KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Status Isa Samad dipersoal setelah mengaku terlibat dengan rasuah

KUALA LUMPUR: KeADILan mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan pendirian mereka terhadap status calon BN, Tan Sri Isa Samad yang mengakui pernah terlibat dalam politik wang.

Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, kesalahan yang dilakukan oleh Isa Samad adalah berkait rapat dengan amalan rasuah yang mana jika diteliti ianya tertakluk di bawah kesalahan rasuah.

Apa yang menjadi masalah, katanya Isa Samad terlepas daripada pendakwaan kerana pihak peguam negara telah membuat pendakwaan terpilih.

Merujuk kenyataan Isa Samad yang menegaskan beliau sudah menjalani hukuman dan soal rasuah politik tidak lagi berbangkit, Shamsul berkata, hukuman itu sendiri bermaksud menjalani keputusan mana-mana mahkamah mengikut lunas undang-undang di Malaysia.

"Dalam hal ini saya ingin mendesak SPR untuk menyatakan pendirian, apakah Isa Samad tidak boleh dikatakan hilang kelayakan untuk bertanding atas tiket BN di Bagan Pinang nanti," katanya kepada Harakah.

Ini kerana jelas Shamsul, antara perkara yang boleh menghilangkan kelayakan apabila calon itu didapati bersalah dengan mana-mana kesalahan penjenayah dan sebagainya.

Dalam hal ini, katanya, Isa Samad sendiri membuat pengakuan terbuka dan mengaku terlibat dalam politik wang bahkan sudah menjalani hukuman.

"Saya hendak minta SPR nyatakan pandangan, ini adalah special kes biasanya kita buat bantahan sewaktu penamaan calon tetapi ini bantahan dibuat kerana pengakuan calon itu sendiri, kalau tidak Isa Samad akan hilang kelayakan sebagai calon," tegasnya.

Dengan meletakkan Isa Samad sebagai calon dalam pilihan raya kecil itu, katanya Isa seolah-olah diperbodohkan kerana sudah tentu rakyat Bagan Pinang tidak ingin bergantung harap terhadap calon yang mengamalkann rasuah.

"Kalau rakyat terus mengundi Isa Samad, itu bermakna rakyat merelakan diri mereka meletakkan calon yang tidak berintegriti, sebagaimana yang berlaku di Permatang Pasir apabila rakyat menolak calon BN, Rohaizat," katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Isa Samad berkata isu beliau terbabit dalam rasuah politik tidak berbangkit lagi kerana beliau telahpun menjalani hukuman penggantungan keahliannya dalam Umno selama tiga tahun.

Kesalahan yang dilakukan Isa Samad itu dikatakan bukan kesalahan jenayah tetapi melanggar kod etika sewaktu pemilihan pucuk pimpinan Umno. Isa digantung selama tiga tahun mulai 24 Jun 2005 kerana rasuah politik kerana melanggar etika pemilihan pemilihan pucuk pimpinan Umno 2004.

Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Tiada ulasan: