KUALA LUMPUR: Hanya terdapat 1,200 daripada 4,604 pengundi pos di Kem Seri Rusa, iaitu satu-satunya kem tentera dalam Dun Bagan Pinang yang masih tinggal di situ, dedah Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali.
Beliau juga menjelaskan, sebahagian besar pengundi yang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dakwa berjumlah 4,604 orang sudah bersara dan berpindah ke kem lain.
"Bagan Pinang antara Dun paling besar yang banyak undi pos, yang berdaftar sebanyak 4,604 orang. Tetapi semakan PAS sendiri, kita dapati yang benar-benar berada dalam kem Seri Rusa ini, hanya 1,200 orang, ini mengikut semakan kita.
"Maksudnya orang yang ada dalam kem tersebut. Senarainya ada 4,604 tetapi berdasarkan semakan kita ada 1,200 pengundi. Yang lainnya, sebahagian besarnya sudah bersara," kata Mustafa dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS di ibu negera, pada 2 Oktober lalu.
Menurut beliau lagi, mengikut kaedah pilihan raya, yang tidak tinggal lagi dalam kem, sepatutnya mengundi sebagai pengundi biasa.
Beliau juga mendesak agar supaya SPR tidak membenarkan mereka yang tidak hadir untuk mengundi.
"Waktu kertas undi diberikan, dia tidak hadir, seharusnya dia tidak boleh mengundi. Ini yang minta supaya ia dipastikan oleh SPR sendiri," katanya.
Menurut Mustafa, apa yang menjadi kebimbangan PAS ialah pengundi pos yang tidak berada dalam kem tersebut tetapi dibenarkan mengundi di situ.
"Saya boleh jangka bahawa SPR akan jawab siapa yang ada dalam senarai, maka dia sah sebagai pengundi. Tetapi sebagai satu persiapan dan peringatan kepada SPR supaya dia benar-benar nak pastikan daftar pemilih ini bersih, dia sendiri pastikan orang yang sebenarnya tidak ada, didaftarkan di mana dia berada," tegasnya lagi.
Ditanya sama ada pengundi yang bersara tinggal di kem tersebut, Mustafa berkata mereka memang tidak tinggal di kem itu lagi.
"Mereka yang boleh tinggal di kem tersebut adalah pegawai dan kakitangan yang berkhidmat. Yang tidak berkhidmat, tidak boleh duduk situ," katanya.
Ditanya sama ada terdapat peruntukan undang-undang, sekiranya pengundi tidak meminta nama mereka dipindah, maka mereka tetap untuk mengundi di situ, Mustafa berkata, dari sudut undang-undang, ya, dan perkara itu tidak dapat nafikan.
SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama pengundi buat masa sekarang mengikut undang-undang, sebaliknya memikirkan satu cara untuk membolehkan orang yang benar-benar layak mengundi adalah orang yang tinggal dalam kem tersebut, tambah beliau.
Calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar bakal berdepan dengan calon BN, Tan Sri Isa Samad untuk merebut kekosongan kerusi Dun Bagan Pinang ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN.
Azman Mohamad Noor yang juga Naib Ketua Bahagian Teluk Kemang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu. Azman menewaskan Ramli Ismail yang juga timbalan yang dipertua PAS kawasan Teluk Kemang yang mendapat 4,097 undi.
SPR menetapkan 3 Oktober lalu sebagai hari penamaan calon, manakala 11 Oktober pula adalah hari pengundian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan