KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 10, 2009

Serangan Indonesia terhadap warga Malaysia di Kalimantan hanya helah politik - Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar tidak percaya dakwaan kononnya rakyat Indonesia akan menyerang warga Malaysia di Kalimantan seperti yang diuar-uarkan oleh media.

Sebaliknya, beliau mengesyaki berita tersebut cuba dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai unsur-unsur yang tidak sihat dalam politik Malaysia sekarang.

Malah dakwanya, isu tersebut sengaja ditonjolkan bagi menimbulkan rasa cemas dan takut di kalangan rakyat, khususnya pengundi Bagan Pinang agar terus mempertahkan BN sebagai rantaian kuasa di negara ini.

"Saya berpendapat ia ada kaitan untuk BN mendapat undi pos tentera bagi menyokong BN dan juga orang awam supaya dilihat seolah-olah negara kita sedang diancam. Hanya BN yang boleh memberi pelindungan untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara," katanya semasa menghubungi beliau di Bagan Pinang, Jumaat lalu.

Beliau mendakwa, isu tersebut jelas sebagai satu isu murahan dan sehingga kini katanya media tidak boleh memberikan asas kukuh yang Malaysia akan diserang Indonesia.

Baru-baru ini, tersebar berita mengatakan sekumpulan yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) akan menyerang warga negara Malaysia dengan buluh runcing ekoran beberapa isu berbangkit yang berlaku sejak akhir-akhir ini antara Malaysia dan Indonesia.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, berita tersebut satu tindakan yang tidak wajar dan tanpa asas yang munasabah bagi membolehkan mereka bertindak sedemikian rupa.

Oleh kerana itu katanya, sepatutnya mereka harus menegaskan apakah asas-asas tindakan yang mereka hendak ambil itu.

"Saya sendiri masih tidak percaya kenyataan-kenyataan yang sedemikian kononnya akan ada serangan dibuat oleh Indonesia ke atas kita," ujarnya.

Beliau berkata, jika benar akan berlaku serangan, apa asas dan puncanya dan siapa sebenarnya yang membuat kenyataan begitu. Sebaliknya, rakyat hanya mendengar daripada media yang tidak pun memberikan asas-asas dan punca tersebut timbul.

Oleh kerana itu katanya, beliau percaya isu itu satu perkara yang disengajakan dicetuskan seolah-olah akan berlaku satu insiden antara Malaysia dan Indonesia.

"Saya yakin isu ini tidak timbul dan isu ini sengaja dicetuskan demi kepentingan politik Barisan Nasional," dakwanya.

Bagaimanapun katanya, jika benar insiden tersebut berlaku kerajaan harus membuat siasatan namun katanya sehingga sekarang kerajaan tidak memberikan penjelkasan yang konkrit.

Tiada ulasan: