KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 04, 2009

Mansuhkan saja "Kepimpinan Ulama" saran Ustaz Zolkharnain Abidin sinis




BERIKUT dua posting dari blog bilasauhdibongkar yang ditulis sendiri oleh pemiliknya, Ustaz Zolkharnain Abidin. Agak menarik, tajam dan pedas untuk dibelek dan ditelaah. Namun, ia patut direnungi dari semua aspek dan tidak wajar kalau saya tidak mengapungkan posting itu untuk pengunjung sekalian:

Umno pernah mengaku mereka parti Islam kerana mereka ada Abdullah Mat Zain, Yusof Nor dan Abdul Hamid Othman. Umno juga ada Biro Agama. Mahathir pernah mengisytiharkan Malaysia negara Islam kerana Malaysia ada Pusat Islam, Jabatan Agama Islam dan IKIM. Malaysia juga ada Mufti yang semuanya Islam.

Kepimpinan Pas berkonsepkan kepimpinan ulama’ kerana Pas ada Majlis Syura Ulama’ dan Pas juga ada Dewan Ulama’. Pas tidak memerlukan Presiden atau timbalannya daripada kalangan ulama'.

Cukup sekadar itu. Full stop.

Sesiapa sahaja boleh meneruskan hasrat masing-masing, samada Husam Musa atau Mohamad Sabu untuk bertanding kerusi nombor dua. Tiada peraturan yang boleh menghalang, tiada semangat dan ruh yang boleh mengekang. Tiada perlembagaan yang boleh melarang.

Bukan sahaja kerusi nombor dua, kerusi nombor satu pun boleh. Itu tidak bercanggah langsung dengan semangat dan ruh kepimpinan ulama’. Malah itulah maknanya kepimpinan ulama' kerana wujudanya gandingan mantap antara ulama' dan bukan ulama'.

Jangan bimbang, siapa pun yang menjadi Presiden Pas dan Timbalan Presiden, kita boleh maklumkan kepada Umno, kepada PKR, kepada DAP dan kepada dunia juga, konsep kepimpinan Pas adalah kepimpinan ulama’.

Tentu gerakan Islam dunia bangga dengan kita. Kalau mereka tidak percaya konsep kepimpinan Pas adalah kepimpinan ulama', tengoklah sendiri siapa Presiden dan Timbalan Presiden Pas. Dewan ulama’ tidak perlu bersuara lagi dalam perkara ini, kerana Dewan Ulama’ dalam hiraki Pas setaraf sahaja dengan Dewan Pemuda dan Muslimat.

Majlis Syura Ulama’ juga sampai sekarang tidak bersuara apa-apa dan tidak diminta bersuara apa-apa, walau pun dikatakan majlis itu berhak menentukan dasar-dasar parti dan menafsirkan perlembagaan.

Tidak mengapa, walau pun kedua-dua institusi itu tidak bertaring apa-apa, Pas masih berpegang teguh dengan konsep kepimpinan ulama’. Atau, usulkan dalam muktamar akan datang supaya dimansuhkan sahaja konsep kepimpinan ulama’ dalam Pas, kerana:

> Konsep itu menjadikan para ulama’ dan bukan ulama’ sentiasa bertembung di dalam muktamar atau di luar.
> Konsep itu boleh memecahbelahkan Pas kerana mengundang polemik berpanjangan.
> Konsep itu tidak membawa apa-apa makna kerana kalau tiada konsep itu pun Majlis Syura Ulama’ dan Dewan Ulama’ tetap wujud berdasarkan perlembagaan.
> Konsep itu menghalang mereka yang bukan ulama’ untuk berada dikerusi nombor satu.
> Konsep ini tidak menepati konsep kepimpinan bertaqwa kerana taqwa itu milik semua dan bukan milik ulama’ sahaja.
> Konsep ini bercanggah dengan makna kepimpinan Islam kerana kepimpinan Islam lebih luas daripada makna kepimpinan ulama’.
> Konsep ini menjadikan Pas parti yang tidak relevan dengan realiti kerana pemimpin dunia hari ini bukan lagi ditunjangi ulama’.
> Konsep ini tidak selari dengan realiti Malaysia, Malaysia bukan Iran yang berpegang dengan Wilayatul Faqih.

Tok Guru Nik Aziz juga perlu menarik balik syarat yang pernah dibuatnya sebelum ini, Menteri Besar penggantinya hendaklah seorang ulama’. Syarat itu tidak lagi relevan. Bila ini berlaku, barulah kita setanding dan seiring dengan parti-parti itu.

Dan kalau konsep itu kekal, boleh juga kita memberitahu kepada cucu-cucu kita beberapa puluh tahun akan datang, "Konsep Kepimpinan Pas Adalah Kepimpinan Ulama".

"Kamu tak percaya cucuku? Tengoklah siapa Presiden dan Timbalannya."

Dalam posting lain yang bertajuk "Ulama’ Sudah Dipukul Dua Kali", Ustaz Zolkharnain Abidin menulis begini:

Gandingan Yusof Rawa – Fadhil Nor dan Fadhil Nor – Abdul Hadi tidak terusik seperti gandingan Abdul Hadi – Nasharuddin.

Setakat ini yang diusik sungguh-sungguh ialah jawatan nombor dua. Walau pun ada angin yang bertiup bahawa jawatan nombor satu akan terusik, tetapi nampaknya tiupan angin itu sudah berhenti.

Apabila Mohamad Daud, Ketua Dewan Ulama’ Pas Pusat menyarankan supaya jawatan nombor dua juga perlu diisi oleh ulama’, saranan itu seperti tidak berkesan (baca sini). Pencalonan terbaru selepas saranan itu ialah kawasan Shah Alam yang mencalonkan Husam untuk kerusi itu (baca sini).

Malah akhbar melaporkan Mohamad dibidas oleh Pengarah Pilihanraya Pas Kelantan, orang senegeri dengannya. Mohamad dikatakan tidak memahami konsep kepimpinan ulama’ (baca sini).

Setakat ini, telah dua kali ulama’ dipukul. Kali pertama, saranan Ketua Dewan Ulama’ seperti tidak dipandang apatah dihargai, bahkan dibidas. Kedua, ulama’ dikata tidak memahami konsep kepimpinan ulama’. Saya yakin akan ada yang ketiga dan keempatnya, tunggulah.

Apabila ulama’ mempertahankan kerusi nombor dua perlu diisi oleh ulama’, pantas dibidas ulama’ tidak faham. Bagaimana pula kalau ulama’ berkata, golongan bukan ulama’ (saya tidak gunakan profesional kerana bukan semua bukan ulama’ adalah profesional) juga tidak faham?

Apa yang mereka tidak faham? Konsep kepimpinan ulama’ pada pandangan ulama’ adalah Presiden mestilah ulama’. Presiden adalah termasuk Timbalan Presiden kerana Timbalan Presiden adalah Presiden ketika keuzuran Presiden. Agaknya, inilah yang bukan ulama’ tidak faham.

Kerusi nombor dua perlu diisi oleh bukan ulama’ kerana bimbang Pas akan dimonopoli oleh ulama’. Semenjak bila pula doktrin ini ada dalam Pas? Bagaimana pula kalau dikata begini, golongan bukan ulama’ sedang berusaha memonopoli Pas? Bolehkah diterima?

Saya fikir ada banyak udang yang sedang bersembunyi di sebalik batu. Bongkah ais memang nampak kecil dipermukaan laut. Kalau ini adalah buruk sangka, maka buruk sangka ini diperlukan pada ketika ini.

Apa kata, Pas meminda perlembagaannya dan menubuhkan sebuah lagi dewan setaraf dewan-dewan sedia ada. Namakan sahaja dewan itu Dewan Profesional. Dalam dewan itu, golongan profesional perlu membuktikan keprofesionalan mereka. Kalau ada yang bukan profesional ingin masuk dewan itu, namakan saja dewan itu Dewan Bukan Ulama’.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ana rasa dalam hal ini, Ulama' selaku pewaris nabi dan rasul kena buat muhasabah kepada diri sendiri sebab apa terasa disisihkan dalam perjuangan. Adakah ulama' sendiri yang silap. Tidak perform, errogant, tidak boleh ditegur dan lain-lain.

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju dengan tanpa Nama. Tanpa memandang rendah sedikitpun kepada para ulama' dalam PAS, saya mencadangkan agar satu muhasabah khusus dibuat oleh para Ulama',Majlis Syura dan lainnya supaya menilai tahap perform mereka. Bagi saya yang bukan ulama', saya cukup mengharapkan pimpinan ulama' dan naungan mereka.Tapi sedikit kecewa jika mereka dibaluti dengan sifat sombong, susah ditegur, dan tidak perform dalam kerja. HARUS DAN MESTI MUHASABAH. Bagi kami pengikut, kami akan bekerja keras dibawah pimpinan para ulama' jika mereka betul2 bercirikan ulama' yang mampu memimpin kami (maknanya buka setakat ada sijil agama saja).

Tanpa Nama berkata...

tak ptg ulama atau tidak. yg ptg jgn syiah yg jadi timb presiden