KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Bagan Pinang tempat rakyat beri amaran kepada BN

BAGAN PINANG: Kemenangan PAS di Bagan Pinang penting sebagai amaran rakyat terhadap BN yang sering menimbulkan pelbagai masalah kepada mereka, sekaligus ia menjadi gelombang perubahan ke arah reformasi rakyat.

"PAS dan Pakatan Rakyat telah berjaya membuktikan penolakan rakyat terhadap Umno-BN dalam pilihan raya-pilihan raya kecil bermula di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir," tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Harakah.

Jelasnya, sudah tiba masanya rakyat menghukum Umno-BN yang kini sudah tidak mampu menjalankan urus tadbir negara bagi memelihara rakyat.

"Bagan Pinang merupakan satu pilihan raya dan peluang untuk rakyat menghukum Umno-BN yang gagal untuk memerintah negara ini dan menjaga kebajikan rakyat sudah ditunjukkan," ujarnya.

Ustaz Hadi turut mengulas isu pengundi pos di kalangan tentera yang dilarang untuk menyokong parti lain selain BN. Beliau berkata tindakan pegawai tentera yang mengeluarkan arahan agar para tentera di semua peringkat menyokong Umno-BN adalah bercanggah dengan demokrasi yang diamalkan di negara ini.

"Ini menunjukkan bahawa tiada demokratik dalam pilihanraya ini. Hak mereka pengundi (tentera) diambil, tidak bebas memilih pemimpin yang mereka percaya," ujarnya.

Beliau menegaskan, BN bukanlah tuhan yang Maha Suci yang mahu mengongkong kehendak rakyat untuk mengundi pilihan sendiri. Tambahnya, apa yang membimbangkan beliau adalah ketelusan dalam undi pos yang dijalankan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata terdapat lima faktor yang menjurus kepada kebimbangan tersebut. Antaranya undi tersebut tidak dijamin betul, ada unsur ugutan, undi pos ditahan dalam tempoh tertentu, terdapat nama yang bertindih yang mana pengundi boleh mengundi pos dan dalam masa yang sama boleh membuang undi seperti biasa.

Beliau menuntut supaya diberikan hak demokratik pengundi-pengundi pos dan sikap PAS begitu komited mendesak SPR membenarkan pengundi pos membuang undi seperti pengundi biasa.

Terdahulu, PAS melalui Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang, Salahuddin Ayub memaklumkan PAS sedang mengatur beberapa tindakan susulan untuk memastikan hak demokratik pengundi-pengundi pos tidak diperlekeh-lekeh dan dinafikan.

Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

Tiada ulasan: