KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 10, 2009

Umno cetus budaya samseng untuk pertahan kuasa di Bagan Pinang - Salahuddin Ayob

KUALA LUMPUR: Ekoran dari pembohongan yang dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim yang mendakwa ditumbuk penyokong PAS ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Umno kemudiannya bertindakbalas ala samseng dengan menyerang markas PAS dan menetak salah seorang petugas PAS.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob melahirkan rasa bimbang dengan trend terkotor ini yang mungkin akan dijadikan taktik dan srategi Umno untuk mengekalkan kuasa pada siri kempen pilihan raya kecil yang lain dan Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

Tegas beliau, budaya samseng ini dibawa oleh Umno bila parti itu merasa tertekan dengan perubahan ketara citarasa pengundi yang selama ini menyokong BN tetapi kini mula beralih arah.

"Mereka mula rasa akan kalah. Jadi mereka ugut petugas parti lain dan ugut pengundi-pengundi.

"PAS bimbang semangat demokrasi yang sepatutnya dirayakan dengan baik dirosakkan oleh Umno yang tertekan kerana semakin ditolak rakyat atau bila mereka mengetahui akan mengalami kekalahan dalam mana-mana pilihanraya kecil.

"Sejak hari penamaan calon lagi, Umno sudah cuba untuk memburuk-burukkan PAS dengan mengatakan penyokong PAS mengepung dan menumbuk Ketua Putera Umno, Dato Azeez.

"Ekoran dari dakwaan ini, mereka bertindak lebih ganas dengan menyerang dan menetak salah seorang ahli PAS ketika kempen sedang giat dijalankan dan ini merupakan budaya samseng yang ditonjolkan oleh Umno untuk menakut-nakutkan rakyat agar terus mengundi mereka (Umno)," jelas Salahuddin.

Jelas beliau lagi, tidak menghairankan jika Umno mengamalkan budaya samseng kerana salah seorang Exco Pemuda Umno, Megat Fairuz Megat Junid pernah membuat kenyataan bahawa ahli-ahli pemuda Umno dilatih ala komando untuk menghadapi pilihan raya.

Kenyataan itu, kata Salahuddin, amat meragukan kerana untuk tujuan apa latihan ala komando dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

"Apa tujuan ahli Pergerakan Pemuda Umno dilatih ala komando kalau bukan untuk bertindak ganas ala samseng terhadap pengundi dan penyokong Pakatan Rakyat.

"Jika budaya samseng dibawakan oleh Umno, PAS cukup kesal kerana Pakatan Rakyat mengajak rakyat untuk mendekati budaya Politik Baru yang lebih mementingkan integriti dan kreadibiliti calon serta parti," kata beliau.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Hussein yang menuduh PAS sendiri melakukan provokasi tersebut dan seterusnya menuduh Umno dan polis berbuat demikian, Salahuddin berkata mangsa-mangsa berkenaan membuat sekurang-kurangnya lima laporan polis selepas kejadian dan aduan-aduan polis itu akan didedahkan secara berperingkat-peringkat.

"Janganlah Menteri Dalam Negeri bersandiwara juga dan menganggap perkara itu tidak penting dan mempermain-mainkan seolah-olah tidak wujud kejadian itu. Kita minta supaya pihak keselamatan mengambil tindakan sewajarnya," kata beliau.

Salahuddin menegaskan, amat penting untuk rakyat memahami bahawa budaya samseng yang sedang dibawa Umno sudah tidak lagi relevan dengan landskap politik negara dan ia wajar ditolak sepertimana menolak Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: