KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 04, 2009

Syarat mesti ulamak tidak terkandung dalam Perlembagaan PAS: Dato Tuan Ibrahim, Ustaz Ghani Rahman, Dato' Ahmad Yaakob dan Cikgu Pa rasional



SYARAT Presiden, Timbalan Presiden PAS disandang oleh Ulamak tidak terkandung dalam Perlembagaan. Pesuruhjaya PAS, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman berkata mana-mana pihak bebas, membuat cadangan dan mengemukakan pandangan berhubung perkara itu. Demikian dilaporkan Wan Johari pada blognya jiwokelate.

“Ini merupakan perkembangan sihat, asalkan yang diperkatakan itu tidak terkeluar daripada apa yang ditetapkan oleh oleh Perlembagaan Parti,” kata Ustaz Abdul Ghani yang juga merupakan seorang AJK Dewan Ulamak PAS Pusat.

Fasal 22 dan 23 Perlembagaan PAS tidakpun menyatakan seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden merupakan dari kalangan Ulamak. Jelas, tidak ada kesamaran lagi. Mengapa ada pertikaian?

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan (Peguam) menyokong kenyataan Ketua Dewan Ulamak supaya dua jawatan tertinggi parti disandang golongan Ulamak, walaupun ia tidak tercatat dalam Perlembagaan parti namun ia tetap dilaksanakan.

Katanya, situasi itu dalam bahasa undang-undang disebut sebagai ‘convention’ dan ia diterima sebagai suatu benda yang diterima walaupun tidak tercatat dalam Perlembagaan dan juga tidak boleh dipertikaikan oleh mereka yang waras.

Issh sedap mainan kata-kata Takiyuddin. Setuju dengan tidak ikut Perlembagaan, tidak boleh dipertikaikan. Mereka yang waras.

Nampaknya semacam orang yang patuh dan ikut Perlembagaan sebagai orang tidak waras. Apa masalah Takiyuddin ni sebenarnya? Semacam ada masalah peribadi jer?

Sementara Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mencadangkan supaya isu ulama dan profesional dibincangkan secara terperinci dalam muktamar agung parti itu Jun ini. Baca Biar Muktamar tentukan siapa layak Ulamak hanya tradisi.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata apa yang lebih penting ialah pemimpin yang dilantik menerajui kedua-dua jawatan tertinggi parti adalah mereka yang mendukung kepimpinan Ulamak yang menjadi dasar parti. Menurutnya tradisi yang diikuti oleh PAS sejak sekian lama bagi mengekalkan kepimpinan ulamak boleh berubah.

“Walaupn Ulamak tetapi kalau tidak mendukung kepimpinan Ulamak. Ia bertentangan juga dengan dasar perjuangan PAS. Sebaliknya jika orang itu profesional tetapi mendukung kepimpinan Ulamak, itu tidak mengapa,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang berkata golongan profesional mahupun ulamak layak memimpin parti asalkan mereka memahami Islam dan berpendidikan tinggi. Katanya parti itu tidak pernah menetapkan garis panduan tentang siapa yang layak untuk dilantik sebagai pemimpin PAS.

“Siapa saja layak samada yang mempunyai latar belakang atau agama atau profesional layak menerajui PAS,” kata yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

Bagi, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berkata persoalan siapa yang layak menerajui parti samada golongan profesional atau ulamak tidak wujud kerana kedua-duanya memeiliki kehebatan dan kebolehan tersendiri.

Semuanya mengulas mengenai perbezaan pendapat antara Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi berhubung dua jawatan tertinggi dalam parti berkenaan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas disandang oleh golongan ulama.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mustafa Ali (antara pelopor Usul mengenai Kepimpinan Ulamak) berkata, kedua-dua jawatan tertinggi dalam parti itu boleh ditandingi oleh sesiapa sahaja ahli parti yang berminat.

"Dalam Perlembagaan parti, tidak terdapat sebarang peraturan yang menyatakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipegang oleh ulama," ujarnya. Beliau menyifatkan apa yang diperkatakan antara kedua-dua pihak tersebut sebagai pendapat peribadi masing-masing.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ustaz,
Apapun hujah dan alasan anda tentang peranan ulama dan kepimpinan, bagi saya ulama tidak mampu menjadi peneraju kepimpinan, dalam konteks ulama Pas sekarang ini, kerana ulama sekarang tidak cekap mengurus segala hal. Sehingga sekarang saya masih temui tidak pernah menepati janji dan waktu. Suka menyerah 'Insyaallah' dalam semua hal.Bagi saya ulama hanya perlu menduduki majlis syura, menjadi pemandu, penegur dan tempat merujuk hukum. Serahkan saja soal pengurusan, pekerjaan, tugas memerintah, pengurusan politik, pelaksana dasar kepada mereka yang berilmu sekular tetapi berpendidikan agama, memiliki roh Islam.
Pelaksana dasar dan penggerak dalam pemerintahan mampu melaksanakan semuanya tetapi mestilah bersama syura ulama.
Bagi saya, pengajaran agama kepada setiap aktivis, pemerinta sangat penting. Dan yang lebih penting roh agama itu sendiri berada di dalam pemerintahan. Manakala ulama (dalam konteks sekarang) masih terkongkong dan terikat dengan kelonggaran manhaj dan disiplin yang sepatutnya.
Atas nama ulama saya sehingga sekarang masih mencari pautan yang kuat dalam soal disiplin pentadbiran,kerana soal besar saya melihat mereka tidak pandai menghargai masa kecuali jika di minta berzikir dan berdoa. maaf.
-azizi abdullah

Marzuki Hassan berkata...

Kepimpinan Ulama dalam Pas: Satu kajian semula

PAS telah memperkenalkan dasar kepimpinan Ulama sejak tahun 80an ketika Almarhum Pak Yusuf Rawa menjadi Presiden. Dasar tersebut telah mewujudkan sebuah institusi yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulama di samping memperkasakan Dewan Ulama Pas. Timbul tanggapan hari ini bahawa jawatan Timbalan Presiden haruslah dipegang oleh mereka yang mempunyai title ulama atau ustaz.

Adakah kepimpinan ulama itu bermaksud Presiden dan Timbalan Presiden itu mestilah ulama ataupun kepimpinan Pas merujuk kepada ulama atau syarak?

Penulis tetap mempertahankan bahawa kerusi Timbalan Presiden hendaklah diisi oleh seorang pejuang telah diuji dalam perjuangan menegakkan yang maaruf dan menentang kemungkaran dengan syarat kepimpinannya hendaklah sentiasa bernaung di bawah Majlis Syura Ulama. Ulama itu tidak semestinya seorang pemimpin tetapi pemimpin itu mestilah sentiasa merujuk kepada Ulama. Penulis ada alasan dan hujah.

Semangat Kepimpinan Ulama

Semangat ini perlu diterjemahkan melalui perjuangan yang berani dan kecekalan dalam menerima ujian dan juga tawaran. Istiqamah amat penting dalam perjuangan yang mendokong kepimpinan Ulama. Kita tidak mahu tragedi seperti Ustaz Nakhaei Ahmad yang bertaraf Ulama namun tidak tahan ujian dan tawaran.Timbalan Presiden Adalah Presiden.

Ketika ketiadaan atau keuzuran Presiden, Timbalan Presiden adalah Presiden. Atas semangat kepimpinan Ulama maka pemangkunya ketika sebarang kemungkinan perlulah merujuk kepada Majlis Syura Ulama agar semangat kepimpinan ulama itu sentiasa segar.

Kemampuan Ilmu Syarak

Presiden atau Timbalan Presiden mesti seorang yang berkemampuan tinggi menyelesaikan masalah jamaah atau masalah umat berdasarkan peraturan syarak. Mampu merujuk masalah yang rumit dan halus di bawah naungan Majlis Syura Ulama. Hanya Majlis Syura Ulama yang mampu melakukan itu semua.

Pas Adalah Gerakan Islam

Pas bukan sekadar sebuah parti politik tetapi adalah gerakan Islam. Kemampuan pemimpin tertingginya membawa Pas menghayati ruh sebuah gerakan Islam sangat diperlukan. Sesiapa sahaja mampu memimpin sebuah parti politik tetapi tidak semua orang berupaya memimpin sebuah gerakan Islam. Pemimpin yang telah teruji ketahanannya dalam mempertahankan survival gerakan Islam layak menjadi Timbalan Presiden.

Tiada Cacatnya Timbalan Presiden bukan Ulama

Semenjak sekian lama dua jawatan utama itu dipegang oleh ulama dengan gandingan Yusof Rawa Fadhil Noor, Fadhil Noor Abdul Hadi dan Abdul Hadi Nasharuddin, tidak timbul masalah besar. Kalau Timbalan Presiden sekarang bermasalah apa salahnya kita tukarkan beliau dengan mereka yang bukan Ulama selama dua tahun, kita boleh lihat dahulu kemampuannya untuk memimpin sebuah gerakan Islam.

Siapa Yang Layak Menduduki Kerusi Itu Daripada Kalangan Bukan UlamaHanya pemimpin yang telah teruji dalam perjuangan ini dengan kesusahan, kepayahan dan kesukaran serta tawaran menarik tetapi terus kekal istiqamah sahaja yang layak menduduki kerusi itu.

Kita Perlu Berbeza Dengan Orang Lain

Parti sahabat kita atau parti saingan kita tidak meletakkan ulama sebagai tunggak. Kita tetap berbeza daripada parti lain kerana hierarki kepimpinan tertinggi kita adalah Ulama yang berada di dalam Majlis Syura Ulama. Sistem dalam Pas amat berbeza di mana Mursyidul Am adalah pemimpin nombor satu dalam parti.

Majlis Syura Ulama mestilah dipertahankan sebagai institusi yang tertinggi di dalam parti. Di samping itu Dewan Ulama sebuah lagi institusi dalam Pas juga wajib terkehadapan dalam mengolah isu-isu semasa dengan berlandaskan syara’.

Penulis berpandangan isu yang perlu di sini ialah kepimpinan dalam Pas perlulah diberikan kepada sesiapa sahaja samada mereka itu Ulama, profesional ataupun aktivis parti dengan syarat mereka itu adalah daripada yang terbukti mampu memimpin Pas membawa ke tahap yang lebih gemilang.

Jangan jadikan Ulama sebagai satu syarat untuk memimpin di dalam Pas. Kelak Pas akan berpecah teruk lantaran sikap bodoh sombong mana-mana individu yang mempergunakan title Ulama untuk melindungi kelemahan sendiri. Akhukum fil Islam

Mohamad Hasan Marzuki

Dr Yunus berkata...

Islam menitik beratkan kepimpinan yang layak

1. Lihatlah kepimpinan berdasarkan merit dan pengorbanan masing-masing. Lihat semasa kita kalah teruk pada 2004 dahulu. Sampai 2008 siapa yang berada di barisan hadapan untuk mempertahankan PAS apabila diserang bertubi-tubi oleh UMNO; Orangnya Husam
2. Melawan kepimpinan Ulamak? Bukan soal ulamak atau tidak tapi soal boleh buat kerja atau tidak boleh buat kerja. Kalau ada degree Pengajian Islam pun, tidak reti memimpin, hancur jamaah.
3. Kepimpinan Ulama' = Kepimpinan Degree FPI. Mana ada riwayat yang mewajibkan untuk menjadi pimpinan mesti ada degree FPI
4. Melawan kepimpinan Ulamak? Orang tak lawan kepimpinan Ulamak tapi orang takut ada agenda hendak membawa PAS masuk ke dalam BN macam dalam akhbar banyak komen pasal kerajaan perpaduan. Kebetulan, engineer pada kerajaan perpaduan adalah orang yang bertitle ulamak.
5.Kepimpinan PAS harus dilihat kepada siapa yang biasa merakyat, turun demonstrasi, siapa yang tidak turun demonstrasi, tidak boleh jadi pemimpin parti politik.
6. Husam Musa seorang yang boleh berbahasa Arab (bersepah-sepah Ustaz yang tidak boleh berbahasa Arab walaupun ada degree, tapi menunutut jawatan atas alasan diri mereka ulamak), dan boleh membaca kitab Arab, dan beliau dipandu oleh ulamak di sekelilingnya seperti TG Nik Aziz serta ramai lagi Tok Guru Pondok di Pasir Tumbuh yang berkebetulan tempat beliau memimpin. Inilah contoh kepimpinan Islam terdahulu, khalifah, berpaksikan ulamak di sekelilingnya.
7. Ikhwanul Muslimin, Hamas, Iran dll tidak dipimpin oleh orang yang ada degree FPI tetapi soleh dan memahami Islam dengan baik. Gerakan ini digeruni oleh Amerika Syarikat.
8. Perkataan bahawa kepimpinan Degree FPI melukakan hati banyak penggerak PAS yang tidak mempunyai degree FPI walaupun mereka telah bekorban lama dalam PAS.


Kesimpulan: Husam Musa Calon Terbaik untuk Timbalan Presiden

Yang Benar

Dr Yunus
UPM

Tanpa Nama berkata...

Masa Cikgu Pa lawan Ust Hassan Shukri tak timbul kena ulama' jawatan no dua. Agaknya orang Pas ingat Cikgu Pa tu Sahibul Samahah agaknya.