KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

200 nama pengundi pos bertindih kenalpasti - Suhaizan

BAGAN PINANG: Terdapat lebih daripada 200 nama pengundi pos yang bertindih dan dikhuatiri akan dimanipulasi untuk memenangkan calon BN pada Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Khas PAS Menangani Undi Pos Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Suhaizan Kaiyat berkata beliau mempunyai lebih daripada 200 senarai pemilih di kalangan tentera berdasarkan senarai semak daftar pemilih yang bertarikh 15 September baru-baru ini.

"Kita dapat mengenal pasti lebih daripada 200 nama pengundi yang bertindih yang digunakan untuk aktiviti mengundi dua kali bagi pihak pengundi tentera dalam kategori pengundian secara pos," katanya kepada Harakah.

Dalam pada itu, Pengarah Jentera Operasi PAS Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Salahuddin Ayub menegaskan pihaknya mempunyai penyelesaian bagi mengelakkan manipulasi berlaku dalam proses pengundian pos.

PAS katanya, mempunyai sistem yang boleh memantau pengundian pos bagi mengelakkan kertas undi diberi kepada bukan pengundi yang sebenar.

Sehingga kini, katanya, hanya satu tempat mengundi disediakan dan seorang sahaja polling agen daripada PAS dibenarkan masuk ke tempat itu bagi tujuan pemantauan.

"Pada kebiasaannya, seorang agen akan memantau 300 pengundi tetapi bagaimana mungkin seorang agen mampu memantau lebih 4,000 pengundi pada satu-satu masa? Sebanyak sembilan kem tentera digunakan sebagai pusat pengundian pada pilihan raya umum ke-12, tetapi sekarang ini hanya satu sahaja?" dakwanya.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu turut mempertikaikan tempoh pengundian yang dikurangkan kepada dua hari berbanding lima hari sebelum ini.

Berdasarkan pertemuan dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini beliau berjanji akan menghapuskan proses pengundian secara pos.

"Tetapi sekarang ini adakah kata-kata tersebut benar-benar dilaksanakan atau sekadar sedap bercakap semata-mata?" soal beliau.

Pusat pengundian untuk para tentera pada 8 dan 9 Oktober ini ditetapkan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat atau Sasda.

Salahuddin turut mendedahkan terdapatnya aduan daripada tentera mengenai kertas undi pos yang tidak pernah diterima untuk ditanda oleh mereka.

"Kita banyak menerima aduan daripada para anggota tentera bahawa mereka tidak menerima kertas undi mereka, dan mereka yakin kertas tersebut akan dipangkah oleh pihak yang lain," katanya lagi.

Turut hadir pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad.

Tiada ulasan: