KUALA LUMPUR: PAS tetap menegaskan pelaksanaan sistem pilihan raya di negara ini masih belum sempurna, biarpun mengakui terdapat penambahbaikan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kebelakangan ini.
Malah, penambahbaikan itu tidak mencukupi memandangkan masih banyak perkara asas yang tidak dipulihkan SPR seperti pengundian pos dan pertindihan daftar pemilih yang masih menjadi pertikaian.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, berkata perkara ini ditimbulkan bukan kerana parti itu menang atau kalah, mahupun tidak mendapat sokongan rakyat, tetapi ia berasaskan kepada prinsip yang selama ini diperjuangkan.
"PAS melihat sistem ini dari sudut pelaksanaannya yang masih tidak betul. Masih ada perkara yang tak betul, macam undi pos. Sebagai contoh, senarai daftar pemilih yang sah diberikan pada hari penamaan calon, apabila hari mengundi daftar tersebut sudah berubah. Ada yang sebelum ini nama mereka ada di daftar pemilih, tiba-tiba tiada pada hari mengundi," dakwa beliau lagi kepada Harakah.
Mustafa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, yang mengingatkan parti-parti pembangkang agar tidak menyalahkan sistem pilihan raya negara ini.
Abdul Aziz dilaporkan berkata, parti-parti pembangkang tidak wajar menyalahkan sistem sekiranya sebahagian besar rakyat tidak memihak kepada mereka dalam pilihan raya yang disertai.
Malah, beliau juga berkata mereka harus sedar bahawa parti pemerintah turut mengalami situasi yang sama tetapi tidak pernah menuduh ia berpunca daripada proses pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan