PILIHAN raya kecil Bagan Pinang merupakan pilihan raya kecil yang kesembilan diadakan selepas berlangsungnya pilihan raya umum ke 12 pada 8 Mac 2008.
Pada pilihan raya kecil yang ketujuh di Manek Urai Kelantan, Umno/BN telah membuat persiapan yang amat rapi bagi mempastikan mereka dapat merampas Dun milik PAS ini kerana pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum Manek Urai semuanya dimenangi oleh pembangkang (Pakatan Rakyat), selain dari Batang Ai di Sarawak.
Pilihan Raya Kecil Batang Ai di Sarawak adalah satu kes yang istimewa diukur dari perspektif tahap pembangunan politik. Kemenangan di Manek Urai dapat menterbalikkan trend di mana pengundi secara konsisten telah menolak Umno/BN.
Dengan merampas kerusi Manek Urai milik PAS ini akan memberi moral boost kepada Umno/BN. Sayangnya, selepas merencana begitu rapi dengan menggunakan secara maksima segala kekuatan politik, pentadbiran (agensi-agensi kerajaan) dan ekonomi Umno/BN masih gagal menguasai DUN berkenaan.
Dari sudut ekonomi, ada dakwaan bahawa Umno/BN telah membelanja sekitar RM25 juta bagi merampas DUN Manek Urai. Perbelanjaan ini termasuklah usaha-usaha membeli undi (vote-buying) di kalangan pengundi.
Sekarang tibalah masanya untuk Umno/BN mempertahankan kerusi mereka sendiri di Dun Batang Pinang. Sekiranya di Dun Manek Urai mereka bermati-matian ingin merampasnya, maka di Dun Bagan Pinang mereka akan bermati-matian untuk mempertahankannya.
Kalahnya Umno/BN di Dun Bagan Pinang akan memberi isyarat yang jelas bahawa pemerintahan Umno/BN akan berakhir sebagaimana berakhirnya penguasaan Liberal Democratic Party di persada politik Jepun.
Kemungkinan kalah senantiasa bermain di pemikiran pimpinan Umno/BN kerana sebelum ini mereka telah kehilangan kerusi mereka pada Pilihan Raya Kecil parlimen Kuala Terengganu.
Atas dasar inilah mereka mempertaruhkan Tan Sri Isa sebagai tokoh tempatan yang katanya popular di kalangan pengundi. Dengan tindakan ini, pada pandangan Umno/BN, mereka telah meminimakan kemungkinan Umno/BN akan kalah dan diharapkan akan menambah majoriti kemenangan.
Dalam persaingan politik, tidak ada yang tidak mempunyai risiko. Malah kadar risiko dalam politik adalah lebih tinggi dari kadar risiko dalam ekonomi. Risiko politik yang ada pada Tan Sri Isa ialah beliau telah dipalit dengan politik wang. Untuk ini beliau telah dikenakan tindakan disiplin oleh Umno.
Tetapi soalan seterusnya yang boleh ditanya ialah: Apakah Tan Sri Isa benar-benar bebas dari ‘penyakit’ politik wang selepas beliau dibebaskan? Soalan yang lebih besar dan lebih relevan ialah apakah budaya politik Umno dan BN telah benar-benar bebas dari bahaya politik wang? Kita serahkan kepada kebijaksanaan pengundi untuk merenung dan menjawab soalan ini pada 11 Oktober nanti!!
Inilah risiko politik yang dibimbangkan oleh Tun Dr. Mahathir apabila beliau tidak bersetuju Tan Sri Isa menjadi calon.
Dengan menamakan Tan Sri Isa sebagai calon di DUN Bagan Pinang yang dikatakan popular di peringkat tempatan, ini bermakna Umno/BN memilih pendekatan lokalisasi dalam pilihan raya kecil ini.
Sebaliknya semua sedia maklum bahawa arus globalisasi begitu deras merempuh sempadan lokaliti ( termasuk DUN Bagan Pinang), nasional ( Malaysia), kawasan (Asia Tenggara) dan dunia (global). Dalam pilihan raya kecil ini nampaknya PAS memilih untuk bersama arus globalisasi.
Asas tioritis ini akan digunakan untuk menganalisis sifat pilihan raya kecil Bagan Pinang berdasarkan beberapa fakta hasil dari kajian yang saya sendiri lakukan pada Jumaat11 September 2009.
Globalisasi dan pembebasan politik
Banyak penulis mengenai globalisasi (antaranya Paul Hirst dan Ronald Robertson) berhujah bahawa dari sudut politik, globalisasi boleh dikaitkan dengan liberalisasi atau pembebasan politik.
Kesimpulan ini diperolehi apabila mereka berhulah bahawa ‘sumber’ kepada globalisasi (salah satunya penggunaan internet) adalah berasal dari negara maju khususnya Amerika Syarikat. Amerika Syarikat juga melambangkan sebuah negara demokrasi yang matang.
Di antara nilai-nilai demokrasi matang ialah adanya kedaulatan rakyat. Ini termasuklah kebebasan rakyat untuk memilih wakil-wakil mereka. Arus liberalisasi politik yang datang seiringan dengan globalisasi ingin melihat terhapusnya amalan-amalan buruk yang mengekang sistem demokrasi itu sendiri.
Amalan buruk yang dimaksudkan ialah seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa . Malah dari satu segi, demokrasi itu sendiri adalah sinonim dengan tiadanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam sesebuah negara. Ini amat bertepatan kerana antara nilai-nilai penting demokrasi adalah ketelusan dan pertanggungjawaban.
Hasil kajian dan implikasi kepada Pilihan raya Kecil Bagan Pinang
Kajian yang saya lakukan pada 11 September 2009 melibatkan 134 responden yang sebahagian besarnya adalah dari UPU Bagan Pinang. Terdapat 19 soalan yang ditanyakan kepada para responden.
Soalan-soalan yang ditanya mempunyai nilai-nilai ‘lokalisasi’ dan ‘globalisasi’. Dari sudut lokalisasi, sekitar 65% responden merasakan bahawa isu-isu tempatan, berbanding isu-isu nasional, adalah penting dalam pilihan raya kecil ini.
Responden juga tidak berpuas hati (40%) dengan peranan yang dimainkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD). Sungguhpun pengaruh Tan Sri Isa agak dominan di UPU Bagan Pinang (100%), tetapi diluar UPU Bagan Pinang pengaruh beliau adalah sekitar 70%.
Sekiranya PAS yang menggunakan pendekatan ‘globalisasi’ dapat memanfaat secara baik isu-isu tempatan sebagaimana yang dirujuk di atas, maka bukanlah sesuatu yang mustahil untuk PAS merata dan meneutralkan (offsets and neutralized) pengaruh dominan Tan Sri Isa.
Terdapat juga soalan yang bersifat ‘nasional’. Responden misalnya ditanya pandangan mereka mengenai dasar 1Malaysia yang dipopularkan oleh Perdana Menteri, khususnya yang berkaitan dengan pemansuhan sistem quota bumiputra (liberalisasi ekonomi).
Rata-rata pengundi Melayu (99%) tidak bersetuju dengan dasar ini. Ini mempunyai implikasi politik yang besar kerana pengundi Melayu yang merupakan 66% dari keseluruhan pengundi Dun Bagan Pinang.
Terdapat juga soalan-soalan yang boleh dikategorikan sebagai mempunyai nilai-nilai ‘globalisasi’. Kepada soalan yang berbunyi: "Calon-calon pilihan raya seharusnya memperjuangkan kepentingan semua kaum secara adil dan bukan hanya tertumpu kepada satu-satu kaum sahaja", semua responden (100%) bersetuju dengan kenyataan ini.
Kenyataan dan jawapan yang diperoleh dari soalan ini adalah selari dengan pendirian Pakatan Rakyat sendiri; dan PAS secara spesifik memperjuang keadilan untuk semua tanpa mengambil kira perspektif perkauman.
Sikap politik responden yang bersifat menyeluruh ini sudah semestinya dapat offsets pengaruh dominan yang dikatakan dimiliki oleh Tan Sri Isa. Soalan-soalan seterusnys yang mempunyai nilai ‘globalisasi’ yang ditanya kepada responden adalah seperti berikut: "Usaha-usaha untuk membeli undi (vote-buying) dalam pilihan raya adalah merupakan satu perbuatan yang keji yang bercanggah dengan semua ajaran agama dan prinsip demokrasi"; dan juga soalan yang berbunyi: "Saya sebagai pengundi adalah berkuasa dan berhak untuk menentukan masa depan negara".
Kedua-dua soalan ini mempunyai respons yang sama iaitu semua responden (100%) bersetuju dengan soalan-soalan ini. Ini memperlihatkan bahawa pengundi Dun Bagan Pinang adalah seorang demokrat yang sebenar.
Mereka mempunyai jati diri yang kental dan mereka mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa mereka boleh merubah masa depan negara berdasarkan kesucian dan ketinggian idealisme politik yang mereka miliki.
Sekiranya kesucian dan ketinggian idealisme politik ini diterjemahkan dalam bentuk undi ia akan memihak kepada Pakatan Rakyat (PAS) yang telah menjadikan idealisme politik ini sebagai dasar perjuangan politik.
Wujudnya nilai-nilai ‘globalisasi’ dalam pemikiran dan sikap politik pengundi DUN Bagan Pinang sudah semestinya membolehkan mereka meningkatkan keupayaan mereka sebagai pengundi dengan meneutral dan menterbalik hal-hal yang dilihat sebagai ‘ancaman’ dan ‘kekuatan’ seperti pengaruh Tan Sri Isa yang kuat di peringkat lokal dan juga kehadiran undi tentera yang ramai sebagai undi pos, menjadi ‘peluang’ dan ‘kekuatan’. Arus dan pemikiran yang bersifat global yang dimiliki oleh pengundi sudah semestinya membantu proses penukaran ini.
Masih relevankan dinosur di era globalisasi?
Pernah satu ketika Dr. Mahathir semasa masih memegang jawatan Perdana Menteri mengingatkan ahli-ahli Umno agar jangan menjadikan Umno sebagai seekor dinosur.
Ini bermaksud Umno sebuah parti politik yang terbesar di Malaysia dengan keahlian mencapai tiga juta orang, perlu menjadikan dirinya senantiasa relevan dengan perubahan semasa. Arus perubahan terkini dikenali sebagai globalisasi (dan mungkin telah berubah kepada pasca-globalisasi) dan tidak lagi lokalisasi.
Dengan mengangkat Tan Sri Isa sebagai calon, Umno/BN secara hakikinya telah menjadikan diri mereka tidak lagi relevan dengan perubahan zaman. Dengan mencalonkan Tan Sri Isa, Umno/BN telah melebarkan peluang untuk mempastikan Umno/BN turut terkubur sebagai seekor dinosur yang hanya mempunyai nilai-nilai pra-sejarah dan tidak lagi relevan dalam kerangka perubahan masa kini.
Ditulis Oleh DR WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIFF
Penulis adalah Pengarah Jabatan Penyelidikan PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan