KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 13, 2010

Konsep tahaluf siasi memberi impak besar kepada PAS - Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama para editor dan wartawan sewaktu Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS yang dianjurkann oleh Harakah, baru-baru ini.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS menolak pelawaan Umno untuk bersatu dengan parti itu, bukan kerana bersikap ego tetapi tegas berpegang teguh dengan prinsip Islam. PAS bukan sebuah parti yang tertutup, tetapi amat setia dengan rakan-rakan dari Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dan DAP, serta beradab dengan lawan dalam Barisan Nasional (BN). 

Islam tegasnya, mengajar umatnya sifat tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan tidak ada tolong menolong dalam perkara mungkar.

"Sekiranya perkara baik dan takwa seperti menangani isu Palestin, Bosnia, Afganistan dan lain-lain hal kemanusiaan, ini PAS tak ada masalah. PAS boleh terima. Bukan sahaja boleh baca sajak bersama, bukan sahaja PAS ada sumbangan, Umno juga ada. Ini kita akui," jelas beliau dalam Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS, Isnin lalu di Pejabat Harakah.

Katanya, PAS tidak boleh bertelingkah dalam perkara bersangkutan kebajikan seperti memerangi jenayah dan membasmi gejala sosial, kerana kerjasama seperti itu amat dituntut Islam. Tetapi tegas Tuan Guru Abdul Hadi, PAS tidak akan berkawan dengan Umno, kerana mahu meringankan beban parti itu yang kini sarat dengan pelbagai penyakit seperti rasuah, dan rakyat mulai membenci setiap tindakan mereka.  

"Itu kita minta maaf. Islam ajar ada benda yang wajib bersatu, ada yang haram bersatu. Wajib tolong mencegah masalah, haram kalau menyokong ke arah kemungkaran," ujar beliau. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tetap yakin, PAS mampu menggantikan Umno sebagai parti pembela nasib umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Setelah lebih 50 tahun Umno-BN berkuasa, tegasnya, konsep ketuanan Melayu yang menjadi tunjang kerajaan gagal sama sekali menegakkan Islam yang syumul kerana Umno berjuang atas nama bangsa dan menggunakan landasan sekularisme sebagai alat.

"Bagi mereka hanya mementingkan Melayu sahaja berkuasa, bukannya Islam yang berkuasa. Inilah punca kelemahan yang memalukan Islam itu sendiri hingga melahirkan pemimpin yang rasuah, pemimpin yang bukan membina bangsa tapi merobek bangsanya sendiri," tegas beliau.

Menyentuh tuduhan liar kononnya PAS sebelum ini pernah menuduh Umno 'kafir' kerana bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu dalam BN, Tuan Guru Abdul Hadi menjelaskan apa yang berlaku tidak sama dengan kerjasama PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Tegasnya, dalam hijrah Nabi Muhamad SAW, baginda mengambil khidmat seorang bukan Islam untuk menunjuk arah jalan pintas menuju ke Madinah. Ini menunjukkan hijrah juga melibatkan orang bukan Islam yang benci kepada kezaliman. 

Tambahnya, apabila negara Islam Madinah didirikan, Nabi SAW telah mendahulukan perpaduan orang Islam, kerana dalam Islam ada dua perpaduan iaitu perpaduan Islam dan perpaduan kemanusiaan.  Dalam fasa yang pertama, jelasnya, perpaduan Islam dibentuk di kalangan Muhajirin dan Ansar yang berhijrah ke Madinah dan penduduk Madinah sendiri disatukan dalam satu kumpulan yang beriman dan berakidah Islam. 

Sementara fasa yang kedua, mengajak kumpulan-kumpulan bukan Islam yang mempunyai titik persamaan dengan kemanusiaan diantaranya mereka mahu keadilan dan menentang kezaliman, benci kepada kejahatan dan ruang ini dimanfaatkan Nabi SAW dengan mengajak kumpulan tersebut bekerjasama dengan Islam.   

Menjelaskan konsep tahaluf siasi yang membezakan PAS dengan Umno dalam soal bekerjasama, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kerjasama tahaluf inilah yang diambil kira PAS setelah dikaji dari pandangan syarak dan keperluan politik semasa. 

"Kita menyedari PAS tidak boleh memerintah negara Malaysia dengan satu kaum kerana masyarakat majmuk. Kita perlu mengambil kira masyarakat pelbagai kaum yang ada dalam negara ini. Oleh sebab itu kedudukan masyarakat majmuk dalam negara ini perlu diambil kira dan Islam ada penyelesaiannya sendiri. Maka PAS mengambil pendekatan tahaluf siasi. 

"Tahaluf siasi ini, PAS mengambil titik persamaan yang halal itu halal dan yang haram itu haram. Kita tidak berganjak. Umno tidak peduli halal dan haram dalam bekerjasama. Umno tak ada batasan sebab dia tidak ada feqah politik dalam muamalah dengan orang bukan Islam," tegas beliau.

Katanya, impak dari tahaluf ini, PAS berjaya melakukan anjakan paradigma dalam masyarakat bukan Islam di Malaysia, dengan semakin ramai orang bukan Islam bersama PAS sehingga terbentuknya Dewan Himpunan Penyokong PAS. 

Tuan Guru Abdul Hadi memberitahu, melalui feqah politik inilah (tahaluf siasi) PAS mengambil pendekatan menubuhkan Dewan Himpunan tersebut dan menerima keahlian orang bukan Islam, yang tidak pernah terjadi kepada mana-mana parti politik Islam seluruh dunia.

Katanya, melalui persefahaman dengan parti-parti lain, PAS tidak pernah memaksa mereka meninggal ideologinya, dan mereka pula tidak boleh memaksa untuk PAS bertolak ansur dengan idealogi yang menjadi pegangan parti.  

Beliau yakin, konsep tahaluf siasi akan mengubah corak politik di Malaysia, dan PAS akan terus memperkasakan Pakatan Rakyat dan menolak sebarang bentuk penyatuan dengan Umno, seperti yang digembar-gemburkan oleh media kuasaan Umno-BN.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Its like you read mу mind! You apρear
to know so much аbout this, like you ωrote the boоk in
it or something. I think that you cаn do with a fеw pics to
dгive thе meѕsage home a bіt, but inѕteаd оf thаt, this
is magnifіcent blog. A fantastіc read.

I'll certainly be back.

Feel free to surf to my website ... payday loans