariskan 40 orang muda yang mereka gelar ulama muda menghantar permohonan masuk Umno?  Adakah mereka ada menjanjikan apa-apa peluang kepada 40 orang ulama muda ini atau, mereka mahu memberi serangan psikologi kepada musuh mereka?

Mereka ini sudah buntu sebenarnya. Dalam kotak fikiran mereka, apa lagi yang perlu mereka lakukan untuk menunjukkan kepada Presiden Umno, yang mereka membuat kerja menarik orang luar meminati Umno dan seterusnya menyertai parti yang sedang sakit ini.

Umno sakit. Mereka yang menghebohkan kononnya ada 100 ulama mahu menyertai Umno juga adalah orang yang sakit. Sakit mereka, mahu mereka ubati dengan menonjolkan kerja-kerja baik di depan Presiden parti dengan harapan mendapat puji-pujian.

Hakikatnya, Umno semakin sakit kerana kehadiran 40 ulama muda ini tidak dialu-alukan. Malahan, belum ada mana-mana ketua bahagian yang mempelawa supaya kesemua 40 ulama ini supaya menjadi ahli Umno di bahagian mereka, kecuali ada desas-desus mengatakan kesemua 40 ulama muda ini didaftarkan di Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang.

Bukan sedikit yang tertawa dengan lakonan yang tidak bermaya ini kerana keahlian Umno di Cawangan Dataran Merdeka yang tidak berpenghuni menyebabkan ada yang tertanya-tanya, adakah ini  'cawangan bunian' yang ditubuhkan kerana ada ahlianya mahu bertanding di peringkat bahagian.

Umno mendakwa mereka sudah mendaftar sekitar 3.2 juta ahli setelah pembersihan dilakukan. Namun, Umno dengan keahlian yang sebesar itu masih kurang yakin bahawa mereka sudah cukup kuat bagi menghadapi serangan musuh.

Maka, berhempas pulaslah mereka mencari 100 ulama untuk menyertai parti itu. Malangnya, dari 100 yang diharapkan hanya 40 yang sudi. 
Itupun, khabarnya atas kerja kuat bekas Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim sedang bersilat mahu membersihkan namanya kerana dikaitkan dengan Jamaah Islamiyah (JI) dan fahaman Wahabi.

Cerita 'Juara Rakyat' sudah semakin dilupakan kerana Umno hari ini terpaksa berdepan dengan cerita kerugian Sime Darby dan perlantikan CEO baru. 

Cerita kemerosotan nilai asset Felda dari lebih RM 4 billion kepada berbaki sekitar RM1.5 billion juga memeningkan walaupun Ketua Penerangannya, Dato' Ahmad Maslan mahu menyaman Suara Keadilan yang didakwa membuat laporan tidak tepat. Belum habis cerita seorang remaja terbunuh kerana ditembak polis di Shah Alam, hari ini timbul pula cerita seorang penuntut di RMC meninggal dunia kerana ada unsur buli.

Pertelingkahan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan Presiden Perkasa, Dato' Ibrahim Ali juga dilihat 'dendam tak sudah' kerana KJ memang tidak gemarkan Ibrahim Ali dan Perkasa yang mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

'Permusuhan' antara KJ dengan Dr. Mahathir nampaknya bersambung dengan kisah KJ dengan Ibrahim Ali. Ini semua akan membebankan Umno kerana kehadiran KJ tidak menyeronokan Najib sebagai Perdana Menteri.

Itulah sebabnya, Najib masih enggan menamakan KJ sebagai salah seorang anggota kabinetnya walaupun KJ menang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Ada yang mendakwa, Najib bimbang Dr. Mahathir akan 'bermasalah' dengannya jika beliau mengambil KJ menjadi anggota kabinetnya. Najib tentunya tidak mahu menjadi Perdana Menteri seperti pengalaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang teruk diserang Dr. Mahathir hingga Dr. Mahathir bertindak keluar Umno kerana mendesak Abdullah berhenti.

Ada sumber memberitahu, ada orang tertentu dilantik oleh Najib duduk di Ibu Pejabat Umno kerana mahu menyekat kemaraan KJ. Sejauh mana kebenaran cerita itu, tiada siapa yang dapat mengesahkannya tetapi cakap-cakap di bawah, semuanya jelas mengenai cerita ini. Umno memang ketandusan tokoh agama sejak sekian lama apabila ramai ulama memilih PAS sebagai wadah perjuangan mereka.

Itulah sebabnya sejak sekian lama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama diambil dari luar Umno. Ini termasuklah Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Dato' Dr. Abdullah Mohd Zin, Dato' Seri Zainal Abidin Abdul Hamid dan kini Dato' Jamil Khir Baharom. Barangkali, Umno mengharapkan dari 40 ulama muda yang mereka banggakan ini, adalah seorang dari mereka yang layak menggantikan Jamil Khir jika Jamil tidak ada tempat atau kalah dalam pilihan raya kelak.

Biasanya, Umno hanya menggunakan khidmat tokoh-tokoh agama ini seketika sahaja. Dr. Abdul Hamid pernah digugurkan dan tempatnya digantikan dengan Senator Abdul Hamid. Malangnya, apabila Abdul Hamid menang pilihan raya di Parlimen Parit Buntar, dia tidak dinamakan semula sebagai menteri. Begitu juga dengan Dr. Abdullah Md Zin. Bila dia menang kerusi Parlimen Besut, dia digugurkan dari jawatannya sebagai menteri.

Apa sebabnya, tiada siapa yang boleh memberi ulasan kerana Umno memang sering membuat kerja-kerja 'sakit' dan menyakitkan. Ketika diperlukan mereka dilantik sebagai Senator tetapi apabila mereka menang pilihan raya, orang agama ini disingkirkan tanpa apa-apa sebab. Apakah semua ulama muda tidak nampak akan permainan ini. Jika nampak, baguslah. Tunggulah waktu mereka pula menerima nasib serupa. Jadi, sendiri mahu ingat! - Safar Jumaat

1 ulasan:

armouris berkata...

info tentang barah buah dada di SIHAT SELALU - Pengesanan Awal Barah Buah Dada