KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Umno pandang lekeh integriti Isa Samad - Salahuddin Ayob

KUALA LUMPUR: Pemilihan Tan Sri Isa Samad untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) ketandusan calon malah tidak mementingkan soal integriti dan kreadibiliti untuk dijadikan wakil rakyat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob berkata pemilihan Isa juga membuktikan kepada rakyat bahawa Umno-BN tidak pernah belajar dari kesilapan mereka di masa lalu dan tidak serius untuk melakukan perubahan.

Malah kata beliau pemilihan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga membuktikan Umno-BN tidak dapat keluar dari masalah rasuah yang membelenggu parti tersebut.

"Pemilihan Isa (Tan Sri) membuktikan Umno dan BN tidak mementingkan soal integriti dan kreadibiliti calon mereka untuk dijadikan wakil rakyat sedangkan kedua-dua faktor itu penting kerana sesiapa yang dipilih akan mewakili suara rakyat.

"Jika integriti dan kreadibiliti calon dipertikaikan bagaimana individu tersebut jika dipilih akan menjalankan tugas dengan sempurna untuk mewakili rakyat seterus menyuarakan masalah rakyat.

"Ini jelas menunjukkan kepada rakyat bahawa Umno dan BN tidak serius melakukan perubahan dan membenteras rasuah kerana mencalonkan individu yang dikaitkan dengan politik wang oleh parti mereka sendiri," kata beliau.

Beliau juga menjelaskan, pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhamad mengenai calon BN penting untuk dinilai oleh pengundi di Bagan Pinang kerana sebagai bekas ketua negara dan juga bekas presiden parti itu, Mahathir tentunya lebih mengetahui tentang integriti dan kreadibiliti calon yang ditonjolkan Umno dan BN.

PAS, kata Salahuddin, mengenengahkan calon yang diyakini rakyat untuk diangkat sebagai pemimpin dan yang lebih penting berintegriti dan berkreadibiliti.

"Pengundi di Bagan Pinang perlu mengambil kira pandangan Mahathir (Tun) mengenai Isa (Tan Sri) kerana sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno, beliau (Mahathir) lebih tahu mengenai calon Umno itu.

"Calon yang kami (PAS) kemukakan merupakan seorang yang diyakini akan mampu menjalankan tugas dengan baik jika dipilih," jelas beliau.

Salahuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang berkata, pilihan raya kecil ini amat bermakna bagi PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia akan menjadi kayu ukur lonjakan sokongan rakyat kepada pembangkang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Biarpun sukar untuk menawan kubu kuat Umno itu, beliau berkata, PAS akan berusaha untuk mengurangkan majoriti kemenangan BN kerana ia boleh dijadikan penanda rasa sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Justeru, kata Salahuddin jentera kempen PAS dan Pakatan Rakyat akan memastikan pengundi Bagan Pinang akan menerima mesej yang akan dibawa oleh mereka (Pakatan Rakyat) demi untuk memastikan perubahan dapat dilakukan dalam landskap politik negara.

Tiada ulasan: