TELOK KEMANG: Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan, Ustaz Hassan Alias menyeru jentera PAS dan Pakatan Rakyat agar mengutamakan 'keberserahan' kepada Allah dengan usaha yang tinggi dalam kempen di Bagan Pinang.
"Hati-hati manusia ini ada pemiliknya, justeru berdoalah kepada pemiliknya iaitu Allah SWT yang berkuasa membuka hati-hati manusia untuk memberikan undi kepada bulan," kata beliau ketika ditemui di Markas Utama PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang.
Beliau yang juga Pengarah Operasi bagi Dewan Ulama PAS Negeri menyatakan, jentera PAS perlu memberi fokus kepada aspek pentarbiyahan, keinsanan dan kemanusiaan agar kempen yang dijalankan mendapat redha Allah.
Bercakap mengenai potensi PAS di Bagan Pinang, beliau tidak menafikan akan peluang menang, namun jentera perlu berusaha keras untuk mendapatkan sokongan undi.
"Kita perlu tahu bahawa Isa Samad adalah penduduk tempatan yang dah lama duduk di sini. Ini persoalan utama yang kena kita atasi. Jika kita berusaha keras disamping doa dan tawakal, ianya boleh membawa kita kepada kemenangan," katanya lagi.
Bercakap mengenai operasi Dewan Ulama PAS negeri, Ustaz Hassan berkata pihaknya akan mengadakan solat hajat bermula 2 Oktober hingga ke hari pengundian.
Pihaknya juga akan berkempen dengan menawarkan khidmat kesihatan yang dibawa oleh Darul Syifa'.
Beliau turut mengharapkan agar pengundi memikirkan persoalan memberikan undi kepada pemimpin yang bersih, adil dan yang memikirkan pembinaan insan yang baik sahsiahnya.
Ibn Taimiyyah menegaskan: "Memimpin dan menguasai ummat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman; semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan." - (As-Siasah As-Syariah: 172-175)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan