BAGAN PINANG: Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mahu pengundi Bagan Pinang menghukum perasuah yang sememangnya tidak layak untuk dilantik sebagai wakil rakyat.
Beliau yakin, pengundi Bagan Pinang yang terdiri dari anggota tentera akan membuat keputusan dengan lebih bijak untuk menolak pemimpin yang tidak bersih pada Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang.
"Kita yakin pengundi di Bagan Pinang khususnya tentera adalah orang yang bijak dan matang serta boleh menilai dengan baik pemimpin yang sesuai untuk dijadikan sebagai wakil rakyat," katanya pada hari penamaan calon di Majlis Perbandaran Port Dickson.
Beliau mengingatkan para pengundi Bagan Pinang agar tidak menjadikan pilihan raya kecil ini sebagai titik hitam dalam sejarah demokrasi negara dengan memilih pemimpin yang terbukti bersalah sebagai perasuah nombor satu.
"Mengundi Isa bererti mereka masih mengekalkan perasuah nombor satu dan ini sangat memalukan dalam politik negara.
"Kenapa kita mendewa-dewa dan sanggup mengangkat pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan apa yang kita dapat saksikan sekarang ini adalah suasana yang sangat mengaibkan," ujarnya.
Beliau membuat perbandingan dengan senario pergolakan politik di Jepun, pemimpin negaranya akan meletakkan jawatan apabila terlibat dengan krisis moral atau tercalar kredibiliti sebagai pemimpin.
"Kalau di Jepun, mereka sanggup bunuh diri sebab rasa malu selepas dibuktikan bersalah terlibat dengan salah laku sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab," katanya yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan