KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan agar tempat mengumpul karung undi pos dipasang kamera litar tertutup (CCTV) di samping kawalan ketat oleh pihak polis bagi mengelakkan wujudnya penipuan.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, pemasangan CCTV itu tidak bermaksud PAS tidak mempercayai ketelusan anggota polis tetapi ia sebagai elemen membantu keselamatan karung undi pos.
Katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Undi Pos Pemuda PAS, tempoh membuang undi pos dengan dengan pengundian biasa agak panjang bahkan ruang-ruang yang ada itu mungkin boleh disabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Apa masalahnya kalau kita letak CTV ia pun bukannya melanggar peraturan dan undang pilihan raya, kita desak SPR supaya pasangkan CCTV di tempat kawalan undi pos," katanya dihubungi.
Adalah lebih baik, katanya wujud tanggungjawab bersama dalam menjaga karung undi pos yang mana selain anggota polis wakil-wakil agen parti politik turut dibenarkan.
"Kenapa kita tidak sama-sama mengawal, polis dan agen parti politik iaitu PAS dan BN pun boleh mengawal, kita mahu kawalan itu dikawal bersama-sama.
"Kem komenden akan ambil karung undi pos pada 7 Oktober, pada malam itu siapa yang menjaga karung itu? 8 Oktober para pengundi pos akan membuang undi, pada malam itu siapa yang jaga? Pada waktu siang egen kita ada tetapi malam tidak ada. Begitu juga pada 9 dan 10 Oktober pun tidak ada orang yang jaga, ini semua adalah ruang-ruang yang boleh disabotaj," jelasnya.
Katanya, pelbagai cara yang boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuklah menukar karung tersebut yang diisi dengan borang atau sampul surat lain.
Justeru, katanya keselamatan dan kawalan karung undi pos hendaklah diambil serius sebagai mana pihak kerajaan menyediakan CCTV di jabatan mereka termasuklah di Jabatan Perdana Menteri.
"Di Jabatan Perdana Menteri walaupun sudah dikawal oleh polis, tetapi CCTV juga berfungsi. Perkara yang penting kita kena sama-sama jaga, kita desak SPR pasangkan CTV itu" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan