KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 10, 2009

Kontroversi SMS Jihad: Muhyiddin dedah kejahilan dirinya tentang agama

KUALA LUMPUR: Kejahilan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin terserlah apabila menganggap istilah 'jihad' semata-mata untuk berperang.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan, jihad fisabilillah dalam sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya itu tidak bermaksud untuk berperang sebagaimana yang didakwa oleh Muhyiddin.

"Jika dalam SMS itu saya menyebut 'jihadul kital' barulah ia bermaksud berperang, tetapi saya menyebut 'jihad fisabilillah' iaitu jihad di jalan Allah.
"Jadi apabila dia (Muhyiddin) anggap itu 'perang', dia menunjuk kejahilan dialah. Janganlah disebabkan kejahilan dia, maka hendak ajak seluruh rakyat jahil seperti dia," tegas beliau ketika dihubungi.

Sebelum ini, Ustaz Nasruddin menghantar SMS kepada semua Pemuda PAS ekoran ada kenyataan Pemuda Umno akan menghantar 4,000 ahlinya yang dilatih ala komando untuk melakukan kekerasan sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar.

Sehubungan itu, Muhyiddin pula dilaporkan berkata "mengapa mereka kata jihad sedangkan jihad itu adalah perang. Saya yakin mereka lakukan perkara itu kerana PAS semakin terdesak dan semakin tertekan".

SMS yang menimbulkan salah faham itu dihantar oleh Ustaz Nasruddin berbunyi: "Keadaan semakin kritikal. Ramai ahli kita dipukul dan terbaru malam ini Markaz Pemuda PAS Pusat di Bagan Pinang diceroboh dan petugas dihalau keluar. Demi Allah dengan nama jihad fisabilillah saya sebagai ketua mengerahkan pemuda PAS turun ke Bagan Pinang."

Ustaz Nasruddin menjelaskan, Islam mempunyai banyak makna 'jihad' antaranya jihad ilmu (jihadul ilmi) dan jihad harta (jihadul mal) dan sebagainya.

Oleh itu, katanya jihad fisabilillah yang dimaksudnya adalah perjuangan di atas nama agama sebagaimana perjuangan PAS berasaskan agama sejak dahulu lagi.

"Kenyataan Muhyiddin itu, satu dakwaan yang jahat, yang mengatakan saya melancarkan jihad fisabilillah untuk melakukan kekecauan," sangkalnya.

Ustaz Nasruddin berkata, jihad yang dimaksudkan beliau itu sebagai motivasi untuk anggota parti yang memperjuangkan Islam turun berjuang kerana perjuangan mereka adalah ibadah.

"Tampal poster, wang ringgit yang mereka laburkan untuk datang ke Bagan Pinang, merayu undi, kawalan, termasuk mengedar risalah oleh petugas PAS adalah ibadah yang termasuk dalam jihad fisabilillah," jelas beliau.

Tiada ulasan: