Cadangan pemansuhan dua peperiksaan umum, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) perlu disokong jika ia berlandaskan tujuan untuk mencapai matlamat pembinaan sahsiah pelajar dengan lebih berkesan.
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Universiti Pengajian Asing Beijing, Prof. Dr. Awang Sariyan menegaskan, dengan pemansuhan kedua-dua peperiksaan umum itu, tumpuan perhatian pelajar, guru dan ibu bapa diharapkan dapat dijuruskan lebih banyak kepada usaha dan langkah pembinaan sahsiah yang menyeluruh dan bersepadu.
Jelasnya, sikap dan tindakan tidak akan terbendung semata-mata oleh pencapaian gred dalam peperiksaan sehingga perhatian kepada aspek pembinaan sahsiah terabai atau diberi perhatian sampingan. Tambahan pula katanya, secara praktisnya, kelulusan pada kedua-dua peringkat itu tidak mempunyai nilai yang begitu penting sebagai ukuran atau keperluan untuk peringkat pendidikan seterusnya, selain untuk keperluan pemilihan ke sekolah berasrama penuh.
"Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan perlu membuat perancangan yang amat teliti dan rinci tentang bagaimana cita-cita untuk mengalih paradigma pemikiran dan sikap semua pihak berkepentingan, iaitu pelajar, guru dan ibu bapa itu dapat dipenuhi dengan sebaik-baiknya.
"Pengalaman menyaksikan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu (KBSR dan KBSM) menunjukkan bahawa dasar yang baik semata-mata, tanpa susulan dan pemantauan yang cukup berkesan tidak menimbulkan kesan yang diharapkan," tegasnya kepada Harakah.
Beliau menjelaskan, walaupun dalam tempoh lebih kurang 10 tahun pertama dilaksanakan, Kurikulum Bersepadu memperlihatkan hasil dan kesan yang menggalakkan, namun sesudah itu ketara berlakunya pencairan, sehingga beberapa teras Kurikulum Bersepadu seperti Bahasa Merentas Kurikulum, Nilai Murni Merentas Kurikulum dan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis Merentas Kurikulum tidak jelas lagi pelaksanaannya.
"Akhirnya, sistem pendidikan yang berpusat pada pencapaian akademik lebih daripada pencapaian menyeluruh dalam pembinaan sahsiah mengambil tempat semula," katanya.
Awang juga berharap seluruh jentera Kementerian Pendidikan, terutamanya perancang kurikulum, bahagian penilaian dan bahagian latihan guru perlu digerakkan dengan bersepadu untuk merangka satu pelan tindakan yang dapat memenuhi idealisme pendidikan bersepadu. Tambahnya lagi, sistem penilaian alternatif perlu direncanakan dengan jelas agar pihak pengurusan sekolah mempunyai garis panduan yang tepat untuk melaksanakan sistem penilaian alternatif itu.
"Pada asasnya, saya bersetuju penilaian berasaskan sekolah perlu dijadikan alternatif penilaian umum di seluruh negara, yang memang sudah lama dibincangkan. Sekali lagi, penilaian berasaskan sekolah memerlukan garis panduan yang tuntas untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan sekolah. Ini kerana akhirnya pihak itulah yang bertanggungjawab melaksanakannya dan memastikan pencapaian sistem alternatif itu," katanya.
Sehubungan itu, tokoh bahasa itu berharap peralihan paradigma yang cuba dilakukan Kementerian Pendidikan tidak semata-mata berlangsung dalam bentuk pemansuhan dua peperiksaan umum itu, tetapi hendaklah benar-benar kembali kepada terasnya, iaitu pelaksanaan sistem pendidikan yang dapat membina insan yang baik, sesuai dengan matlamat pendidikan yang digariskan oleh Islam (dan agama lain), yang telah diisytiharkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan